Followers

Showing posts with label UIA. Show all posts
Showing posts with label UIA. Show all posts

Tuesday, November 22, 2011

UIA Gabra : Batal Majlis Tim.Menteri Pengajian Tinggi

Alasan ‘AUKU masih panas’, UIA batal majlis timbalan menteri Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Nov — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang popular dengan pendirian progresif menyentuh transformasi politik, kecewa apabila Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membatalkan program yang sepatutnya beliau jayakan di kampus induk pusat pengajian tinggi itu di Gombak, malam tadi.

UIA didakwa membatalkan majlis itu atas alasan isu menyentuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih panas dan tidak mahu mewujudkan masalah.

Saifuddin (gambar) juga merupakan antara ahli politik yang lantang menyuarakan pendiriannya berkaitan dengan isu UIA menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari ketika beliau disiasat universiti itu bulan lalu.

“Ya, saya kecewa. Ini kali pertama saya berhadapan dengan pengalaman ini, sepatutnya UIA tidak membatalkan majlis ini . . . ia cuma satu majlis membicarakan tentang buku saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Mengikut jadual asal beliau sepatutnya berada di kampus UIA untuk menghadiri majlis membicarakan e-buku beliau bertajuk “Kalau Saya Mahasiswa” sempena program anjuran Persatuan Undang-Undang UIA.

“Tetapi, pada saat-saat akhir, program tersebut dibatalkan dan ditangguh sehingga ke tarikh yang lain,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa “saya menerima maklumat pembatalan majlis saya sekitar pukul 5 petang tadi.”

“Saya difahamkan mengenai keputusan itu apabila pembantu saya ke UIA petang tadi (semalam) untuk meninjau persiapan akhir.

“Tetapi dimaklumkan bahawa majlis saya dibatalkan, dimaklumkan oleh Timbalan Rektor HEP UIA (Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood),” katanya.

Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menambah, beliau mendapat maklumat daripada Nik Ahmad Kamal bahawa pembatalan itu adalah atas arahan rektor universiti tersebut Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

“Alasan pembatalan ialah kerana isu AUKU sedang hangat diperkatakan,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Ditanya sama ada beliau ada menghubungi pengurusan UIA mengenai soal itu, “tidak, malas (mahu bertanya). Kalau tidak mahu beri kebenaran, tak mengapalah.”

Di sebalik isu menyentuh Aziz, arena politik tempatan masih hangat dengan polemik berkaitan dengan AUKU dengan masyarakat berbelah bahagi dengan syor agar akta itu dimansuhkan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan 31 Oktober lalu.

E-buku adalah buku kelima Saifuddin dan diterbitkan pada 2009.

sumber...TMi

Tuesday, October 25, 2011

Siapa Berani Cakap Najib Tak Ada 'Batu'

Najib tak hadir, demo pro pensyarah diteruskan

Walaupun penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik semalam, kumpulan mahasiswa tetap mahu meneruskan perhimpunan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dekat ibu negara malam ini.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu juga akan berlangsung tanpa kehadiran Merdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di universiti itu malam ini.
"Kami bersetuju meneruskan bantahan terhadap isu itu kerana SMM cuba mengangkat isu kebebasan akademik dan bukan hanya kes Aziz Bari semata-mata," kata Penyelaras Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) Khalid Mohd Ismath.

Katanya, mereka insaf bahawa banyak lagi kes dalam bidang pengetahuan di mana kebebasan menyampaikan maklumat akademik ditahan.

KAMI antara kumpulan bergabung dalam SMM.

SMM: Najib takut mahasiswa

Peguam Aziz semalam memberitahu, UIA menarik balik penggantungan itu berkuatkuasa serta merta dan dipercayai ekoran tekanan pelbagai pihak.

Najib dijadual hadir ke pertandingan akhir Debat Piala Perdana Menteri antara institusi pengajian tinggi di UIA.
Bagaimanapun, jadual terkini yang dikeluarkan agensi berita nasional Bernama menyatakan, teks ucapannya akan dibacakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata, bantahan itu bertujuan menggesa UIA menghentikan siasatan terhadap Aziz susulan penarikan balik penggantungan itu.

Sementara itu, Pengerusi SMM Ahmad Syukri Ab Razab (atas, berucap) menyifatkan pembatalan lawatan perdana menteri sebegai "takut" untuk berdepan dengan mahasiswa.

Katanya, penyerahan memorandum pada malam ini tetap akan berlangsung dan pihaknya menjangkakan Hishamuddin akan menerima memorandum mereka selaku wakil perdana menteri.

Perhimpunan malam ini dijadual bermula pada jam 7 petang di depan pintu utama UIA di Gombak.

sumber...malaysiaKini

Monday, October 24, 2011

UiA Bungkus, Aziz Bari Menang

UIA tarik balik arahan gantung tugas Aziz Bari, diarah lapor diri esok

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah menarik balik arahan gantung tugas yang dikenakan ke atas pensyarah undang-undangnya Prof Abdul Aziz Bari hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan sekitar pukul 6.30 petang tadi, kata peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman kepada The Malaysian Insider.

“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Dalam laporan petang tadi, The Malaysian Insider memetik Zulqarnain berkata UIA memaklumkan akan mengumumkan keputusan hasil siasatannya ke atas Aziz (gambar) esok.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,” kata Zulqarnain.

Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.

Zulqarnain berkata dalam responsnya, Aziz telah menjelaskan bahawa kenyataan beliau mengenai titah Sultan Selangor adalah satu bentuk kebebasan dalam memberi pandangan, yang sama sekali tidak bertentangan denagn Artikel 15(3) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti dan juga Seksyen 3(2) Akta Hasutan.

“Asasnya penjelasan kami kepada UIA adalah begitu, apa yang dikatakan oleh Prof Aziz ialah ia kebebasan bersuara, tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara... Seksyen 3(2) Akta Hasutan sendiri memberi pengecualian,” katanya.

Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

UIA telah memberi masa selama seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.

Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.

sumber...G.Manimaran TMi