Followers

Monday, August 11, 2014

MB Selangor: Aku Tengok Dari 'Kaca Mata' Almarhum Ostad Fadzil Noor





TPM: Umno Selangor sokong Khalid tanpa syarat

BN menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar Selangor, tanpa syarat dan ikhlas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN bagi mendapatkan hala tuju berhubung kemelut kepimpinan di Selangor.




"Jadi atas beberapa dasar, sebab dan prinsip, BN menyokong MB Selangor (Abdul Khalid).

 "Kita juga tidak mengambil kira fahaman politik dan sebagainya, kita juga lihat tiada kewajaran perubahan pimpinan sebagaimana yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negeri itu ," katanya ketika diminta mengulas situasi terkini di Selangor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan kali ke-11 di Putrajaya hari ini.
  
Muhyiddin berkata sokongan itu juga adalah tidak bersyarat dan ikhlas kerana apa yang ingin dilihat ialah keadaan yang stabil di negeri itu.
  
"Kalau anda tanya apa yang kita akan dapat dengan menyokong beliau (Abdul Khalid) kita pun tak tahu apa yang kita akan dapat," katanya.

Muhyiddin berkata yang penting ialah soal kesinambungan kepimpinan dan nasib rakyat di negeri itu.
  
Beliau berkata semua ADUN BN Selangor juga akan menyatakan sokongan sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Abdul Khalid.
  
"Selangor sebuah negeri yang penting dan atas sebab itu kita berpendapat kalau tiada perubahan kepimpinan, walau pun Khalid bukan daripada parti BN tetapi itu lebih baik untuk keadaan yang ada sekarang," katanya.

Khalid beri sokongan
  
Beliau berkata dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Abdul Khalid juga memberikan sokongan dan kerjasama berhubung masalah air dan penstrukturan semula air di Selangor serta projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).
  
"Jadi projek itu pada peringkat ini masih boleh diteruskan, itu perkara utama untuk mengelakkan krisis air bagi kami kerajaan persekutuan dan semangat kerjasama yang sudah sedia terjalin itu perlu diteruskan," katanya.


 Muhyiddin berkata, apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku perubahan kepimpinan sudah tentu persefahaman dan perjanjian yang ditandatangani berhubung masalah air mungkin akan terjejas.
  
"Bagi kami dalam keadaan itu siapa yang elok kita sokong...bagi Kerajaan Pusat ialah menentukan nasib rakyat baik di Selangor dan persekutuan tidak terjejas dan terus dibela dengan perjanjian yang telah disepakati.
  
"Ikut bacaan saya kalau ada perubahan maka ada yang akan pinda itu...ini...dan ia akan bawa kesan besar kepada masalah air serta soal-soal berkaitan kebajikan rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya.
  
Ditanya sama ada boleh berlaku perubahan dalam perjanjian yang telah ditangani sebelum ini jika berlaku perubahan pentadbiran, Muhyiddin berharap perjanjian yang ditandatangani itu dihormati.
  
"Tetapi jika ada perubahan kerajaan saya juga tidak boleh jangkakan apa akan berlaku dan itu turut menjadi kebimbangan kita juga," katanya.
  
Mengenai sama ada akan berlaku pembubaran DUN di Selangor, Muhyiddin berkata perkara itu sukar diramal dan tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Sokongan majoriti

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Rakyat pula berkata dengan penolakan terbuka PKR dan DAP, ini bermakna Abdul Khalid hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan daripada 12 ADUN Umno.






Oleh itu, dalam satu kenyataan bersama hari, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua Saifuddin dan Pua berkata dengan penolakan terbuka PKR dan DAP, ini bermakna Abdul Khalid hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan daripada 12 Adun Umno.

Sehubungan itu, mereka turut mendesak Umno menyatakan secara terbuka bahawa 12 ADUN parti itu menyokong Abdul Khalid seperti mana yang didakwa oleh beliau.
  
"Jika 12 ADUN Umno tidak menyokong Abdul Khalid, maka jelaslah beliau telah mempersembahkan maklumat palsu kepada Sultan Selangor," kata mereka.

Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berkata Sultan Selangor memberi perkenan supaya beliau kekal sebagai menteri besar walaupun dipecat daripada PKR.

Sebelum itu, Khalid berkata beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan menteri besar Selangor sehingga ada perkembangan terbaru.
  
Abdul Khalid berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan oleh beliau berhubung kedudukannya sebagai menteri besar.
  
Katanya, beliau telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatannya sebagai ahli PKR, beliau masih memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.
  
Justeru, katanya, baginda Sultan berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya perkenan beliau kekal memegang jawatanmenteri besar Selangor.


sumber...Bernama