Followers

Wednesday, January 6, 2016

Ketetapan Kerjasama PAS-Umno Sudah Dibuat - MSU



Ketetapan kerjasama PAS dan Umno sudah dibuat - Majlis Syura Ulama

Majlis Syura Ulama PAS sudah membuat ketetapan berhubung kerjasama dengan UMNO ketika isu itu terus menjadi polemik khususnya dalam kalangan ahli dan penyokong kedua-dua parti.

Pendirian itu dicapai pada mesyuarat Majlis Syura Ulama, Sabtu lalu dan keputusannya dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh, ketika dihubungi, berkata semua pihak perlu menunggu pengumuman daripada badan tertinggi parti itu. "Persoalan bila masa yang sesuai untuk kita buat pengisytiharan kena tengok keadaan," katanya yang enggan mengulas lanjut. 

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS yang juga Ahli Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed turut mengesahkan isu kerjasama UMNO dan PAS sudah diputuskan oleh badan itu, Sabtu lalu. "Ya (kerjasama UMNO dan PAS) sudah (diputuskan)...saya dengar pun macam itu, tapi tunggulah pengisytiharan dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara besar yang membabitkan dasar PAS.

Julai tahun lalu, badan tertinggi itu membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi PAS dengan DAP, sekali gus menyaksikan pakatan pembangkang antara PAS-PKR-DAP yang diwujudkan pada tahun 2008 terbubar. 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijangka akan menyentuh isu kerjasama antara parti itu dan UMNO pada sesi taklimat khas kepada kepemimpinan pusat dan negeri di Taman Melewar dekat sini, Sabtu ini. 

Sementara itu, sumber dalaman PAS membayangkan akan wujud kerjasama dengan UMNO kerana dasar PAS sejak dulu lagi mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk kepentingan Islam dan negara.

Katanya, kerjasama itu perlu untuk meningkatkan kuasa Islam, memperkasakan syariat dan undang-undang Islam, berpeluang berdakwah serta memperkukuhkan kuasa politik Islam di Kelantan, khususnya dalam keadaan UMNO yang berkuasa di peringkat Persekutuan.

Sumber turut memberitahu, penegasan Hadi dalam isu berkenaan juga cukup jelas kerana selain konsep tahaluf, ta'awun iaitu bekerjasama atas perkara kebaikan dan takwa juga diberi penekanan oleh pucuk pimpinan parti.

"Pada pandangan saya, bukan sesuatu perkara yang susah untuk diterima ahli dan pemimpin PAS kerana kerjasama atas perkara yang mendatangkan kebaikan adalah sesuatu yang ditegaskan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

"Kami memang dididik sejak awal kemasukan ke dalam parti untuk menerima pakai sesuatu perkara jika ia berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah," katanya.

Sumber... : http://www.bharian.com.my/node/111381