Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) nampaknya sedang menerima tekanan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir bukan sahaja mendapatkan pandangan balas daripada bekas pegawai kanan polis dan peguam kanan sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini bahkan menteri juga dibawa berbincang mengenainya.
Menurut sumber The Malaysian Insider, sekurang-kurangnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibawa berbincang oleh Dr Mahathir mengenai tingkah laku Gani.
Antaranya Mahathir bertanya Zahid apakah beliau sedar atau tidak ada dua pegawai Amerika Syarikat yang didakwanya agen kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bekerja di pejabat Peguam Negara sekarang.
itu, Zahid didakwa berjanji akan menyiasat dakwaan Dr Mahathir itu.
Hari ini, Malaysiakini mendedahkan, Dr Mahathir melalui orang kepercayaannya memanggil bekas pegawai penyiasat polis terhadap kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Mat Zain Ibrahim ke rumahnya.
Mat Zain dibawa bertemu Dr Mahathir oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pada 10 Ogos lalu, tiga hari selepas hari raya Aidilfitri.
Mereka bertemu Dr Mahathir di rumahnya di Country Height. Turut serta adalah bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Matthias Chang.
Dalam perbincangan di meja makan sempena hari raya itu, mereka berbincang mengenai salah laku Gani bermula daripada kes mata lebam Anwar lagi.
Turut dibincangkan adalah kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa. Gani mewakili Malaysia dalam kes itu.
Selepas pertemuan 10 Ogos itu, Mat Zain pada 7 Oktober membuat satu akuan bersumpah yang antara kandungannya adalah dakwaan salah laku Gani dalam kes mata lebam Anwar.
Akuan bersumpah itu kemudiannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Turut dihantar salinan Akuan Bersumpah itu adalah Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar dan juga dikatakan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.
sumber...TMI