Followers

Wednesday, April 24, 2019

Syed Saddiq Dedah Permintaan TMJ



Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui hubungannya dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim agak 'dingin' disebabkan beberapa permintaan khusus yang membuatkan dirinya tidak selesa.

Syed Saddiq mendakwa antara permintaan Tunku Ismail adalah membatalkan acara saat akhir perlawanan di antara legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao menentang juara bertahan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse di Kuala Lumpur Julai lalu.

“Permintaan ini membuat saya tidak selesa tapi saya terpaksa sampaikan keputusan yang saya tak dapat tunaikan, saya perlu berpegang dengan prinsip saya.

“Ada tuntutan dan perintah khusus untuknya (perlawanan) untuk dibatalkan, tanya penganjur, tanya Pacquiao sendiri,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas sempena setahun Pakatan Harapan (PH) di Bangunan kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Boleh cetus krisis diplomatik

Beliau menjelaskan bahawa pembatalan perlawanan itu boleh mencetuskan krisis diplomatik dengan Filipina.

“Permintaan (TMJ) untuk pembatalan minit terakhir akan mendatangkan isu diplomatik kerana enam menteri termasuk presiden Filipina juga datang (untuk menonton perlawanan.

“Puluhan juta dolar dalam pelaburan akan rugi kerana ia disiarkan kepada lebih 100 saluran langsung di seluruh dunia,” dakwanya.

Katanya, beliau bersama Pesuruhjaya Sukan Zaiton Othman turut mengadap Tunku Ismail bagi menjelaskan mengapa mereka tidak dapat membatalkan perlawanan itu.

“Zaiton dan saya pergi berjumpa dengannya. Kita perlu bersikap sopan dan jelaskan pada baginda," jelasnya.

Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Tunku Ismail selepas baginda dilihat antara pihak yang lantang mengkritik menteri muda itu.

Sebelum PRU, hubungan akrab

Menurut Syed Saddiq lagi, meskipun begitu, beliau tetap menghormati Tunku Ismail sebagai pewaris takhta kesultanan Johor namun beliau perlu meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya.

Selain itu, Syed Saddiq turut mengakui bahawa hubungannya dengan Tunku Ismail akrab sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

 Namun, dakwa MP Muar itu terdapat permintaan bersifat politik yang tidak dapat ditunaikan menyebabkan hubungan itu dingin.
“Dia adalah seseorang yang rapat dengan saya terutamanya sebelum PRU lalu, tetapi sebelum PRU lalu ada permintaan khusus yang dia minta yang saya tak dapat penuhi.

“(Sebab itu) jika kamu lihat, hari pengumuman pencalonan saya di Muar, adalah hari dia mengeluarkan surat terbuka meminta rakyat Johor dan Malaysia tidak menukar kapal dan terus bersama Umno BN,” katanya.

sumber...Anne Muhammad  mKini