Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Tuesday, July 5, 2011
Sosilawati diugut dengan gambar ### oleh pemandu peribadi
Saksi kes memberitahu mahkamah
SHAH ALAM, 5 Julai — Pemandu Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya ada mengugut untuk mengedarkan gambar-gambar yang tidak senonoh membabitkan ahli perniagaan itu, demikian Mahkamah Tinggi dimaklumkan hari ini.
Isteri konsultan kewangan CIMB Noorhisham Mohamad, Suzana Radin Pangat memberi keterangan, suaminya ada menghubungi dia pada 30 Ogos lalu sekitar pukul 8 malam dan memaklumkan dia tidak akan kembali ke rumah selama tiga hari.
“Dia kata dia mahu selamatkan Datuk Sosilawati (gambar),” kata Suzana.
“Dia berkata Kamal ugut Datuk kerana dia ada foto-foto tidak senonoh dan dia mengugut akan mengedarkannya. Jadi dia (Ahmad) Kamil (Abdul Karim) mahu membantu Datuk,” kata Suzana yang merujuk 'Kamal' kepada pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.
Suzana menitiskan air mata apabila dia memberitahu mahkamah bahawa suaminya yang didirikan rumah tangga 16 tahun lalu memintanya memahami keadaan dan memohon maaf banyak kali.
Kata Suzana, selepas suaminya meletakkan telefon dia rasa marah lalu menghantar SMS untuk bertanya mengapa sanggup membantu orang lain dengan meninggalkan keluarga selama tiga hari dan enggan menjawab bila ditelefon sekali lagi.
“Noorhisham hubungi saya kira-kira pukul 8 malam 30 Ogos 2010 cakap dia nak cuba selamatkan Datuk Sosilawati. Dia kata Kamal, driver Sosilawati (Kamaruddin Shamsuddin) ugut Sosilawati sebab ada satu gambar tidak elok nak sebarkan, jadi dia (Noorhisham) dan Kamil terpaksa bantu Sosilawati dalam hal ini,” kata beliau menurut laporan Bernama Online.
“Lepas itu dia minta saya faham situasi dan minta maaf pada saya banyak-banyak dan dia kata dalam masa tiga hari dia balik akan cerita apa berlaku pada dia. Saya kemudian tanya dia kat mana dan berbuka puasa di mana tetapi dia tidak jawab dan terus matikan talian,” kata saksi kelapan pendakwaan itu dalam nada sebak sehingga terpaksa berhenti seketika untuk menenangkan dirinya.
Suzana memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, R Matan dan R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, yang merupakan seorang pegawai bank, Ahmad Kamil, 32, seorang peguam, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.4 malam 30 Ogos tahun lepas.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Laporan Bernama Online juga menyebut, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff mengapa beliau tidak menghubungi Noorhisham sebaliknya hanya menghantar SMS, Suzana yang bekerja sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat CIMB Bank, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, berkata beliau hanya menghantar SMS kerana berada dalam keadaan marah.
Ishak: “Ada Noorhisham hubungi awak semula selepas itu?”
Suzana: “Dia ada call tetapi saya tidak jawab.”
“Ada cuba hubungi suami selepas hantar SMS?,” soal Ishak dan Suzana menjawab: “Ada masa sahur kira-kira pukul 3 pagi, 31 Ogos 2010, tetapi saya tidak berjaya hubungi dia.”
Terdahulu, saksi itu berkata kali terakhir dia berjumpa suaminya yang dikahwini pada 1995 ialah semasa Noorhisham menghantar beliau ke pejabatnya pada 8 pagi 30 Ogos 2010.
Ishak: “Semasa hantar awak ke tempat kerja, ada (Noorhisham) beritahu apa-apa tentang tugasan dia hari itu?”
Suzana: “Dia ada beritahu petang dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil atas urusan Datuk Sosilawati. Kira-kira pukul 4 petang hari yang sama suami ada hubungi saya di pejabat memberitahu dia akan bersama Ahmad Kamil pergi ke Banting dan akan naik kereta Ahmad Kamil.”
Ditanya mengenai pakaian yang dipakai Noorhisham ketika menghantar dia ke tempat kerja, ibu kepada tiga orang anak itu berkata suaminya memakai baju korporat CIMB Islamic berwarna hijau dan jam tangan jenama ‘Longines’ yang diperoleh daripada majikannya sebagai ganjaran kerana perkhidmatan cemerlang pada 2008.
Ketika Ishak menunjukkan jam tangan itu kepada Suzana untuk dicamkan, saksi tersebut dilihat membelek-belek jam tangan itu sebelum tunduk dan menangis.
Anak keempat Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari yang merupakan saksi ke-11 pendakwaan dalam keterangannya pula berkata, Kamaruddin yang dipanggil ‘Uncle Kamal’ bertugas sebagai pembantu peribadi dan pemandu kepada ibunya kira-kira tiga tahun sebelum kejadian.
Ditanya mengenai keperibadian Kamaruddin, Erni Erinawati, 22, berkata lelaki itu ialah seorang yang baik, suka membuat jenaka dan mengambil berat.
Saksi itu yang bertanggungjawab menjaga cawangan syarikat milik ibunya, Nouvelles Beauty Centre Sdn Bhd di Cyberjaya berkata dia membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya sebanyak dua kali iaitu pada 31 Ogos 2010 dan 2 September 2010 atas arahan kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana.
Ketika ditanya Ishak mengapa Erni Dekritawati mengarahkan dia membuat laporan polis, Erni Erinawati berkata pada masa laporan dibuat, kakaknya perlu menjaga adik-adik yang lain di rumah.
Terdahulu, suasana di mahkamah hening seketika apabila saksi itu dilihat menangis ketika diminta Ishak untuk mengecamkan gambar ibunya.
Seorang guru, Khairul Izwan Ismail, 30, yang merupakan anak saudara Kamaruddin, dalam keterangannya pula berkata kali terakhir dia bercakap dengan Kamaruddin ialah pada 5 petang pada hari kejadian iaitu semasa bapa saudaranya itu menghubungi dia yang dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.
“Dalam perbualan itu, saya janji nak tidur rumah pakcik (Kamaruddin) pada malam 30 Ogos 2010 dan dia kemudian cakap bila sampai KL, call dia. Saya tidur rumah pakcik kerana di KL saya tiada saudara mara lain. Kalau saya ke KL memang saya akan tidur di rumahnya.
“Dalam perbualan itu, kami juga bergurau dan saya sempat tanya dia di mana dan dia cakap di Banting. Pak cik kemudian mematikan telefonnya,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Kuantan.
Adik Kamaruddin, Zaidah Shamsuddin, 52, dalam keterangannya berkata dia membuat laporan polis mengenai kehilangan adiknya itu pada 6 September 2010.
Saksi ke-10 pendakwaan itu berkata laporan polis dibuat selepas dia dihubungi oleh seorang wanita yang tidak diketahui nama pada 2 September 2010 memaklumkan mengenai kehilangan Kamaruddin.
sumber...TMinsider
Label:
kes jenayah,
sosilawati lawiya