Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Tuesday, July 12, 2011
Penyelam temui kunci kereta BMW milik Sosilawati di sungai
SHAH ALAM, 11 Julai – Perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu mengenai penemuan pelbagai barangan di enam lokasi di Banting dan Subang Jaya oleh penyelam Pasukan Gerakan Marin (PGM) termasuk cebisan disyaki tulang yang telah hangus.
Selain itu, turut ditemui beberapa batang gigi, enam keping zink mempunyai kesan terbakar, kunci kereta BMW X5 yang dinaiki jutawan kosmetik itu pada hari dia dilaporkan hilang dipercayai dibunuh serta dua telefon bimbit milik dua daripada mangsa, demikian menurut laporan Bernama Online.
Koperal Merzuki Shahrim, 43, yang bertugas di PGM Wilayah 1, Pulau Pinang, berkata pasukannya telah diarahkan untuk membuat pencarian antara 12 dan 25 September lalu.
Pasukan itu diarah membuat operasi mencari di Sungai Pancau, longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting, Sungai Kanchong Laut di Kampung Endah, sebatang sungai di tepi ladang kelapa sawit Jalan Kenangan, Kampung Kelanang dan pintu kunci air Sungai Lang, kelima-limanya di Banting dan sebuah longkang di USJ 1, Subang Jaya.
Menurut laporan Bernama Online lagi, saksi ke-22 pendakwaan itu berkata pada 3.35 petang 12 September lalu, pasukannya diarahkan untuk ke Sungai Pancau dan di situ mereka menemui kesan-kesan seperti objek arang hitam dan terbakar di tebing sungai serta beberapa kesan dawai.
Ketika membuat pencarian dalam sungai sedalam antara dua ke tiga kaki menggunakan kaedah menapis lumpur-lumpur di dasar sungai guna pengayak dan meraba-raba di kawasan sekitar, kami menemui beberapa cebisan disyaki tulang yang telah hangus dan beberapa serpihan logam terbakar serta berkarat.
“Kami juga menemui beberapa bekas dawai dan satu guni plastik tertulis tepung ubi kayu 50 kg serta beberapa anak kunci dan sebilah pisau,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.
Bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, R Matan dan R Khatavarayan dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Merzuki berkata setelah selesai membuat pencarian pada 5.45 petang, pasukannya kemudian diarah pergi ke lokasi lain iaitu longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting di mana beliau telah menjumpai sebuah telefon bimbit jenis Blackberry berwarna putih manakala seorang anggota pasukannya menemui sebuah lagi telefon bimbit jenama yang sama berwarna hitam.
Dalam keterangan sebelum ini, kedua-dua telefon bimbit itu telah dicamkan sebagai milik Ahmad Kamil dan Noorhisham oleh isteri masing-masing.
“Kami gunakan kaedah buat barisan dan bergerak dari tebing sebelah kanan ke kiri sambil berbongkok dan meraba-raba dalam air sedalam kira-kira tiga kaki sehingga barang kes dijumpai. Kedalaman air itu tidak memerlukan kami menggunakan alat penyelam. Operasi mencari di lokasi itu tamat kira-kira pukul 7 petang lebih kerana hari gelap dan kami kemudian pulang ke Pusat PGM di Putrajaya,” kata saksi itu.
Seterusnya pada 13 September 2010, Merzuki dan pasukannya sekali lagi diarah membuat operasi mencari barang kes di Sungai Kanchong Laut di Kampung Endah di mana mereka menemui seutas jam tangan tertulis Seiko Honda Racing Team.
Merzuki berkata dalam operasi itu, pasukannya terpaksa menggunakan peralatan menyelam kerana kedalaman sungai itu adalah hampir dua meter.
Keesokan harinya, pasukan itu sekali lagi diarah membuat operasi carian lebih terperinci di lokasi yang sama, dan kali ini mereka turut menggunakan peralatan mengesan besi untuk mencari sebarang peralatan logam di dasar sungai.
“Kira-kira pukul 2.20 petang, Muhamad Hazriman yang memakai alat penyelam, menjumpai seutas jam tangan jenama Bell & Ross (pada perbicaraan sebelum ini telah disahkan milik Ahmad Kamil oleh isterinya),” katanya.
Merzuki berkata pasukannya kemudian diarah membuat operasi mencari di sebatang sungai di tepi ladang kelapa sawit, Jalan Kenangan, Kampung Kelanang, di mana dua anggota pasukannya telah menemui enam keping zink yang mempunyai kesan terbakar.
Seterusnya saksi itu berkata pasukannya telah diarah untuk membuat carian di sebuah longkang di USJ 1, Subang Jaya, pada 14 Sept, dan pada 7.30 petang, Muhamad Hazriman telah menemui sejambak kunci tertulis ‘BMW’.
Ia adalah kunci kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 dinaiki Sosilawati pada hari kejadian, yang ditemui ditinggalkan di tempat letak kereta Flat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya pada 6 September.
Dalam keterangan sebelum ini, perkara itu turut disahkan oleh anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari.
Merzuki berkata bahawa pada 15 September, pasukannya sekali lagi diarah ke Sungai Pancau untuk membuat pencarian lebih teliti di mana mereka menjumpai beberapa serpihan tulang, serpihan logam terbakar dan berkarat, beberapa batang gigi, seutas gelang, dua keping duit syiling, kunci dan beberapa logam yang lebur.
“Pada 21 September pula, kami diarah membuat pencarian di pintu kunci air Sungai Lang di mana saya menjumpai seutas gelang tangan berwarna keemasan. Saya serahkan gelang tangan itu kepada pegawai polis bernama Khoo keesokan harinya sebab mengikut taklimat asal kami perlu mencari telefon bimbit dan memandangkan gelang itu bukan yang kami cari, saya simpan dahulu.
“Pada 23 September, kami sekali lagi diarah ke kawasan pintu kunci air longkang besar berhampiran Pasar Besar Banting untuk membuat carian secara detail tetapi kami tidak menemui apa-apa,” katanya.
Merzuki berkata bahawa pada 25 September, pasukannya sekali lagi diarah membuat pencarian lebih teliti di kawasan sama (pintu kunci air longkang besar berhampiran Pasar Besar Banting) di mana mereka menjumpai sebiji bateri telefon jenama Blackberry.
sumber...TMinsider
Label:
kes jenayah,
sosilawati lawiya