Macam macamlah kenyataan timbalan IGP
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata tidak salah memakai baju kuning tetapi diingatkan supaya tidak memakai baju kuning yang mengguna lambang BERSIH.
Katanya, buat masa ini Bersih telah disahkan sebagai sebuah pertubuhan haram dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat pengumuman itu baru-baru ini.
"Apabila pengumuman itu telah dibuat, tanggungjawab polis adalah untuk menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan sesuatu pertubuhan haram. Jadi, polis cuma menguatkuasakan undang-undang yang ada berkaitan dengan pengistiharan bahawa Bersih itu adalah satu pertubuhan yang haram.
"Itu sebabnya kita tangkap mereka yang memakai baju kuning yang menggunakan lambang BERSIH. Tak salah pakai baju kuning...tak salah, pakailah baju kuning, stoking kuning atau topi kuning...cuma yang tidak boleh adalah apa juga logo yang menyokong pertubuhan haram Bersih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Skim Kepolisian Masyarakat dan 'Crime Awareness Team' (CAT) di Dataran Nilai malam tadi.
Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan timbalannya Datuk Abd Manan Mohd Hassan.
Khalid berkata jika ada pihak yang tidak puas hati dengan larangan itu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk diputuskan.
"Jadi, bila mahkamah telah putuskan kita (polis) akan ikut. Kita akan melaksanakan apa juga perintah mahkamah itu mengikut undang-undang," katanya.
Mengenai penubuhan CAT, beliau berkata ia adalah program di bawah pencegahan jenayah bagi mengembeleng tenaga golongan muda ke arah membantu polis dalam agenda menurunkan kadar jenayah dan menghapuskan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah.
Katanya kerjasama dan penglibatan golongan muda dalam program masyarakat seperti CAT di bawah kawal selia Jabatan Belia dan Sukan sebagai aktiviti Rakan Muda, membolehkan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah dapat dianjurkan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya tampil membantu polis dalam pencegahan jenayah.
sumber... Bernama