Followers

Sunday, November 24, 2013

Terkini: PAS Sedia "Berbincang" Dengan Umno

 

PAS sedia muzakarah dengan Umno dalam hal Islam, kata Hadi

 PAS hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan muzakarah dengan parti lawan, Umno, namun hanya terbatas kepada hal ehwal Islam, kata presiden parti berkenaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi ketika ucapan penggulungannya sempena Muktamar Tahunan ke-59 PAS menegaskan, kerjasama berkenaan adalah bagi kepentingan umat Islam di negara ini.

"PAS bersedia untuk muzakarah dengan Umno dalam isu pelaksanaan Islam.

"Insyaallah, ulama-ulama kita akan turun. Kita ramai ahli-ahli, nak yang tua atau muda pun ada," kata Abdul Hadi ketika sidang media di Stadium Malawati.

Abdul Hadi turut berkata, segala perbincangan turut boleh berbincang dalam aspek termasuk ekonomi dan juga pertahanan.

"Nak bincang pasal ekonomi pun boleh. Keselamatan pun ada. Kita ada pelbagai kalangan, bersatu di atas bahtera Islam.

"Kalau seluruh masyarakat majmuk, tanggungjawab kita selamatkan Melayu, Cina dan India dan Islam. Selamatkan harta dan negara dengan Islam. Tegakkan Islam. Letakkan Islam di hadapan," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan, kumpulan pemimpin PAS dari kalangan ulama masih mendominasi parti pembangkang tertua negara itu, dengan sembilan daripada 18 Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dipilih adalah dari kalangan ulama.

"Ulama masih terbesar. Sembilan dari kalangan ulama, bakinya ada doktor, jurutera, aktivis pun ada," katanya kepada pemberita.

Muktamar Tahunan PAS kali ini turut menyaksikan pemilihan anggota Majlis Tertinggi dengan Mohamad Sabu kekal sebagai Timbalan Presiden.

Perubahan kepimpinan untuk jawatan Naib Presiden berlaku selepas penyandang, Datuk Mahfuz Omar tewas, manakala Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa, dan Salahuddin Ayub kekal sebagai Naib Presiden.

Muktamar yang bermula Jumaat, minggu lalu, menyaksikan 1,129 perwakilan berkampung di Shah Alam ditamatkan hari ini tepat jam 3.30 petang

sumber...TMI