Followers

Monday, October 28, 2019

Siapa Tentukan Peralihan Kuasa PM dari Tun M Kepada Anwar ?




Kedudukan PM kekal hingga PRU hanya pandangan pembangkang

Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa hanya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan menentukan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir berkata cadangan daripada anggota parlimen pembangkang supaya beliau kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang adalah pandangan mereka sahaja.

“Itu pendapat dia orang, yang akan menentukan (saya sebagai perdana menteri) ialah Majlis Presiden PH. Kita (Majlis Presiden PH) yang akan putuskan.

“Kalau dulu dia (pembangkang) cadang saya jadi perdana menteri sebelum adakan PRU ke-14, dia ada hak nak suruh saya duduk lama atau bila sampai masanya,” kata Dr Mahathir pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Ashgabat pada Ahad, sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan pada Isnin.

Khamis lepas, enam ahli Parlimen Umno pada satu sidang media di lobi Parlimen, tampil memberi sokongan agar Dr Mahathir meneruskan mandat sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang.
Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Sementara itu, sewaktu sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat pada hari sama, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan semua anggota parlimen parti itu seramai 18 orang turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang berada di sana untuk lawatan rasmi dua hari bermula Ahad, mengulangi bahawa beliau tidak dapat meletakkan tempoh yang tetap untuk berlakunya peralihan kepimpinan negara.

“Saya janji tidak akan duduk lama, cuma saya berpendapat bahawa berasaskan pengalaman saya dulu saya boleh cuba betulkan segala kesalahan yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Najib (Razak).

“Apabila saya berpuas hati, saya tidak akan teruskan (jadi perdana menteri) tetapi saya tidak dapat memberi masa tertentu kerana masalah negara ini (Malaysia) amat besar dan tidak mudah untuk kita selesaikan. Hutang kita banyak dan jentera kerajaan telah dirosakkan oleh Najib.

“Itu perlu dibetulkan lagi dan macam-macam masalah yang ditinggalkan oleh Najib. Sedikit sebanyak saya mempunyai pengalaman dalam menyelesaikan perkara-perkara ini,” katanya.

Manifesto PRU14 Pakatan Harapan menyatakan tempoh 2 tahun untuk Tun M menjadi PM seterusnya menyerahkan kepimpinan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.Itulah maksud PM interim Pakatan Harapan.

sumber...edit dari mKini

Tuesday, October 22, 2019

Nasharudin Mat Isa Berdepan 30 Tuduhan Pecah Amanah RM3.6 juta




Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa didakwa atas 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM3.6 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM302,069.60.

Tuduhan pecah amanah jenayah itu didakwa mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan yang dilakukan sejak 2015.

Pertuduhan pengubahan wang haram pula dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semua pertuduhan terhadap Nasharudin dibacakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertubuhan yang dihadapinya.

Hakim Rozilah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM330,000 dengan seorang penjamin terhadap Nasharudin, manakala pasport antarabangsa beliau diperintah diserahkan kepada mahkamah.

Nasharudin ditahan sepasukan pegawai SPRM, petang semalam selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

sumber... bhnews@bh.com.my

Friday, October 11, 2019

Bila Ustaz Azhar Idrus Kena Tibai




Gelar ‘menteri iblis’: Ustaz Ali Muda bidas Ustaz Azhar Idrus

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Ali Muda membidas gelaran ‘menteri iblis’ yang digunakan penceramah Ustaz Azhar Idrus ketika berada dalam masjid.

Menurutnya, politik Pas dalam masjid itu menganggap seolah-olah apa yang Pas lakukan sebagai suruhan dan kehendak Allah.

“Ustaz yang terkenal dengan kata-kata ‘bodo..’ ini mendakwa ada orang kata haram berbaik-baik atau bergabung sesama Islam (maksudnya sesama orang Pas dan Umno). Dia menyifatkan orang itu sebagai iblis.

“Dia juga mendakwa ada seorang menteri kata tak boleh berbaik-baik atau bergabung (sesama Pas dan Umno) dan dia mengatakan menteri itu adalah menteri iblis.

“Kita nak tanya ustaz ini siapa orang yang kata haram berbaik-baik atau bergabung sesama Islam itu? Dan kita juga mahu tanya dia siapakah menteri iblis yang kata tak boleh berbaik-baik atau bergabung sesama Islam?

“Nampaknya ustaz ini hanya mengajar ikut arus politik Pas dalam masjid. Kononnya apa yang Pas buat itu adalah suruhan Allah dan kehendak Allah semuanya,” bidasnya dipetik dari Facebook beliau.

Beliau mengulas rakaman video berdurasi hampir dua minit yang memaparkan ceramah Ustaz Azhar.
Ustaz Ali berkata, Pas hanya menganggap semua yang pihak lain lakukan untuk kemajuan Islam dan umat Islam adalah tidak betul dan tidak Islamik.

“Yang betul dan Islamik hanyalah yang Pas buat iaitu dasar Membangun Bersama Islam. Jika dulu mengkafirkan Umno itu kehendak Allah atau kerana mencari redha Allah, kini bergabung dengan Umno pula kehendak Allah.

“Mengkafirkan atau memunafikkan Amanah (yang mereka suka sebut Pan) serta menyifatkannya sebagai khadam musuh Allah pula adalah kehendak Allah.

“Dulu Pas kata dasar Penerapan Nilai-nilai Islam (PNI) itu tidak Islam kerana ia cuma kosmetik. Selepas itu, dasar Wawasan 2020 pun tidak Islam kerana ia juga kosmetik dan was-was syaitan (saya masih ingat seorang cikgu kuat Pas mengajar kami tentang hal ini dalam kelas Tingkatan 6 Atas 1991),” katanya.

Selepas itu, jelasnya, Pas turut menganggap Islam Hadhari tidak betul kerana yang betul ialah Hadharah Islamiyah disusuli kemudiannya Islam Wasatiyah juga tidak betul.

“Kini dasar atau gagasan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah pun tidak betul kerana kononnya ia rahmatan lil kafirin dan hendak buat maqasid tetapi tidak mahu syariah,” ulasnya.

Pijak kepala

Dalam klip video itu, Ustaz Azhar berkata penggabungan tanpa menyebut nama parti adalah bukan kerana politik.

“Tetapi kerana Allah kerana hendak menyelamatkan agama Islam. Kewajipan kita membela bumi umat Islam daripada dirampas oleh musuh-musuh Allah.

“Bukan untuk tujuan politik tetapi untuk mempertahankan hak kita. Ini termasuk jihad. Islam sama Islam hendak bergabung, dia kata haram.

“Itu iblisnya namanya. Ada seorang menteri kata tidak boleh gabung, kekalkan dengan perpecahan. Itu menteri iblis namanya,” tohmahnya.

Selanjutnya, Ustaz Azhar menyebut, “kita redha selama ini kita berpecah belah, Allah ajar kita orang kafir naik, pijak kepala kita”.

Sehubungan itu, serunya lagi, bergabung semulalah bukan kerana hendak undi semata-mata kerana tambahnya, “keranaMu Ya Allah dengan kita bergabung walau mengundi atau tidak, turun pertolongan Allah, itu pasti.”

Mengulas lanjut, Ustaz Ali berharap akan ada khalayak pendengar untuk berani tampil bertanya Ustaz Azhar secara berdepan.

“Jangan angguk-angguk dan ketawa sahaja dengan lawak bohongnya itu,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan terjemahan kepada makna Membangun Bersama Islam yang menjadi slogan kerajaan negeri Kelantan.

“Cuma kita nak tanya apa yang membangunnya Islam di negeri pentadbiran Pas? Apakah kualiti umat Islam di negeri Pas lebih baik daripada umat Islam di negeri-negeri lain?

“Dari segi kebersihan, kecekapan pentadbiran, peluang pekerjaan untuk orang Islam adakah negeri Pas lebih baik? Semua orang tahu jawapan kepada persoalan itu,” tambahnya lagi.

sumber...malaysia dateline

Sunday, September 22, 2019

Umno dan Pas Dalam Gaung Pemikiran Orang Kalah



Sebaik sahaja runtuhnya tembok Berlin pada 9 November 1989, Francis Fukuyama telah mengisytiharkan The End of History , merujuk kepada pertembungan di antara sosialisme komunisme dengan demokrasi kapitalis.

Bagi Fukuyama runtuhnya tembok Berlin adalah kejayaan mutlak demokrasi kapitalisme. Jadi dengan itu berakhirlah sejarah.

Bagaimana pun tarikh 9 Mei 2018, bukanlah pengakhir kepada sejarah politik Malaysia, tidak juga boleh dikatakan sebagai permulaan kepada satu sejarah yang baru, meski pun pada tarikh tersebut Umno telah tercabut akar kuasa dalam sistem pemerintahan negara.

Pakatan Harapan memancakkan paksi kuasa serta memperkukuhkan tunjang cengkamannya.
Bermakna sejarah politik baru, merupakan dimensi politik yang berlangsung di atas real politik yang sama sebelum 9 Mei 2018, apa yang bertukar adalah kuasa baru dalam politik pemerintahan.

Pakatan Harapan (PH) telah berjaya menakluk pusat kuasa dengan menyingkirkan UMNO-Barisan Nasional (Umno-BN). Watak politik yang menguasai pentas politik adalah kelompok yang sama, apa yang berbeza adalah baju politik.

Pemikiran politik serta ideologi politik juga adalah sama, atomisme politik masih tetap berlegar sekitar isu-isu agama dan bangsa, jelasnya politik perkauman dan sektorian agama masih tetap mendominasi persekitaran politik Malaysia.

Bagaimana pun, satu fenomena baru yang wujud dalam konteks Malaysia mutakhir ini, adalah begitu menonjolnya apa yang boleh diklaskan sebagai real politik “pemikiran orang kalah.

Dalam konteks pemikiran Stephen Covey dinamakan minda kekurangan. Menyorot novel yang dihasilkan Rohani Deraman, dijudulkan sebagai Jogho Yang Tewas .

Apa pun konsepsi yang digunakan, maka rujukannya adalah terhadap pemikiran orang kalah, boleh juga diistilahkan sebagai minda orang kalah.

Minda orang kalah, merupakan konteks pemikiran yang sentiasa menafikan hakikat bahawa mereka sebenarnya kalah, sebaliknya sentiasa meletakkan dirinya sebagai orang yang menang.

Maka daripada sudut inilah akan timbulnya istilah “kemenangan yang tertangguh.” Sering kali dipopularkan oleh para pemimpin Pas.

Golongan ini akan sentiasa meletakkan diri mereka sebagai pejuang, pembela dan akan sentiasa menafikan apa sahaja tindakan-tindakan atau dasar-dasar konstruktif yang berteraskan faedah bersama, terutamanya apabila dasar atau tindakan perubahan sosial, politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan.Apa pun realitinya golongan ini akan patuh melutut kepada ketua mereka, meski pun wujud salah laku serta penyelewengan moral.

Pemikiran orang kalah akan mengkesampingkan fakta, sebaliknya akan memperbesarkan aspek manipulasi situasi, berdasarkan kepada andaian serta kepercayaan yang dibina atas realiti bayangan atau pun unverified assumptions .

Berdasar unverified assumptions inilah mereka akan membina rantaian isu untuk memperlihat bahawa mereka mengetahui segala-galanya sehingga ada yang mengaku begitu rapat dengan agen CIA.

Beberapa isu yang dicipta dalam konteks prinsip andaian, seumpama Islam terancam, lebih bercorak kepada motif mengecilkan pengaruh positif, sebaliknya memperbesarkan pengaruh negatif, bagi membolehkan matlamat untuk membina keserabutan dalam kalangan masyarakat dapat digerakkan.
Bagi golongan yang terperangkap dengan pemikiran orang kalah, ini dianggap peluang sebagai pejuang.

Islam terancam, hakikatnya penceritaan yang dihidupkan untuk membina sokongan masyarakat Melayu Islam khususnya, terhadap PAS.

PAS pada setiap ketika akan menjadikan Islam sebagai umpan untuk memancing dan menambat masyarakat Melayu Islam terhadap perjuangannya, jadi adalah tidak menghairankan apabila ada dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS mendakwa keluar daripada Pas adalah haram.

Ini sebenarnya konteks pemikiran orang kalah yang sentiasa menekankan kepada ugutan dan ancaman dalam konteks untuk mengekalkan sokongan.

Islam terancam juga merupakan satu metos yang dicipta untuk dijadikan detterant , bagi menghalang masyarakat Melayu Islam menjarakkan diri daripada PAS.

Para pemimpin Pas sering kali mendakwa bahawa perjuangan Pas adalah perjuangan Islam. Perjuangan PAS adalah jihad, kesannya peristiwa Memali menjadi taruhan.

Setelah gagal untuk berhujah secara berfakta dalam usaha memperkukuh ideologi bagi membina keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan para pengikutnya. Maka naratif Islam terancam adalah perangkap yang boleh menjerat masyarakat Melayu Islam untuk terus menyokong PAS.

Hakikatnya Amanat Banggol Peradong itu, merupakan amanat yang lahir daripada pemikiran orang kalah.

Detik 9 Mei 2018, memperlihatkan politik PAS dan UMNO berusaha untuk kembali memperkukuh kedudukan. Ekoran daripada situasi inilah PAS dan UMNO terperangkap dalam konteks pemikiran orang kalah, amat ketara tindakan-tindakan serta pemikiran tidak produktif telah diketengahkan yang memberikan kesan kepada kestabilan sosial.

Kempen boikot barangan bukan Islam (kemudian ditukarkan kepada mengutamakan produk muslim), merupakan unsur yang menjurus kepada usaha membina kelompok terasing (sub-set) daripada kelompok yang besar, iaitu menafikan kekuatan hubungan sinergistik, satu ciri utama dalam konteks pemikiran orang kalah.

Secara analitikalnya, timbul persoalan bagaimana proses dan prosedur yang digunakan untuk menentukan kemutlakan produk muslim, bagaimana kaedahnya bagi menentukan unsur-unsur komposit dalam mendefinisikan produk muslim.

Dalam kedua-dua unsur teras ini, hakikatnya perlu diberikan pembuktian yang boleh ditentusahkan Umdan mempunyai standard kalibrasi.

Hakikatnya ini adalah jelas menggambarkan wujudnya unsur pemikiran orang kalah dalam isu berkait dengan pemboikotan produk non muslim, kerana jelas memperlihatkan wujudnya tingkah laku reaktif yang berteraskan pemikiran prejudis.

Pemikiran orang kalah, umumnya menjurus kepada tingkah laku serta pemikiran bercorak reaktif dan spekulatif.

Kekalahan Umno 9 Mei 2018 dan dalam usaha untuk menghidupkan sisa-sisa nafasnya, maka diputarkan pelbagai isu non-produktif bagi menimbulkan kecelaruan emosi serta pemikiran dalam kalangan masyarakat Melayu.

Naratifnya; hak Melayu tergugat, kedudukan keistimewaan Melayu sudah terhakis, kedaulatan Raja-raja Melayu sedang terancam dan Cina sudah menguasai Malaysia; walhal pada masa yang sama institusi-institusi Melayu dan Islam masih kukuh dan teguh, tidak terusik catatannya dalam Perlembagaan negara serta masih tetap utuh operasinya.

Kitaran isu-isu ini, hakikatnya wujud hasil daripada kemusnahan intelektualiti, menjadikan hilangnya konteks pemikiran dalam skala gambaran luas, wujudnya pembonsaian perspektif.

Realiti inilah yang menjadikan Pas dan Umno gagal untuk memahami isu disebalik kes Najib Razak dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.

Pas dan Umno daripada awal isu ini diperkatakan, menyimpulkan sebagai wujudnya usaha untuk menfitnah Najib Razak dan mereka dengan mudah, tanpa analytical view menganggap IMDB tidak ada pelanggaran integriti dan akauntabiliti, pelan rasionalisasi adalah betul dan tepat.

Hakikatnya pemikiran orang kalah begitu kuat mendominasi pemikiran, tingkah laku dan perspektif pemimpin Pas dan Umno, mengakibatkan hilangnya sifat nasionaliti, sebaliknya membataskan tindak tanduk dalam persekitaran lokaliti kedaerahan.

Pada masa yang sama lebih cenderung kepada penyebaran sentimen provokatif yang menyisihkan, apa yang diistilahkan oleh Stephen Covey sebagai the judgement of smart trust .

oleh:  Dr Kamarudin Musa UPSI

Thursday, September 19, 2019

Bagaimana Jika China Batuk?




ULASAN | “China berbeza daripada negara lain”. Mantera ini diguna pakai oleh Sinophiles berulang kali dengan semangat keagamaan yang tinggi. 

Bank-bank di China boleh terus berkembang tanpa memikirkan hutang yang lapuk; dengan Renminbi (RMB) boleh disokong secara langsung oleh permintaan domestik, PetroYuan akan mencabar Petrodollar, dan banyak lagi mitos kewangan yang lain.

Sepanjang 20 tahun yang lalu, secara metaforanya, walaupun para penggembala mengumpul banyak kambing di dalam kawanannya, akhirnya kambing-kambing ini akan bertemu pisau juga suatu hari nanti.

Kita mungkin dapat menyaksikan halangan di dalam “keajaiban” ekonomi China, disebabkan oleh bintang realiti terbesar di dunia yang memainkan peranan utama sebagai musuh kepada China.

Satu konvensyen antarabangsa yang telah diletuskan oleh Trump boleh dikatakan sebagai taktikal dan bukan hanya bombastik ketika beliau menolak pengembangan ekonomi China yang tidak dikawal itu.
“Perang Dagangan” Trump telah mencetuskan sesuatu yang berbeza dan menyebabkan China tidak dapat menjangka apa yang bakal terjadi.

20 tahun yang lalu, AS hanya menutup mata terhadap China dan membolehkan mereka berkelebihan dan berdaya saing. Bush dan Obama mengekalkan polisi yang selaras, di mana mereka memudahkan eksport berasaskan pembuatan yang menyokong pertumbuhan China.

Kini, China telah memperluas ekonomi mereka pada kadar AS$12-13 trilion, manakala AS pada kadar AS$21 trilion. Sementara itu, penduduk di China telah mengeluarkan sejumlah AS$23 trilion RMB dengan hanya 1 peratus daripada global settlements, manakala dollar AS free-float pada kadar AS$19 trilion sebagai pertukaran de facto di dunia.

Ini telah mewujudkan modal yang berlebihan daripada lebihan perkadaran. Ia juga menjadikan kuantitatif lebih mudah oleh Persekutuan AS selepas Krisis Kewangan Global (GFC) pada tahun 2008.

Jika kawalan modal dinaikkan pada hari ini, mata wang China pasti akan jatuh menjunam, dan soalan yang akan timbul adalah berapa dalam ia terjunam.

Hutang lapuk AS dianggarkan kira-kira 2.6 peratus deposit bank, tetapi China, angka rasmi mencecah 9 peratus - sama ada betul atau tidak - diumumkan oleh Parti Komunis China (CPC); angka sebenar Non Performing Liam (NPL) tidak disangkal lagi, lebih tinggi.

Antara bank-bank utama di China, hanya beberapa sahaja bank yang telus mengenai angka ini, dan disebabkan itu, institusi kewangan global dengan sengaja menghadkan pendedahan kewangan mereka di China.

Apa yang diketahui, terdapat beberapa pengguna Renminbi di luar China dan juga inisiatif-inisiatif seperti Belt and Road (BRI) direka untuk menggunakan lebihan RMB di dalam projek-projek besar yang tidak penting, yang mana syarikat-syarikat Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) milik kerajaan China memberi pinjaman dan membelanjakan dana tersebut dikalangan mereka sahaja.
Memang benar, tidak ada pasaran kewangan digelar RMB yang lebih besar di tempat lain.
Meskipun usaha keras telah dilaksanakan, China terpaksa membeli sumber utama mereka seperti minyak, keluli, tembaga dan lain-lain dalam jumlah matawang Dollar AS.

Dengan matawang Yuan yang bernilai serendah 12 tahun kebelakang dan kos perang dagangan menelan belanja lebih kurang AS$200 bilion mengikut kos tarif yang melambung, China berada dalam situasi yang teruk walaupun dengan rizab AS$2 trilion di dalam simpanan mereka.

Hakikatnya, China telah menyedari bahawa mereka perlu melancarkan “Peperangan Tanpa Batas” bagi menghapuskan “Penghinaan Berabad Lamanya” oleh Barat.

Ini adalah berdasarkan strategi yang telah ditulis oleh dua orang profesor dari China, Qiao Liang dan Wang Xiangsui pada 1999 dan strategi tersebut telah digunapakai hingga kini.

Intipati strategi itu mengatakan mereka hanya boleh mencabar Amerika Syarikat dengan hanya menggunakan data maklumat dan juga ekonomi, bukanlah ketenteraan.

“Kepulauan Reef” China di Laut China Selatan merupakan salah satu cara untuk mendapatkan kedudukan yang sama rata, dengan cubaan untuk mengawal Selatan China di mana kebanyakan barangan mereka diambil. Sekali lagi, Trump membelakangi perkara ini, di mana Bush dan Obama tidak pernah lakukannya, sama ada dia berada di pejabat ataupun tidak, dasar Amerika Syarikat ketika ini tidak mungkin dilonggarkan.

Ketepikan segala implikasi politik - ulasan ini semata-mata merujuk kepada skop ekonomi - jelas bahawa konvergensi anomalis menunjukkan pertumbuhan eksport yang semakin meningkat perlu didamaikan dengan pantas dan cepat, dan pergolakan di Hong Kong, walaupun tidak terancam kepada pucuk pimpinannya, cabaran yang lebih mendalam hanya akan diburukkan lagi oleh kemelesetan ekonomi.

Daripada perspektif Malaysia, sementara perang dagangan ini sekali lagi telah menggantikan China kepada Amerika Syarikat sebagai rakan perdagangan Malaysia yang terbesar, implikasi pergolakan di China pasti akan mengakibatkan implikasi global.

Boleh dikatakan seluruh dunia akan demam apabila Amerika bersin. Hari ni, kita semua akan selesema apabila China batuk. Adakah kita telah bersedia?

oleh: Dr Rais Husin ,Presiden dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir berfokuskan penyelidikan dasar berteraskan data, Emir Research. Ia ditunjangi nilai-nilai konsultansi, kesederhanaan dan kerapian.