Followers

Wednesday, December 30, 2020

145 Ketua Bahagian UMNO Tolak Kerjasama dengan BERSATU


 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa, bukan rahsia lagi 145 Ketua Bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu (PPBM) dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

Katanya, ini kerana sikap Bersatu yang menikam Umno dari belakang dan cuba menguburkan Umno.

“Pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar yang tikam Umno dari belakang di PRU 14 adalah PPBM. Yang rancang bubarkan Umno setelah PH berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP.

“Walaupun PH sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam PPBM 2.0. PPBM melihat Umno sebagai rival bukan kawan,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan itu.

Puad mengecam kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mempertikaikan kenyataan beliau sebelum ini yang didakwa membocorkan rahsia parti.

Dua hari lepas, kata Puad, Annuar Musa membuat posting terbuka. Dia tuduh seorang pemimpin yang ada platform resmi buat perkara yang berlawanan dengan dasar parti.

“Annuar terlupa dia Setiausaha Agung BN. Dia pun suka mendahului Presiden.

“Annuar mendakwa parti sedang di bawa ke arah perpecahan bukan konsolidasi.

“Annuar tutup mata sebelah. Sebenarnya Umno yang sedang ditikam dan dilemahkan dari belakang,” kata bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu.

Menurut Puad, sekarang ini sebok PPBM membeli dan memujuk Ketua-ketua cawangan Umno untuk menubuhkan cawangan baru PPBM.

“Kenapa tidak dipujuk ketua Pas, PKR dan PAN (AMANAH)?” tanya Puad dalam facebook beliau itu.

Menurut Puad, masa orang Bersatu jadi menteri besar, mereka gunakan jawatan ketua kampung sebagai tawar menawar tubuh cawangan baru.

“Sekarang guna PM (Perdana Menteri) desak MB Umno beri kuota 60-40 untuk lantik ketua kampung dan ahli majlis.

“Pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar yang tikam Umno dari belakang di PRU 14 adalah PPBM.

“Yang rancang bubarkan Umno setelah PH berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP,” kata Puad lagi.

Menurut beliau, walaupun PH sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam Bersatu 2.0. Bersatu melihat Umno sebagai rival bukan kawan, katanya.

“Sekarang mereka tidak boleh haramkan Umno melalui perundangan. Tetapi melayan Umno dengan cara melemahkan Umno dan akhirnya kuburkan Umno,” kata beliau lagi.

Menurut Puad, Annuar mendakwa membatalkan keputusan “No Anwar No DAP” akan menjadikan kubu Umno menjadi kubur.

“Itu hanya sentimen,” kata Puad yang menyokong usaha kerjasama antara Umno dengan Anwar Ibrahim dan juga DAP.

Menurut Puad, sekarang ini, Bersatu cuba merampas kerusi yang selama ini menjadi kubu Umno.

“Hakikatnya lihatlah apa yang berlaku di Larut, di Mersing, di Tanah Merah dan di tempat tempat MP lompat. Mana mungkin Annuar Musa tidak nampak itu semua,” katanya.

Beliau bertanya, di manakah menteri menteri lompat Bersatu yang asalnya Umno akan bertanding dalam PRU ke 15 nanti.

“Sudah tentu di kubu Umno,” kata beliau lagi.

Bagi beliau, Bersatu lebih terdesak dan perlu melemahkan Umno jika mahu tambah kerusi Parlimen dan DUN di PRU ke 15 akan datang.

“Sebab itu tidak timbul PKR dan DAP mahu bubarkan Umno. Tendensinya, Umno-PPBM akan bertembung. PPBM akan guna muslihat seperti yang berlaku di PRN Sabah,” kata beliau mengulas apa yang berlaku dalam PRN Sabah apabila banyak kerusi Umno dirampas oleh Bersatu dan akhirnya Bersatu yang menjadi Ketua Menteri walaupun Umno menang lebih banyak kerusi.

Puad berkata, Annuar Musa mendakwa Umno boleh tergolek kali kedua dalam PRU 15 nanti.

“Itulah rasional kenapa 143 Ketua Bahagian menolak kerjasama dengan PPBM kerana tindak tanduk PPBM mahu menggolekkan Umno kali kedua.

“Percayalah, kalau PPBM masih menghalalkan kaedah lompat parti untuk tambah MP PPBM, sudah tentu MP UMNO menjadi target untuk dipujuk bukan MP Pas.

“Itu yang patut dikhuatiri oleh Annuar. Kalau Ketereh adalah kubu Umno, maka parti mana yang akan menjadikannya kubur. DAP, PKR atau PPBM?” katanya.

Katanya, kalau Annuar kata pemimpin akar umbi Umno resah, mereka sebenarnya lebih mengetahui apa yang berlaku di bawah.

“Mereka terdedah dengan pujukan dan tawaran.

“Semoga Umno bukan umpama, terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau,” kata beliau lagi.

sumber...MDLine