Walaupun beberapa pemimpin Umno menolak hasrat dan tawaran Anwar untuk
mengadakan dialog atau kerjasama dengan Najib sebagaimana yang
diluahkannya dalam perutusan sempena sambutan Merdeka dua hari lalu
tetapi episod ini telah menelanjangkan lebih banyak perkara yang
terlindung selama ini.
Setelah isu ini timbul beberapa kali sejak berakhirnya piliharaya umum
lalu, kini seperti diyakini bahawa kerjasama antara Najib dan Anwar ini
akan menjadi kenyataan juga akhirnya.
Dengan beberapa kali isu ini timbul juga, ia seakan mengiyakan bahawa
Najib dan Anwar sudah saling bermain mata sebelum ini dan hanya menunggu
masa yang sesuai saja untuk menjalinkan kerjasama atau "cium mulut"
dalam bahasa atau istilah budak-budak rock zaman sekarang, menjadi
kenyataan.
Jika sebelum ini ketika ditemubual oleh portal berita luar negeri, The
Edge Review dan Asia Sentinel, Anwar yang mendedahkan tentang hasrat
Najib ingin berbaik-baik dan menjalin kerjasama dengannya, kali ini
nampaknya Anwar pula meluahkan keinginan itu.
Dan jawapan balas atau penafian Najib mengensi berita itu cukup lembut
dan berdiplomasi, tidak terlihat tanda-tanda melenting atau penafian
yang keras. Penjelasan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri
hanya menyebut isu kerjasama itu sebagai rekaan dan imaginasi penulisnya
semata-mata dan tidak mengatakan ianya sebagai fitnah.
Berbeza sekali dengan beberapa ungkapan kasar dan emosional yang pernah
dilafazkan oleh Najib ketika berhadapan dengan fitnah dan serangan
pembangkang selama ini, termasuk pernah menggelarkan "haram jadah"
kepada para peneroka Felda.
Tetapi dalam isu dakwaan Anwar bahawa Najib yang ingin dulu memulakan
langkah berbaik-baik dengannya, tak peduli sama ada ianya rekaan,
imaginasi, fitnah atau sebaliknya, Najib seolah-olah tidak terkessn atau
terganggu sama-sekali, bahkan seperti menerimanya sambil tersenyum
mendengarnya.
Bahkan, dalam penjelasan yang hanya dikeluarkan setelah hampir seminggu
dijaja oleh Anwar, ia juga menyebut kerjasama dalam apa bentuk sekali
pun tidak mungkin berlaku selagi Pakatan Rakyat tidak mahu menerima
keputusan pilihanraya, bahkan terus mempertikaikannya. Ewah, ewah...
begitu berbudi bahasa dan lemah lembut penjelasan Najib mengenainya!
Kini setelah Anwar sendiri meluahkan hasrat menawarkan kerjasama dengan
kesediaan menerima keputusan pilihanraya umum lalu, reaksi Najib turut
cukup santai. Walaupun ianya dibawa dalam perbincangan MT Umno dan
seperti yang disebut oleh Hishammuddin bahawa Najib akan menjelaskan isu
itu di lain ketika, Perdana nampaknya sekali lagi tidak terganggu
dengannya bahkan kepantasannya membawa perkara itu ke dalam mesyuarat MT
tidak lebih menunjukkan keterujaannya dan ingin melihat reaksi daripada
pemimpin-pemimpin Umno yang lain mengenainya.
Walaupun Hishammudin, Khairy Jamaluddin, Mukhriz, Nazri Aziz dan Tengku
Adnan dilihat memberi reaksi menolak dan skeptikal terhadap hasrat
Anwar itu tetapi mereka ini juga merupakan pemimpin yang mudah akur jika
Najib menyatakan sebaliknya mengenai hasrat Anwar itu.
Dilihat dari sudut logik dan kedudukan Najib serta Anwar, penyatuan
antara kedua pemimpin ini memang tidak mustahil akan berlaku. Anwar kini
berdepan dengan isu mahkamah mengenai kes liwat dengan Saiful Bukhari
dan mengharapkan penyelasaian yang memihak kepadanya supaya tiada lagi
titik-titik hitam dalam persepsi umum terhadapnya.
Meskipun keputusan pilihanraya umum lalu memperlihatkan PR mempunyai
harapan yang lebih cerah dalam pilihanraya lima tahun akan datang
berikutan pengundi bandar dan separa bandar makin meningkat, pengundi
muda dijangka mencecah angka 5 juta dan tembusan internet yang makin
meningkat tetapi isunya tempoh empat atau lima tahun cukup lama bagi
Anwar yang sudah berusia 65 tahun sekarang ini.
Dengan menjalin kerjasama atau cium mulut dengan Najib serta mungkin
disertai dengan kemungkinan kembali menyertai kerajaan, kes mahkamahnya
boleh diuruskan dengan baik.
Walaupun ia mungkin menyebabkan Anwar terbantut hasratnya untuk menjadi
Perdana Menteri tetapi jika kegagalan itu ditampung dengan penonjolan
beberapa orang kepercayaannya menyertai kerajaan seperti Azmin Ali,
Nurul Izzah dan Rafizi Ramli, ia mungkin sudah memadai bagi Anwar dan
boleh membuatkannya meninggal dunia suatu hati nanti dalam keadaan mata
terpejam.
Najib pula, masih dibelenggu dengan persepsi berkaitan pembunuhan
Altantuya walaupun Azilah dan Sirul sudah dibebaskan oleh Mahkamah
Rayuan. Beliau bersama Kerajaan Malaysia kini berdepan pula dengan saman
sivil oleh bapa Altantuya berjumlah RM100 juta dan Karpal Singh telah
pun mengeluarkan kenyataan akan berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan
sapina bagi memastikan Najib dan bekas pembantunya, Musa Safri yang
tidak dipanggil sebagai saksi sebelum ini agar hadir memberikan
keterangannya dalam saman sivil ini.
Cabaran Najib bersama dengan persepsi Altantuya yang tidak berkesudahan
ini ialah bagaimana untuk memenangi pilihanraya lima tahun lagi dengan
lebih bergaya. Selagi Anwar dan bersama dengan PAS dan DAP, ia tetap
dilihat merupakan cabaran yang perit baginya.
Dalam ini tentunya Najib melihat dengan menjinakkan Anwar, banyak
perkara boleh diselesaikan. Najib sedar masalah dan kedudukan dirinya
dan dalam masa yang sama, beliau juga sedar masalah dan kemahuan Anwar.
Penyatuan ini lebih merupakan situasi menang-menang. Najib mendapat
manfaat dan Anwar juga mendapat menfaatnya.
Oleh itu bersatunya Najib dengan Anwar bukanlah mustahil sebenarnya.
Kedua-dua mereka ada masalah tersendiri yang boleh diselesaikan atau
diminimakan dengan saling menyatu dan bekerjasama.
Selain itu, dengan BN mempunyai 133 kerusi dan PKR mempunyai 30 kerusi
Parlimen, isu persempadanan kawasan pilihanraya yang mana Anwar sudah
awal-awal mengeluarkan ugutan untuk tidak memberi sokongan, turut boleh
diselesaikan melalui "cium mulut" kedua mereka.
Penyatuan dan "cium mulut" Najib dan Anwar hanya menunggu masa dan
ketikanya. Ia mungkin menjadi agenda utama sebaik saja Perhimpunan Agung
Umno berakhir hujung tahun ini. Kita tidak tahu mereka sudah saling
bermain mata sebelum ini tetapi keghairahan Anwar mengenai kerjasama ini
dan sikap Najib yang begitu tolerasi terhadapnya seakan-akan
mengesahkan bahawa main-main mata itu sudah berlaku.
Anwar mungkin tiada halangan membawa PKR dalam kerjasama ini walaupun
menyebabkan ia terpaksa menjatuhkan talak tiga kepada PAS dan DAP.
Halangan Najib pula mungkin tentangan daripada Mahathir yang tentunya
tidak bersetuju dengan kerjasama ini. Bagi Mahathir, Anwar adalah
musuhnya sampai mati.
Tetapi Najib dipercayai boleh meyakinkan kabinet dan pimpinan tertinggi
Umno mengenai kerjasama ini, lebih-lebih lagi sebahagian mereka adalah
orang-orang kanan dan penyokong setianya sslama ini. Jika beliau
disahkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden Umno sekali lagi pada
pemilihan 19 Oktober ini, Najib akan menjadi lebih kukuh dan mudah
membawa kerjasama dan penyatuan dengan Anwar ini menjadi kenyataan.
Dengan diberi mandat tanpa bertanding, bermakna Najib disokong 100%
lebih 3.4 juta ahli Umno secara solid. Kedudukan ini tentunya akan
dimanfaatkannya untuk meneroka laluan yang membolehkan perjalanan masa
depan politiknya lebih selesa lagi, termasuk bekerjasama dengan Anwar.
Ketika itu, cabaran atau tentangan Mahathir bukan lagi halangan atau
masalah besar bagi Najib.
Bergerak atas tiket sokongan penuh ahli-ahli Umno terhadapnya serta
Anwar turut bersamanya, Najib akan terus keluar daripada bayang-bayang
dan pengaruh Mahathir yang selama ini banyak mengganggunya.
Hanya jika jawatan Presiden Umno dipertandingkan atau ada sesiapa yang
mencabar Najib, iau kerjasama dengan Anwar ini mungkin akan terencat.
Kalau pun jika beliau terus menang tetapi jika kemenangannya hanya
disokong oleh 70% atau 75% perwakilan saja, ia akan memberi isyarat
bahawa beliau tidak boleh bertindak sesuka hatinya selepas itu. Dengan
tidak solid atau sepenuhnya Umno menyokong serta berdiri teguh di
belakangnya, Najib juga tentunya tidak boleh lagi menguruskan parti dan
kerajaan seperti sebuah syarikat sendirian berhad.
Pasti juga ada perasaan malu untuk terus menjalinkan sebarang ikatan dengan Anwar.
Sekarang terserahlah kepada ahli dan lebih 150 ribu perwakilan Umno
untuk menentukan sama ada mahu menyokong atau tidak penyatuan Najib
dengan Anwar ini. - 1 September, 2013.
oleh Shahbudin Husin