Followers

Showing posts with label TMJ. Show all posts
Showing posts with label TMJ. Show all posts

Wednesday, April 24, 2019

Syed Saddiq Dedah Permintaan TMJ



Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui hubungannya dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim agak 'dingin' disebabkan beberapa permintaan khusus yang membuatkan dirinya tidak selesa.

Syed Saddiq mendakwa antara permintaan Tunku Ismail adalah membatalkan acara saat akhir perlawanan di antara legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao menentang juara bertahan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse di Kuala Lumpur Julai lalu.

“Permintaan ini membuat saya tidak selesa tapi saya terpaksa sampaikan keputusan yang saya tak dapat tunaikan, saya perlu berpegang dengan prinsip saya.

“Ada tuntutan dan perintah khusus untuknya (perlawanan) untuk dibatalkan, tanya penganjur, tanya Pacquiao sendiri,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas sempena setahun Pakatan Harapan (PH) di Bangunan kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Boleh cetus krisis diplomatik

Beliau menjelaskan bahawa pembatalan perlawanan itu boleh mencetuskan krisis diplomatik dengan Filipina.

“Permintaan (TMJ) untuk pembatalan minit terakhir akan mendatangkan isu diplomatik kerana enam menteri termasuk presiden Filipina juga datang (untuk menonton perlawanan.

“Puluhan juta dolar dalam pelaburan akan rugi kerana ia disiarkan kepada lebih 100 saluran langsung di seluruh dunia,” dakwanya.

Katanya, beliau bersama Pesuruhjaya Sukan Zaiton Othman turut mengadap Tunku Ismail bagi menjelaskan mengapa mereka tidak dapat membatalkan perlawanan itu.

“Zaiton dan saya pergi berjumpa dengannya. Kita perlu bersikap sopan dan jelaskan pada baginda," jelasnya.

Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Tunku Ismail selepas baginda dilihat antara pihak yang lantang mengkritik menteri muda itu.

Sebelum PRU, hubungan akrab

Menurut Syed Saddiq lagi, meskipun begitu, beliau tetap menghormati Tunku Ismail sebagai pewaris takhta kesultanan Johor namun beliau perlu meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya.

Selain itu, Syed Saddiq turut mengakui bahawa hubungannya dengan Tunku Ismail akrab sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

 Namun, dakwa MP Muar itu terdapat permintaan bersifat politik yang tidak dapat ditunaikan menyebabkan hubungan itu dingin.
“Dia adalah seseorang yang rapat dengan saya terutamanya sebelum PRU lalu, tetapi sebelum PRU lalu ada permintaan khusus yang dia minta yang saya tak dapat penuhi.

“(Sebab itu) jika kamu lihat, hari pengumuman pencalonan saya di Muar, adalah hari dia mengeluarkan surat terbuka meminta rakyat Johor dan Malaysia tidak menukar kapal dan terus bersama Umno BN,” katanya.

sumber...Anne Muhammad  mKini

Monday, February 22, 2016

Saya Tidak Pakai Jubah dan Mencuri Duit Rakyat - TMJ


ULASAN l
 Saya dimaklumkan oleh laman rasmi kelab yang terdapat banyak komen negatif berkenaan bagaimana isteri Safiq Rahim bersalaman dengan saya.

Terdapat beberapa individu yang cuba untuk menjadi ustaz atau mufti negeri di laman facebook. Bagi saya, apabila berkaitan agama, kita tidaklah semulia Rasul dan Allah SWT.

Oleh itu hanya Allah SWT yang boleh menilai kita dan bukannya kita sesama manusia. Hanya Allah SWT boleh membuat keputusan sama ada amalan kita diterima atau tidak.

Hanya Allah yang boleh menilai sama ada kita ke syurga atau neraka.

Kita hanya manusia dan oleh itu tidak perlu menghukum orang lain terutama perkara-perkara kecil. Islam adalah tentang kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain, bukan tentang menghakimi orang lain terutama apabila ia melibatkan kebencian.

Masalah sekarang adalah terlalu ramai yang cuba menjadi lebih bijak daripada Al-Quran.

Walaupun saya dilahirkan untuk menjadi raja, saya juga hanya seorang manusia. Saya tidak mempunyai hak untuk mengadili sama ada Allah SWT akan menerima anda atau sebaliknya.

Melainkan anda merogol orang atau kanak-kanak, membunuh orang, mencuri atau merampas sesuatu dari mereka yang memerlukan.

Siapa antara kita akan ke syurga?

Beri saya peluang untuk memberi pendapat ikhlas saya kepada sesetengah hipokrit yang sudah terbiasa dengan budaya bermuka muka sesetengah orang di dalam hidup anda.

Saya seorang Muslim dan agama suci Islam adalah lebih utama daripada saya. Saya akui yang saya bukan pakar tetapi apabila ia berkaitan dengan agama Islam, satu perkara yang saya percaya adalah Allah SWT akan memberkati anda, jika anda mempunyai hati yang baik, amanah, jujur, bantu-membantu dan menghormati orang lain.

Terdapat banyak mazhab di dalam Islam. Siapa kita untuk mengatakan siapa antara kita akan ke syurga?
Siapa kita untuk mengatakan yang Islam kita atau islam mazhab lain adalah yang betul.

Bagi saya, saya lebih suka untuk berpegang dengan apa yang telah diajar sejak saya kecil dan sentiasa berpandukan kitab suci Al-Quran.

Saya juga akan berpegang kepada adat dan tradisi Melayu Johor saya kerana saya dilahirkan sebagai seorang Melayu Bangsa Johor.

Jika ada sebahagian dari anda yang mahu menjadi orang Arab dengan budaya mereka dan tidak ingin mengikut adat Melayu dan tradisi, terpulang kepada anda.

Sekurang-kurangnya saya menjadi diri sendiri dan bukan seseorang hipokrit, dan rakyat saya tahu siapa raja mereka sebenarnya.

Berlakon pakai jubah

Saya tidak berlakon dengan memakai jubah tetapi ketagihan dadah dan saya bukan seorang kaki judi. Saya tidak mencuri daripada rakyat saya dan saya sentiasa bercakap benar.

Saya berani untuk bersuara apa yang orang lain tidak berani lakukan kerana masing-masing mempunyai kepentingan peribadi mereka sendiri.

Saya fikir ia adalah penting untuk menjadi diri sendiri dan setelus yang boleh dengan rakyat saya dan tidak bersikap hipokrit. Kerana saya sudah banyak kali mengatakan bahawa saya lebih rela dibenci kerana bersikap jujur dan menjadi diri sendiri daripada hidup disayangi dengan penuh kepalsuan dan hipokrit.

Saya menghormati pilihan anda walaupun saya pelik mengapa orang Malaysia terutamanya orang Melayu begitu mudah terpengaruh?

Jawapannya mudah. Pendidikan.

Pendidikan membolehkan kita melihat dunia secara berbeza. Pendidikan memberikan kita ilmu untuk mematuhi prinsip-prinsip dan polisi dalam kehidupan.

Saya tidak mempunyai hak untuk memberitahu anda apa yang perlu dipercayai atau diikuti dan semua itu adalah pendapat saya secara jujur iaitu kita tidak harus cuba untuk menjadi lebih bijak daripada Al-Quran.

Jadi seorang Muslim tetapi bukan begitu taksub

Apa yang kita perlu tahu adalah perkara asas. Untuk sekalian rakyat Johor jadilah seorang Muslim, tetapi bukan dengan begitu taksub.

Jadi seorang Muslim dengan menghormati satu sama lain. Johor mempunyai tradisi sendiri dan budaya, dan begitu juga dengan negeri-negeri lain.

Kita semua berbeza.

Berbeza dalam ajaran Islam, berbeza dalam agama agama yang lain dan berbeza puak etnik.

Menuding jari dan menilai satu sama lain tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik.

Kita tidak sepatutnya mempunyai kebencian dalam hati kita. Adakah anda tahu bagaimana kita boleh jadikan negara ini tempat yang lebih baik dan hidup dalam suasana harmoni?

Mudah, mendidik diri anda dan menghormati antara satu sama lain. Hidup Johor, Allah Peliharakan Sultan dan Negeri Johor.

Penulis, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim adalah Tunku Mahkota Johor

sumber...mKini

Sultan Beri Amaran Keras Pada 2 Ahli Politik Umno



Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini memberi amaran keras kepada dua ahli politik Umno.

Baginda “menasihatkan” ahli politik, khususnya anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat supaya tidak campur urusan istana atau membuat kenyataan mengaitkan istana.

Sultan Ibrahim juga memberi amaran keras kepada menteri pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang sebelum ini memberi amaran untuk “membelasah” Tengku Mahkota Johor (TMJ) jika baginda campur tangan dalam politik.

Ada juga pemimpin kerajaan yang langsung tidak beradab apabila bercakap, dengan melabelkan orang lain sebagai orang gila; dan lebih teruk lagi dengan angkuh dan sombong hendak “whack” anakanda saya (TMJ).

Adakah pemimpin seperti ini patut dihormati? Ingatlah pepatah Melayu sering menyebut “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Pertelingkahan Nazri dan TMJ tercetus selepas anakanda sultan Johor memperli kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke majlis dialog terus terang #Nothing2Hide berkaitan isu 1MDB di Kuala Lumpur.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena majlis perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, di ibu pejabat polis kontinjen Johor.

Petikan ucapan itu dimuat naik ke Facebook rasmi pasukan bola sepak negeri Johor Southern Tigers.

Tengku Putra pula sebelum ini dilaporkan berkata, amaran Tunku Ismail kepada ahli politik yang cuba mendekati ayahandanya untuk kepentingan peribadi. patut juga dinyatakan kepada golongan taikun perniagaan negeri.

Sementara itu, dalam ucapan sama, baginda juga bertitah tidak akan mencampuri urusan mana-mana parti politik.

Titah baginda, walaupun banyak pemimpin politik yang datang berjumpa, baginda hanya mendengar cerita mereka dan tidak akan memihak kepada mana-mana parti atau individu.

Apa yang saya pentingkan adalah kesejahteraan hidup rakyat saya dan kemakmuran negeri Johor mesti dijaga melalui perpaduan dan pengukuhan muafakat bangsa Johor,” titah baginda.

Timbalan Muhyiddin Yassin sebelum ini mengadap baginda selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri, yang dispekulasikan beliau mendapat dukungan istana.

sumber...mKini

Friday, October 24, 2014

TMJ dan Cik Khaleeda Selamat Diijab Kabul



Selamat Pengantin baru

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selamat diijab kabul dengan Che Khaleeda Bustamam, 21, di Istana Bukit Serene dalam satu majlis tertutup di sini, Jumaat.

Upacara akad nikah telah disempurnakan oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan permaisuri Raja Zarith Sofiah bersama-sama anakanda baginda turut hadir.

Selepas majlis itu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith dilihat meninggalkan kawasan istana sekitar pukul 11.45 pagi.

Lebih kurang 15 minit kemudian, Tunku Ismail, 30, dan Che Puan Khaleeda meninggalkan istana.

Mereka melambaikan tangan kepada wartawan yang menunggu di luar pintu gerbang istana.

Sebelum itu, pengantin lelaki tiba di pintu gerbang istana pada pukul 10 pagi menaiki kereta Rolls-Royce Phantom bersama polis pengiring.

Pemimpin negeri termasuk anggota exco Johor dan tetamu jemputan tiba di Istana Bukit Serene sekitar pukul 8 pagi.

sumber...Mstar OL