Followers

Monday, July 18, 2011

Betul ke Umno tu 'Anak Jantan'..


PAS cabar Umno ikut Kedah, bidas MCA-Gerakan jadi hero

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Dalam keseronokan Umno mengambil kesempatan untuk mengkritik kerajaan Kedah dalam isu penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, PAS hari ini mencabar Umno-Barisan Nasional (BN) agar melaksanakan perkara yang sama di negeri-negeri pimpinan mereka.

Dalam satu kenyataannya dikeluarkan pagi ini, Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kelantangan MCA dan Gerakan yang selalu mengikut telunjuk Umno dalam menentang rancangan kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang telah diluluskan 14 tahun lalu oleh kerajaan pimpinan Umno sendiri telah menonjolkan kepada rakyat sikap hipokrit mereka yang ketara.

“Kerana golongan inilah yang juga menyokong enakmen tersebut sewaktu dibentang dulu. Kini secara tiba-tiba cuba menjadi hero kononnya atas alasan untuk membela hak bukan Muslim,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya disiarkan oleh HarakahDaily hari ini.

Baru-baru ini Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang wujud sejak zaman pemerintahan Umno dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

Isu ini telah diambil kesempatan oleh MCA, kawan sejati Umno selama 54 tahun dan Gerakan yang bertalu-talu menyerang kerajaan Kedah sambil menghasut masyarakat bukan Islam dengan dakwaan bahawa kerajaan sedang menghalang hak asasi masyarakat bukan Islam.

Akhbar-akhbar milik Umno dan komponen BN mendakwa PAS tunduk kepada tekanan DAP, komponen Pakatan Rakyat.

Polemik terbaru dilaporkan selesai selepas Azizan bertemu wakil pusat hiburan kelmarin dan bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata tindakan tersebut adalah satu pendekatan bijak kerana pengusaha pusat hiburan bersetuju untuk membantu kerajaan negeri dalam memastikan umat Islam tidak memasuki premis mereka dan juga menyatakan kesediaan mereka untuk dikenakan tindakan jika ada yang melanggar enakmen itu.

Ini adalah satu lembaran baru kerana kerajaan Kedah di bawah PAS telah dapat melaksanakan enakmen yang membawa kebaikan kepada umat Islam negeri tersebut yang selama ini tidak dapat dilakukan oleh Umno yang memerintah negeri itu sekian lama,” kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

“Jangan pula dalam keseronokan mereka menyerang PAS dalam isu ini, mereka terlupa bahawa umat Islam tahu bahawa mereka langsung tidak pernah berbuat apa-apa untuk membentuk environment Ramadhan yang sesuai untuk umat Islam negeri tersebut.

Kini umat Islam sedang menanti bilakah Umno, yang selalu berheboh bahawa merekalah pejuang Islam yang sebenar akan menguatkuasakan larangan in di negeri-negeri mereka pula,” bidas Tuan Ibrahim.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS telah mengambil jalan terbaik dalam isu larangan ini yang tidak boleh diselesai oleh Umno sekian lama dengan tidak menghalang hak orang bukan Islam dan pada masa yang sama orang Islam tidak boleh terlibat dalam aktiviti maksiat sepanjang Ramadan.

sumber...TMinsider