Lawan PAS ialah Umno. PAS perlu menumbangkan Umno untuk kemajuan politiknya.
Perlu diakui melawan Umno ini bukan satu tugas yang mudah. Ia juga bukan satu tugas yang singkat.
Ini memerlukan kekentalan jiwa, ketaatan pada perjuangan dan kekuatan
semangat untuk mengharungi segala serangan yang bakal dilemparkan oleh
Umno.
Ini termasuk ditahan tanpa bicara, dihina sehingga telanjang, diremeh setiap hari dan difitnah sepanjang masa.
Seseorang ini juga harus kental meneruskan istiqamah dalam perjuangan walaupun terpaksa mengharungi kekecewaan berkali-kali.
Seseorang yang tidak pernah diuji dengan ujian berat sedemikian susah untuk memikul perjuangan onak duri ini.
Antara lima calon Timbalan Presiden PAS yang bakal bertanding kali ini,
hanya Abang Mat kita pernah diuji dengan segala macam ujian.
Menjadi orang kedua PAS, yang paling dipentingkan ialah kepimpinan
politik dan aura untuk menarik orang bukan PAS untuk bersama dengan PAS
melawan bathil dan kejahilan yang dibawa Umno.
Perlukah orang kedua PAS mahir dalam selok-belok agama sebagaimana seorang ulama?
Bagi saya, tidak perlu kerana Presiden PAS sendiri adalah satu
ensiklopedia agama yang boleh dirujuk oleh sesiapa sekiranya ada masalah
yang berbangkit mengenai agama.
Selain itu, Abang Mat juga rapat dengan pelbagai badan NGO yang menjadi
pemangkin kepada kebangkitan rakyat yang disaksikan di
himpunan-himpunan Bersih.
Sebagai seorang aktivis, kegigihan Abang Mat sememangnya disanjung tinggi oleh pelbagai pihak.
Dan aspek yang dibawa Abang Mat ini adalah apa yang diperlukan PAS sehinggalah ia menumbangkan Umno.
Saban hari, semakin ramai menyuruh calon-calon yang kononnya mendapat
pencalonan terbanyak untuk masuk pertandingan merebut jawatan Timbalan
Presiden PAS.
Jawatan Timbalan Presiden PAS bukanlah satu jawatan main-main berdasarkan populariti seseorang sahaja.
Jawatan ini adalah jawatan untuk berkhidmat untuk parti, berkorban
untuk parti dan mengembangkan parti ke saluran-saluran pengundi yang
tidak berjaya ditembusi parti sebelum ini.
Yang penting dalam pemilihan Timbalan Presiden PAS ialah memilih
berdasarkan kebolehan, kemampunan, kebijaksanaan dan juga mereka yang
dibenci musuh.
Mereka yang dipopularkan musuh, terutamanya Umno mesti ditolak. Mereka
yang hanya popular tanpa pernah diuji juga tidak harus menjadi pilihan.
Fitnah-fitnah khalwat dan isu Syiah yang dilemparkan pada Abang Mat
semuanya hanya fitnah kerana tiada bukti yang sahih untuk menyokong
dakwaan tersebut.
Ada yang bertanya jika Abang Mat layak, apakah Husam tidak layak
diberikan peluang.
Manusia berpegang pada janji, Husam pernah berkata
tiada sebab untuk melawan Abang Mat. Kalau Husam mungkir janji, beliau
pun tidak layak diberi undi.
Bagi Tuan Ibrahim, ramai yang kata beliau mendapat pencalonan tertinggi. Siapa yang boleh sahkan? Ini cumalah psy-war media.
Tuan Ibrahim seorang yang baik, masih muda dan juga dihormati, tapi
masa untuk beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden masih awal kerana
beliau belum pernah diuji.
Lebih-lebih lagi, ada dakwaan mengatakan bahawa beliau terlalu rapat
dengan orang bukan Islam dan bukan ahli parti yang menasihatinya tidak
seperti perangai seorang ulama yang biasa.
Walaupun ramai yang mendesaknya bertanding, namun Tuan Ibrahim
nampaknya tidak berminat bertanding mungkin kerana beliau sedar
kemampuan dan kebijaksanaan politiknya tidak setanding Abang Mat jika
beliau bergerak bersendirian.
Diharap beliau tidak membuat U-turn walaupun beliau belum membuat keputusan secara rasminya.
Bagi Nik Amar, yang dikatakan ingin bertanding berlawan Abang Mat –
dinasihatkan beliau harus faham risiko pada Kelantan dan kedudukan dan
imejnya jika beliau ditakdirkan tewas.
Abang Mat pernah tewas dan tidak meninggalkan perjuangan. Bukan semua dapat bertindak sedemikian.
Yang layak bertanding, nak tanding, tandinglah. Artikel ini ditujukan
pada perwakilan PAS yang bakal mengundi bukan untuk mereka yang nak
bertanding mahupun menarik diri.
Saya menulis kerana saya menyokong Abang Mat dan percaya parti
memerlukan Abang Mat daripada empat calon yang lain buat masa ini.
Itu sahaja yang saya boleh buat untuk Abang Mat, walaupun banyak SMS
saya padanya tidak berbalas kerana beliau tidak sudi mengenali saya.
Oleh Ismail Qawi