Followers

Friday, November 1, 2013

Mengapa Mat Sabu Perlu Dikekalkan Sebagai Timbalan Presiden PAS ?

 

Lawan PAS ialah Umno. PAS perlu menumbangkan Umno untuk kemajuan politiknya.

Perlu diakui melawan Umno ini bukan satu tugas yang mudah. Ia juga bukan satu tugas yang singkat.

Ini memerlukan kekentalan jiwa, ketaatan pada perjuangan dan kekuatan semangat untuk mengharungi segala serangan yang bakal dilemparkan oleh Umno.

Ini termasuk ditahan tanpa bicara, dihina sehingga telanjang, diremeh setiap hari dan difitnah sepanjang masa.

Seseorang ini juga harus kental meneruskan istiqamah dalam perjuangan walaupun terpaksa mengharungi kekecewaan berkali-kali.

Seseorang yang tidak pernah diuji dengan ujian berat sedemikian susah untuk memikul perjuangan onak duri ini.

Antara lima calon Timbalan Presiden PAS yang bakal bertanding kali ini, hanya Abang Mat kita pernah diuji dengan segala macam ujian.

Menjadi orang kedua PAS, yang paling dipentingkan ialah kepimpinan politik dan aura untuk menarik orang bukan PAS untuk bersama dengan PAS melawan bathil dan kejahilan yang dibawa Umno.

Perlukah orang kedua PAS mahir dalam selok-belok agama sebagaimana seorang ulama?
Bagi saya, tidak perlu kerana Presiden PAS sendiri adalah satu ensiklopedia agama yang boleh dirujuk oleh sesiapa sekiranya ada masalah yang berbangkit mengenai agama.

Selain itu, Abang Mat juga rapat dengan pelbagai badan NGO yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat yang disaksikan di himpunan-himpunan Bersih.

Sebagai seorang aktivis, kegigihan Abang Mat sememangnya disanjung tinggi oleh pelbagai pihak.

Dan aspek yang dibawa Abang Mat ini adalah apa yang diperlukan PAS sehinggalah ia menumbangkan Umno.

Saban hari, semakin ramai menyuruh calon-calon yang kononnya mendapat pencalonan terbanyak untuk masuk pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PAS.

Jawatan Timbalan Presiden PAS bukanlah satu jawatan main-main berdasarkan populariti seseorang sahaja.

Jawatan ini adalah jawatan untuk berkhidmat untuk parti, berkorban untuk parti dan mengembangkan parti ke saluran-saluran pengundi yang tidak berjaya ditembusi parti sebelum ini.

Yang penting dalam pemilihan Timbalan Presiden PAS ialah memilih berdasarkan kebolehan, kemampunan, kebijaksanaan dan juga mereka yang dibenci musuh.

Mereka yang dipopularkan musuh, terutamanya Umno mesti ditolak. Mereka yang hanya popular tanpa pernah diuji juga tidak harus menjadi pilihan.

Fitnah-fitnah khalwat dan isu Syiah yang dilemparkan pada Abang Mat semuanya hanya fitnah kerana tiada bukti yang sahih untuk menyokong dakwaan tersebut.

Ada yang bertanya jika Abang Mat layak, apakah Husam tidak layak diberikan peluang.

Manusia berpegang pada janji, Husam pernah berkata tiada sebab untuk melawan Abang Mat. Kalau Husam mungkir janji, beliau pun tidak layak diberi undi.

Bagi Tuan Ibrahim, ramai yang kata beliau mendapat pencalonan tertinggi. Siapa yang boleh sahkan? Ini cumalah psy-war media.

Tuan Ibrahim seorang yang baik, masih muda dan juga dihormati, tapi masa untuk beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden masih awal kerana beliau belum pernah diuji.

Lebih-lebih lagi, ada dakwaan mengatakan bahawa beliau terlalu rapat dengan orang bukan Islam dan bukan ahli parti yang menasihatinya tidak seperti perangai seorang ulama yang biasa.

Walaupun ramai yang mendesaknya bertanding, namun Tuan Ibrahim nampaknya tidak berminat bertanding mungkin kerana beliau sedar kemampuan dan kebijaksanaan politiknya tidak setanding Abang Mat jika beliau bergerak bersendirian.

Diharap beliau tidak membuat U-turn walaupun beliau belum membuat keputusan secara rasminya.

Bagi Nik Amar, yang dikatakan ingin bertanding berlawan Abang Mat – dinasihatkan beliau harus faham risiko pada Kelantan dan kedudukan dan imejnya jika beliau ditakdirkan tewas.

Abang Mat pernah tewas dan tidak meninggalkan perjuangan. Bukan semua dapat bertindak sedemikian.

Yang layak bertanding, nak tanding, tandinglah. Artikel ini ditujukan pada perwakilan PAS yang bakal mengundi bukan untuk mereka yang nak bertanding mahupun menarik diri.

Saya menulis kerana saya menyokong Abang Mat dan percaya parti memerlukan Abang Mat daripada empat calon yang lain buat masa ini.

Itu sahaja yang saya boleh buat untuk Abang Mat, walaupun banyak SMS saya padanya tidak berbalas kerana beliau tidak sudi mengenali saya.

Oleh Ismail Qawi