Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Saturday, July 30, 2011
Bersih 2.0: Dua naib presiden PAS saman polis, KDN minggu depan
KUALA LUMPUR, 30 Julai — Dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar masing-masing telah mengambil keputusan untuk menyaman polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan pusat berhubung tindakan menahan mereka 9 Julai lalu dan ia akan difailkan minggu depan.
Tindakan saman tersebut akan diuruskan menerusi syarikat peguam Faiz Fadzil & Co dan akan dikendalikan bersama peguam Zulhazmi Sharif, lapor HarakahDaily hari ini.
Zulhazmi menjelaskan, tindakan saman akan difailkan minggu depan.
Selain Salahuddin (gambar) dan Mahfuz, jelasnya, tindakan saman ke atas ketiga-tiga pihak berkenaan berhubung penahanan pada 9 Julai juga akan dilakukan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Salahuddin berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan penahanan mereka ketika perhimpunan Bersih 2.0 adalah tidak sah.
Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau dan Mahfuz itu adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.
“Saya dan Datuk Mahfuz ditangkap oleh pihak polis pada pukul 11.50 pagi 9 Julai di sekitar KL Sentral. Kemudian saya ditahan di lokap polis di Balai Polis Jinjang dan dibebaskan pada pukul 9.30 malam 9 Julai.
“Sepanjang berada dalam tahanan, pihak polis pun tak ambil apa-apa keterangan daripada kami. Kami juga tak diberitahu sebab-sebab penahanan kami itu,” kata wakil rakyat ini.
“Tindakan pihak polis terhadap kami itu adalah tindakan yang tidak wajar dan ia ternyata satu penahanan yang tidak sah sebab itulah saya mahu mengambil tindakan sivil terhadap pihak polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan BN,” katanya.
Ekoran tindakan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu.
Sepanjang ditahan, beliau tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.
sumber...Tminsider
Label:
Bersih 2.0,
mahfuz omar,
Pas,
pdrm,
salahuddin ayub