Followers

Wednesday, January 10, 2018

BOCOR: Pengorbanan Parti AMANAH

 

Amanah korbankan Titiwangsa demi selamatkan Pakatan

 Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata mengambil kira kepentingan semua perkara dan kesediaan PKR serahkan Lumut, Amanah setuju lepaskan Titiwangsa.

 KESEDIAAN Amanah untuk menyerahkan kerusi Titiwangsa di Kuala Lumpur kepada Bersatu menyelesaikan pembahagian kerusi dan membolehkan Pakatan Harapan (PH) menganjurkan konvensyennya Ahad lepas.


Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang terlibat dalam perbincangan itu berkata perundingan menemui jalan buntu apabila semua parti bertegas mempertahankan kerusi masing-masing.

Pada petang Sabtu 6 Januari, isu pengagihan kerusi masih tidak selesai sedangkan konvensyen akan diadakan pada keesokannya.

Khalid berkata semua persediaan siap dilakukan namun tanpa persetujuan berhubung agihan kerusi dan ia akan menyebabkan pengumuman berhubung selesainya agihan kerusi tidak boleh dibuat.

Beberapa pengumuman juga akan turut tertangguh yang akan menjadikan konvensyen itu sendiri tidak bermakna, katanya.

"Selepas mengambil kira kepentingan semua perkara dan kesediaan PKR menyerahkan kerusi Lumut kepada Amanah, kita setuju lepaskan Titiwangsa," kata Khalid.

 Dengan itu segala dokumen yang disediakan dapat ditandatangani dan konvensyen diteruskan dengan dibuatnya segala pengumuman yang telah dirancang, katanya.

Kesediaan Amanah berkorban itu mendapat pujian khas dari Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad ketika memberikan ucapan dalam konvensyen itu.

"Yang menjayakan agihan parti ini (PH) adalah Amanah," kata Dr Mahathir dalam ucapannya di konvensyen itu.

Kerusi Temerloh

Penganalisis berkata kejayaan Amanah mendapat kerusi Temerloh yang menjadi rebutan semua parti dalam PH adalah bukti keberkesanan “team negotiator” Amanah walaupun akhirnya mendapat kerusi paling sedikit iaitu 27 saja.

Walaupun paling sedikit tetapi terbukti kerusi yang diperoleh mempunyai potensi untuk dimenangi dalam pilihan raya nanti, kata Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.

"Kerusi Temerloh yang akhirnya diperlaki Amanah, walaupun Saifuddin Abdullah dari PKR calon yang kuat untuk kerusi itu menunjukkan keberkesanan ‘team negotiator’ Amanah dan kesediaan rakan mereka dalam PH untuk menerima dan memberi," kata Mazlan.

Kerusi Temerloh menjadi rebutan semua parti dalam PH khasnya PKR dan Bersatu. Ia dimenangi oleh calon PAS, Nasrudin Hassan dalam PRU lalu.

"Kerana antara asas perundingan kita kerusi PAS untuk Amanah, maka kerusi Temerloh diperoleh oleh Amanah walaupun dituntut oleh PKR dan Bersatu," kata Khalid.

Khalid berkata asas rundingan pembahagian kerusi pada awalnya adalah Amanah mengambil kerusi yang dimenangi PAS manakala Bersatu bertanding di kerusi Umno.

Penyandang pula termasuk PKR dan DAP akan kekal di kerusi masing-masing.

Asas kepada rundingan inilah antara punca Amanah terpaksa melepaskan kerusi Titiwangsa kepada Bersatu kerana ia dimenangi Umno dalam pilihan raya lalu.

Amanah sebelum ini pernah mencadangkan formula di mana masing-masing mendapat 25% campur atau tolak 5% daripada jumlah 165 kerusi keseluruhannya.

"Dengan formula ini maka jumlah minima kerusi 33 dan maksima 50.  Maka PKR dan Bersatu kira-kira 50 kerusi manakala DAP kekal dan Amanah 33," kata Khalid.
Namun formula ini ditolak atas sebab tertentu.

Susulan pembahagian kerusi itu di mana Amanah dapat paling sedikit, perwakilan Amanah Johor memboikot konvensyen itu selepas hanya mendapat dua kerusi dari 56 kerusi Parlimen di Johor.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Dr Mohamad Hatta Ramli didakwa meletakkan jawatan termasuk sebagai pengarah pilihan raya Amanah. Namun sehingga kini ia masih belum disahkan.

Kerusi untuk Amanah

Mazlan berkata beliau menilai sejak dari awal 2017 lagi bahawa kerusi yang sesuai ditandingi oleh parti Amanah hanyalah di antara 25 hingga 35 kerusi.

Bagaimanapun katanya, secara strategiknya Amanah lebih sesuai bertanding tidak lebih dari 30 kerusi di Semenanjung Malaysia.

"Namun dalam konvensyen semalam, Amanah akhirnya memperoleh 27, dan angka itu bagi saya sesuai dan ideal bagi sebuah parti muda yang sifatnya berbeza dengan ciri parti serpihan Umno, iaitu Bersatu," katanya.

Namun katanya, Amanah wajar diberi sekurang-kurangnya satu kerusi di Wilayah Persekutuan dan penambahan satu atau dua kerusi lagi di Johor memandangkan pengaruh Amanah agak besar di kedua-dua negeri itu. – 9 Januari, 2018.

oleh Zulkifli Sulong