BALIK PULAU: Himpit, belasah dan samun menjadi taktik tiga beradik melakukan kegiatan jenayah yang menyasarkan kenderaan mewah di sekitar Pulau Pinang dan Perak sejak Jun lalu.
Berdasarkan siasatan polis, tiga beradik ‘jahanam’ itu menahan kenderaan yang menjadi sasaran mereka dan tanpa belas kasihan memukul pemilik kenderaan hingga parah sebelum melarikan kereta milik mangsa.
Kegiatan itu dipercayai sudah dilakukan sejak dua bulan lalu berikutan polis menerima dua laporan kehilangan kereta di negeri ini, manakala dua lagi laporan di Taiping, Perak.
Bagaimanapun, abang sulung mereka ditahan polis dalam satu gerakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya sejak minggu lalu. Kini, dua adiknya diburu kerana menghilangkan diri selepas mengetahui abang mereka ditahan polis.
Sumber polis berkata, kedua-dua suspek itu dikenal pasti identiti mereka sebagai Abd Rashid Burgas, 28, dan Abd Rahman, 22, dan dipercayai terbabit dalam empat kecurian dan samun kereta.
sumber...mymetro