Tunggu masa nak cekup
Kuala Lumpur: Kedutaan Malaysia di Kemboja sudah mengenal pasti seorang ustaz di negara itu yang dikaitkan dengan pengutipan sumbangan dari rakyat Malaysia sebelum didakwa menggunakan wang itu untuk membina banglo ratusan ribu ringgit di perkampungan miskin dan terpencil di negara berkenaan.
Difahamkan, ustaz terbabit berada dalam pemantauan pihak berkuasa di Kemboja dan dijangka ditahan dalam tempoh terdekat untuk siasatan.
Menteri Penasihat Kedutaan Malaysia di Kemboja Raja Saifful Ridzuan berkata, pihaknya memang mengenali ustaz itu yang sebelum ini pernah membawa rombongan warga Malaysia ke kedutaan kononnya mengenali individu tertentu di kedutaan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah memantau senario ‘tidak enak’ itu, malah sudah dihentikan selain tidak mahu ustaz itu bertindak sebagai ‘orang tengah’ seterusnya menjadikan ia sumber untuk mendapatkan wang daripada warga Malaysia yang mahu ke kedutaan.
“Malah, berdasarkan laporan Harian Metro sejak beberapa hari lalu, kami sudah mengenal pasti ustaz yang dimaksudkan dan dipercayai memang gemar menggunakan nama pegawai agensi agama di Malaysia untuk tujuan berkaitan.
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad mymetro