Followers

Sunday, November 24, 2013

5 Pengajaran Daripada Muktamar PAS



Pemilihan yang paling sengit dalam Muktamar PAS ke-59 sudah selesai dan terbukti perwakilan PAS tidak dipengaruhi kempen agresif yang meminta perwakilan membuang sesetengah pemimpin parti Islam itu dengan pelbagai label seperti "Syiah" atau "liberal."

Pemimpin yang diminta dikalahkan mendapat tempat baik manakala pihak yang dikira sebagai penyerang utama dalam menyerang sesetengah pimpinan ditolak oleh perwakilan.

Pemilihan kali ini juga membuktikan, politik adalah tentang pemilikan kuasa dan pihak yang bertanding akan berusaha mendapatkan kuasa dalam parti politik dan PAS tidak terkecuali dalam hal ini.

Berikut adalah lima pengajaran penting yang boleh dirumuskan daripada muktamar kali ini:
 
1) Sokongan Umno adalah racun.

Apabila musuh menyokong anda, tunggulah kejatuhan anda dalam PAS. Itulah yang berlaku apabila sesetengah pemimpin PAS disokong oleh musuh parti Melayu itu khasnya media mereka seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3.

Sokongan Utusan Malaysia, pemimpin Umno atau bekas pemimpin yang sudah dipecat seperti Datuk Dr Hasan Ali memberi persepsi negatif kepada mereka.

Pendek kata, jaga-jagalah apabila dipuji oleh musuh anda, ia pasti memakan diri.
 
2) Jangan menyerang sesama sendiri.

Terbukti, pihak yang paling banyak menyerang sesama sendiri di dalam PAS ditolak oleh perwakilan.

Dua nama penting yang dilihat sangat vokal adalah ahli Majlis Syura, Zaharudin Mohamad dan ketua Ulama Pahang, Mokhtar Senik.

Zaharudin yang juga menantu kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak awal lagi membuat serangan melalui tulisan dalam laman sosial Facebook ataupun majlis-majlis dalaman parti.

Mokhtar pula sangat vokal dalam kempennya untuk ulama sehingga memakan diri calon-calon pro ulama.

Kedua-duanya walaupun popular gagal untuk mendapat tempat dalam muktamar ini khasnya bagi jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
 
3) Jangan berkempen terlalu berlebihan, makan diri.

Sejak awal, ahli-ahli PAS diberikan ingatan, sesiapa yang hendakkan jawatan tidak layak untuk jawatan itu.

Muktamar kali ini menyerlahkan hakikat itu.

Kempen yang terlalu berlebihan di kalangan penyokong ulama tidak membuahkan hasil untuk mereka. Laman Facebook El Haraki merupakan contoh terbaik.

Kempennya yang melampau untuk ulama menyebabkan ramai tertanya-tanya, ulama ini gilakan jawatan ke?

Nampaknya kempen berlebihan ini memakan diri, umpama cerita beruang dengan tuannya.
 
4) Mereka yang bekerja pilihan perwakilan.

Contoh terbaik adalah Mazlan Aliman?

Siapa Mazlan? Pada muktamar lepas, dia mendapat tempat pertama dalam pemilihan AJK. Kali ini di tempat kedua.

Tiada apa yang hebat pada sosok tubuh peribadi presiden Anak, sebuah NGO yang memperjuangkan peneroka Felda ini.

Tetapi kerja kuat, fokus dalam gerak kerja walaupun belum berhasil yang dilihat oleh perwakilan PAS.
 
5)  Urusan mengendalikan pilihan raya bukan kerja mudah

Proses pemilihan pucuk kepimpinan PAS kali ini membuktikan kerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan mudah.

 Kalau selama ini PAS dan Pakatan Rakyat (PR) sentiasa saja mempertikaikan kerja SPR, kali ini mereka sendiri yang merasainya sehingga terpaksa melakukan pengundian semula.

Yang lebih menarik ia dirasai sendiri oleh peguam PAS Asmuni Awi yang selama ini banyak melakukan bantahan terhadap SPR.

Cuma membezakan kedua-duanya, PAS mengakui kesilapan dan terjadilah pesta meminta maaf dalam muktamar kali ini.

Selepas ini sudah tentu pemimpin PAS sangat berhemat dalam urusannya dengan SPR.

summber...TMI