Followers

Tuesday, September 17, 2019

PAS Jangan Dipatuk UMNO Lagi




Habis madu sepah dibuang

Lima puluh tahun lalu, selepas peristiwa 13 Mei dan kekalahan besar pada pilihan raya 1969, UMNO di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein memujuk PAS supaya bersama dengan parti berkenaan. Ketika itu, agendanya adalah untuk menjaga kepentingan Melayu selepas apa yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei.

Lalu PAS di bawah pimpinan Datuk Mohamad Asri Muda memanggil satu Muktamar Khas untuk menentukan sikap, apakah PAS sedia atau tidak menyertai UMNO.

Lalu majoriti ahli muktamar khas itu mengambil keputusan menyokong menyertai UMNO dan membentuk Barisan Nasional (BN) kemudiannya. Sebahagian ahli PAS tidak bersetuju dengan langkah itu, termasuk Allahyarham Amaluddin Darus yang terus meninggalkan PAS.

Selepas menyertai BN, beberapa pimpinan kanan PAS, termasuk Asri dilantik menjadi menteri. Asri sendiri menjaga hal ehwal tanah.

Namun, selepas UMNO stabil dan PAS mula kuat dalam BN, UMNO mula mencari pasal. Ia berakhir dengan tindakan PAS ditendang keluar daripada BN pada 1977 selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan di Kelantan.

PAS kehilangan segala-galanya selepas itu, termasuk Kelantan. Mulai 1978 PAS dibina semula dengan brand baharu, kepemimpinan ulama yang dipelopori Tuan Guru Nik Aziz, Yusof Rawa, Datuk Fadzil Mohd Nor dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada pilihan raya 2018, PAS sampai kemuncaknya. Lima pemimpin dalam PAS yang membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH) menjadi menteri, lima lagi menjadi timbalan menteri dalam Kerajaan Pusat. Dua negeri pula jatuh ke tangan PAS iaitu Terengganu selepas menawan Kelantan sejak 1990.

UMNO pula, seperti 1969, jatuh terperosok. Kali ini lebih teruk lagi, hilang Kerajaan Pusat dan menjadi pembangkang di hampir semua negeri kecuali Pahang dan Perlis.

Hari ini, seperti yang berlaku pada 1969, PAS sekali lagi diajak UMNO untuk bersatu. Majlis memeterai perjanjian Penyatuan UMNO berlaku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bangunan kebanggaan UMNO.

Kali ini dengan moto yang lebih menarik, Penyatuan Ummah. Buat kali pertama, PAS berbangga benderanya berkibar megah di atas PWTC yang menjadi kebanggaan itu.

Apakah sikap ahli bawahan PAS dengan isu ini? Pelbagai. Sebahagian mereka teringat kata-kata Nik Aziz, pemimpin PAS yang mereka sayangi. Orang Islam tidak boleh dipatuk oleh ular dua kali dari lubang sama.

Ada juga yang melemparkan kata-kata, jangan sesekali melepaskan buaya yang tersepit. Ia banyak dilemparkan oleh golongan tua dalam PAS yang masih merasai bagaimana peritnya dimainkan UMNO pada 1977.

Antaranya ialah Abdul Fatah Harun, Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Kelantan. Saban hari penulis menerima mesej beliau yang berupa video bagaimana penentangan dan penafian pemimpin PAS sebelum ini apabila dikatakan UMNO dan PAS akan bersatu.

Bagi golongan ini, ketika UMNO sudah kuat, PAS akan ditendang kembali. Ketika UMNO kalah teruk, PAS yang dicari seperti pada 1969 dahulu.

Bagi mereka, apa yang UMNO buat dahulu adalah selaras dengan perumpamaan ‘selepas madu disedut, sepah dibuang’.

Kini, melalui putaran waktu, apabila UMNO kalah, PAS sekali lagi dicari.

Bagi mencari sebab dan memujuk PAS, pelbagai isu perkauman dan keagamaan disebarkan. Perkara yang sukar untuk dilakukan oleh penyokong PAS dahulu (kerana dididik dengan Islam), kini sudah boleh dilakukan.

Apabila dikatakan ini menyebarkan fitnah, mereka akan jawab kita tidak boleh terlepas daripada fitnah sebab ini zaman fitnah.

Saya percaya sebahagian besar pemimpin PAS, terutama orang lama dalam parti itu tidak setuju bersama UMNO. Tetapi dengan apa yang berlaku dalam politik negara sekarang, terutama ketepatan strategi yang diambil bekas rakan mereka dalam AMANAH, apa lagi pilihan yang mereka ada melainkan bersama UMNO.

oleh:  Zulkifli Sulong

Penulis adalah Bekas Ketua Pengarang Harakah, kini Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan