Followers

Friday, July 29, 2011

Cubaan polis membunuh di KL Sentral, KEADILAN kemuka video


(Oleh: Norutul Ilham)

PETALING JAYA: Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran mengulangi bahawa tindakan polis yang menghala tembakan gas pemedih mata tepat kepada peserta Bersih di laluan bawah KL sentral, 9 Julai lalu adalah satu cubaan membunuh.

Beliau berkata, perbuatan itu boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan badan yang serius dan melanggar undang-undang di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis juga melanggar undang undang antarabangsa dan tidak mengikut prosedur ditetapkan, apabila melepaskan tembakan ke dalam tempat tertutup atau di dalam terowong.

Serangan itu katanya, mencederakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengawal peribadinya Fayadh Al Bakri, dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

“Fayadh dan Khalid masing-masing cedera di muka dan kepala kerana tembakan terus dari kanister gas pemedih mata sehingga cedera parah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), di sini hari ini.

Akibat tindakan ganas itu, Fayyadh mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan di bahagian muka. Manakala Khalid pula mengalami pendarahan di bahagian belakang kepala.

Peguam, Fadiah menunjukkan rakaman OCPD Brickfields, Wan Bari mengarahkan anggotanya melepaskan tembakan gas pemedih mata tepat ke arah orang ramai

Dalam sidang media yang sama, wartawan turut ditunjukkan beberapa klip rakaman yang menunjukkan bukti polis melepaskan tembakan menghala ke arah orang ramai.

Peguam hak asasi manusia dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, berkata, Ketua Polis Daerah Brickfields (OCPD), Wan Bari Wan Khalid, memberi arahan kepada polis supaya menembak ke arah bawah.

“Semasa serangan di terowong KL Sentral, pihak polis telah mengarahkan “Bawah! Bawah” sebelum menembak kanister gas pemedih mata terhadap peserta Bersih.

“Polis juga beri amaran kepada wartawan, dan jurugambar beredar, kalau tidak mahu kena (tembakan),” kata Fadiah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa juga menyifatkan tindakan polis itu bertujuan mendatangkan kecederaan dan boleh mengakibatkan kematian.

“Lebih kurang 12 tembakan gas pemedih mata ditembak di kawasan tertutup yang penuh dengan peserta, ini boleh mendatangkan kecederaan.

“Bayangkan gas pemedih mata ditembak di dalam bilik tertutup di mana ruang udara adalah tebal dan penuh dengan asap, dan dengan setiap nafas anda mendapat gas pemedih mata dalam paru-paru anda … orang boleh mati,” kata Sivarasa.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17900