Followers

Friday, July 22, 2011

BN takut sungguh peguam Perancis macam 'Bala Besar'

Bourdon di hantar pulang ke Perancis tanpa sebab

Peguam Perancis, Wiliam Bourdon, dihantar pulang ke negara asalnya selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh pegawai imigresen tengahari tadi.

Beliau sepatutnya hadir untuk berucap dalam majlis makan malam anjuran Suara Rakyat Malaysia di Petaling Jaya malam ini, bagi mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene melibatkan komisen RM540 juta.

Bourdon semalam berada di Bayan Baru, Pulau Pinang bagi membongkarkan kes berprofil tinggi itu kepada umum, sebelum berlepas ke KLIA pagi tadi.

Namun beliau bersama isterinya ditahan oleh Pegawai imigresen di dalam pesawat yang dinaikinya sebaik sahaja mendarat di KLIA.

Peguam itu ditahan lebih lima jam di pusat tanahan imigresen KLIA tanpa dibenarkan mendapatkan akses peguam, serta diarahkan untuk pulang semula ke negaranya.

Beliau dijangka dihantar semula ke Paris pada pukul 11.30 malam ini dengan membeli tiket menggunakan wang sendiri.

Dalam satu kenyataan bertulis, Bourdon berkata beliau tidak faham situasi itu kerana tiada penjelasan diberikan pihak berkuasa Malaysia.

“Saya di sini mengisytiharkan yang saya bertindak sebagai peguam kepada NGO Suaram dalam menjalankan tugas saya dan saya menjalankan tugas dan mematuhi peraturan Malaysia dan antarabangsa.

“Saya menganggap penghantaran pulang ini sebagai pencabulan kepada hak saya untuk menjalankan tugas saya sebagai seorang peguam secara bebas,” ujarnya.

Bourdon berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan – Sherpa – dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.

Beliau merupakan peguam yang dilantik Suaram bagi mengendalikan kes dakwaan rasuah membabitkan pembelian Scorpene yang kini difailkan di mahkamah terbuka Perancis.

Beliau dijangka mendedahkan pembelian kapal selam negara dengan firma pertahanan Perancis DCNS dalam tiga majlis anjuran Suaram di Bayan Baru, Petaling Jaya dan Ipoh.

Kapal selam Scorpene buatan Perancis itu dicemari dengan kontroversi komisyen RM540 juta dan turut dikaitkan dengan pembunuhan kejam wanita Monggolia, Altantuya Shaariibu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17348