Followers

Showing posts with label Gani Patail. Show all posts
Showing posts with label Gani Patail. Show all posts

Wednesday, November 6, 2013

PANAS: Ada isu Besar Akan Meletop Dalam Malaysia ..


Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) nampaknya sedang menerima tekanan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir bukan sahaja mendapatkan pandangan balas daripada bekas pegawai kanan polis dan peguam kanan sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini bahkan menteri juga dibawa berbincang mengenainya.

Menurut sumber The Malaysian Insider, sekurang-kurangnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibawa berbincang oleh Dr Mahathir mengenai tingkah laku Gani.

Antaranya Mahathir bertanya Zahid apakah beliau sedar atau tidak ada dua pegawai Amerika Syarikat yang didakwanya agen kepada  Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bekerja di pejabat Peguam Negara sekarang.

itu, Zahid didakwa berjanji akan menyiasat dakwaan Dr Mahathir itu.

Hari ini, Malaysiakini mendedahkan, Dr Mahathir  melalui orang kepercayaannya memanggil bekas pegawai penyiasat polis terhadap kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Mat Zain Ibrahim ke rumahnya.

Mat Zain dibawa bertemu Dr Mahathir oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pada 10 Ogos lalu, tiga hari selepas hari raya Aidilfitri.

Mereka bertemu Dr Mahathir di rumahnya di Country Height. Turut serta adalah bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Matthias Chang.

Dalam perbincangan di meja makan sempena hari raya itu, mereka berbincang mengenai salah laku Gani bermula daripada kes mata lebam Anwar lagi.

Turut dibincangkan adalah kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa. Gani mewakili Malaysia dalam kes itu.

Selepas pertemuan 10 Ogos itu, Mat Zain pada 7 Oktober membuat satu akuan bersumpah yang antara kandungannya  adalah dakwaan salah laku Gani dalam kes mata lebam Anwar.

Akuan bersumpah itu kemudiannya dihantar  kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut dihantar salinan Akuan Bersumpah itu adalah Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar dan juga dikatakan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyidin Yassin.

sumber...TMI

Thursday, September 29, 2011

Mengimbau Detik 29 September

Mata lebam Anwar: 29 Sept detik hitam sejarah negara

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Tanggal 29 September 2008 genap 13 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul di mahkamah dengan mata lebam akibat dibelasah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Tarikh itu menyaksikan institusi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) diperkudakan bagi memenuhi konspirasi peringkat tertinggi, termasuk badan kehakiman untuk memenjarakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Tragedi mata lebam Anwar merupakan detik hitam pada era pemerintahan diktator Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merencanakan satu konspirasi untuk menjatuhkan timbalannya itu dengan fitnah seks dan salahgunakuasa.

Ketika Anwar muncul di mahkamah dengan mata lebam selepas ditangkap polis pada malam 20 September 1998, Mahathir menuduh Anwar memukul dan mencederakan dirinya sendiri.

Namun kes berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan berterusan mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya sebagai ketua nombor satu dalam PDRM.

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, sejak tragedi penangkapan Anwar dan insiden mata lebam itu, imej polis terus menjunam dan sehingga kini ia tidak berjaya dipulihkan.

“Kalau orang tulis tentang sejarah polis, 29 September merupakan titik hitam sejarah polis kerana pada masa itu kredibiliti mereka menjunam, sehingga lah sekarang,” kata beliau.

Tahun 1998 katanya merupakan tarikh keramat perjuangan menuntut reformasi, menyaksikan kebangkitan rakyat segenap lapisan, terutama golongan muda menentang pemerintahan diktator Mahathir.

“Kempen secara terbuka banyak dilakukan tentang perjuangan hak asasi dalam menentang undang-undang yang zalim. Peristiwa mata lebam secara langsung memberi kekuatan kepada rakyat untuk terus berjuang,” kata beliau.

Rafizi merupakan pengendali laman web Free Anwar Campaign- sebuah laman yang aktif pada era reformasi mendesak pembebasan Anwar- ketika semua media dikawal ketat oleh pemerintah.

Sejak itu katanya, rakyat mula sedar tentang makna demokrasi, kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan kebebasan media.

“Selepas peristiwa mata lebam Anwar, informasi di internet bercambah dengan cepat dan mendapat tempat, termasuk laman-laman web reformasi yang menjadi perintis kepada blog sekarang,”

“Selama 50 tahun, tiada orang mengambil berat tentang kebebasan media, namun rakyat sedar akan penipuan (media) dan sampai sekarang kredibiliti media telah jatuh. Beberapa pihak mengasaskan media alternatif seperti Malaysiakini,” katanya.

Katanya lagi, peristiwa pemecatan Anwar sehingga dipenjarakan kemudian telah menyatukan NGO seperti Adil dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional pada 4 April 1999.

“Dan dari situ tertubuh Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan wujud satu pakatan alternatif antara parti pembangkang yang menentang Umno-BN dan terbentuklah Pakatan Rakyat seperti sekarang,” katanya.

Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Mat Zain Ibrahim sebelum ini mengesahkan bukti-bukti yang digunakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah ’98 dipalsukan Mat Zain, pegawai yang menyiasat insiden mata lebam Anwar itu membuat pendedahan itu dalam surat-surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau mengesahkan pemalsuan bukti itu dilakukan pegawai penyiasat polis pada masa itu, Tan Sri Musa Hassan dan ketua pasukan pendakwa raya, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Anwar kini berdepan satu lagi konspirasi kedua, yang diteruskan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak dengan menggunakan skrip hampir sama pada 1998.

Pada hari ini juga, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memohon mengenepikan sepina ke atas mereka, supaya hadir sebagai saksi dalam kes berkenaan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=21044

Monday, September 26, 2011

Gani 4Tahil ada berani tunjuk jantan ke ???

Palsu bukti: Gani dicabar saman pihak kaitkan beliau

OLeh:Majdan Dagang

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dicabar menyaman pihak yang mengaitkan beliau dengan pemalsuan bukti dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tindakan ini penting bagi membersihkan nama baik institusi kehakiman dan keluhuran perlembagaan negara ini," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS di sini, petang ini.

Gesaan itu dibuat apabila baru-baru ini bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mendakwa Gani dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan terbabit pemalsuan bukti tersebut.

Sebelum surat terbuka daripada bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu, telah wujud dakwaan-dakwaan tentang salah laku dan peranan Peguam Negara dalam kes Anwar oleh para blogger, namun isu itu didiamkan sahaja.

Mahfuz juga menggesa supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat Gani kerana dakwaan itu menggugat kredibiliti institusi kehakiman dan penyiasatan negara ini.

“Selain itu, turut terdapat dakwaan daripada blogger tentang penglibatan Gani Patail dalam kes rasuah dan peranannya dalam kes pembunuhan Altantuya. Kegagalan Gani Patail menangani isu ini menyebabkan timbul pelbagai tafsiran yang mencemarkan Jabatan Kehakiman,” ujar Mahfuz.

Menurut Mahfuz lagi, jika Gani terus mendiamkan diri, beliau yang juga ahli Parlimen Pokok Sena akan menggerakkan usaha menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong agar suatu Suruhanjaya Diraja dibentuk.

sumber...harakahdaily

Tuesday, September 13, 2011

Najib takut rahsia Altantuya terbongkar

Najib enggan siasat Musa-Gani, takut rahsia Altantuya terbongkar

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan menyiasat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung pemalsuan bukti dalam kes rasuah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Peguam Anwar, R Sivarasa menyifatkan Najib enggan membuat siasatan terutama terhadap Gani kerana takut penglibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya akan dibongkar.

Sivarasa berkata demikian mengulas pendedahan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbarunya semalam.

“Kenapa tak berani ambil tindakan, kita tidak boleh mengekalkan peguam negara (Gani) yang melakukan jenayah (memalsukan bukti).

“Ini semua kerana Najib terhutang budi dengannya ( dalam kes Altantuya). Gani telah pastikan kes Altantuya dijalankan tanpa melibatkan Najib dan membebaskan kawan baiknya Razak Baginda,”

“Jika siasatan dijalankan, (besar kemungkinan) mereka (Gani dan Musa) akan membongkarkan semula kes Najib dengan Altantuya,” kata Ahli Parlimen Subang itu kepada Keadilandaily.

Sivarasa berkata, pendedahan yang dibuat Mat Zain tentang pemalsuan bukti itu juga menunjukkan perkara sama tidak mustahil dilakukan dalam kes Fitnah II bagi mematikan karier politik Anwar.

“Apa yang telah disebut Mat Zain itu jelas menunjukkan pemalsuan bukti dalam kes fitnah 1 terhadap Anwar,” ujarnya.

Semalam, Mat Zain dalam surat terbukanya mendakwa hukuman salah guna kuasa terhadap Anwar pada 1998 adalah silap kerana pihak pendakwaan memalsukan bukti.

Penipuan itu dibuat melalui tindakan Musa yang menjadi pegawai penyiasat ketika itu, dan Abdul Gani selaku pendakwaraya.

Najib sebelum ini pernah dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya yang diletupkan dengan menggunakan bahan letupan C4 pada Oktober 2006.

Dua pengawal peribadi Najib iaitu ketua inspektor Azilah Hadri dan koperal Sirul Azhar Umar dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah pada April 2009.

Sementara sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda turut dituduh bersubahat namun dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Pembunuhan itu telah dikaitkan dengan pembelian kapal selam Perancis membabitkan AS$1 bilion oleh Kementerian Pertahanan, yang ketika itu diterajui oleh Najib.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20243

Saturday, August 27, 2011

RPK dakwa Gani Patail makan suap dari Ho Hup


Gani Patail nafi dakwaan RPK disogok Ho Hup baiki rumah isteri

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) menafikan dakwaan Raja Petra Kamarudin bahawa beliau disogok oleh bekas timbalan pengerusi eksekutif Ho Hup Bhd, Datuk Vincent Lye, atas sokonganya dalam pertikaian lembaga pengarah syarikat tersebut.

Dalam tulisan menerusi blognya Malaysia Today pada 23 Ogos lalu, Raja Petra mendakwa bahawa Lye telah memberi sogokan kepada Gani dan menggunakan dana Ho Hup untuk membayar kerja-kerja pengubahsuaian rumah isteri kedua ketua pendakwa raya itu di Negeri Sembilan.

Dalam respons pertama berhubung dakwaan Raja Petra, Gani memberitahu The Malaysian Insider, beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada syarikat pembinaan tersebut.

“Saya tidak menerima satu sen pun daripada Ho Hup. Saya ada satu peraturan, saya tidak ambil duit,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau memiliki rumah di Seremban, Gani berkata: “Saya tiada rumah di Seremban ataupun di mana-mana di Negeri Sembilan.”

“Saya tidak tahu apa nak kata. Semua ini berlaku pada 2009 tetapi kes itu dibawa sejak 2010, jadi tidak masuk akal,” kata beliau merujuk kepada kes yang difailkan ke atas Datuk TC Low.

Raja Petra mendakwa Peguam Negara telah menggunakan pengaruhnya bagi pihak Lye untuk mendakwa Low di mahkamah tahun ini berhubung isu pendedahan kepentingannya dalam syarikat tersebut.

Editor Malaysia Today itu juga menyiarkan foto di blognya invois-invois yang dijana daripada komputer, bertarikh 13 Julai 2009, daripada sebuah syarikat di Petaling Jaya kepada Ho Hup berkaitan kerja-kerja pemasangan lampu atas nama “AG's Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa”, satu invois tulisan tangan juga bertarikh 13 Julai kepada Lye untuk kerja-kerja pengubahsaian bagi Sri Carcosa di Seremban 2, baucar daripada Ho Hup bertarikh 12 Ogos bagi kerja-kerja yang telah dijalankan bagi rumah “AG Tan Sri Ghani Patail Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa” bernilai RM18,000 dan satu cek RM18,000 yang dikeluarkan kepada pihak yang menjalankan kerja-kerja pengubahsaian.

Lye dan Low yang masing-masing mempunyai pegangan 28 dan 26 peratus ketika itu terlibat dalam pertikaian menguasai lembaga pengarah Ho Hup.

Bagaimanapun Lye telah diundi keluar pada mesyuarat tergempar Ho Hup pada Mac ini.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah membersihkan Gani daripada tuduhan rasuah berkaitan dengan urusan menunaikan haji tahun lalu.

sumber...TMI