Followers

Monday, September 21, 2020

Umno Terengganu Gembira Dapat Bertembung dengan Pas Semula

 


UMNO Terengganu akan ‘buat nasi kunyit’ jika dapat bertembung dengan PAS di semua kerusi parlimen dan DUN di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Menurut sumber portal Terengganu Report, kata seorang Ketua UMNO Bahagian di negeri itu, tindakan berkenaan sebagai ‘tanda kesyukuran’ kerana parti itu dapat meletakkan calon di semua 40 kerusi parlimen dan DUN menentang PAS serta parti-parti lain.

“Kita sudah mohon kepada UMNO Pusat beberapa kali untuk lawan di Terengganu. Parti mana yang akan menang kelak, masih lagi Melayu-Islam yang akan menang.

Sebab apa kita nak lawan, banyak sebab, banyak hujah, banyak dalil dan banyak benda yang akan kita dedahkan. Rakyat berhak tahu apa yang PAS buat di Terengganu,” kata sumber itu, hari ini.

Sabtu lalu, Pemuda PAS meluluskan usul yang dikemukakan agar parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi parlimen termasuk semua 8 kerusi di Terengganu pada PRU ke-15.

Usul tersebut dikemukakan oleh Pemuda PAS kawasan Bagai Serai dan kemudiannya dibuka untuk dibahaskan sebelum ia dipersetujui sepenuhnya oleh perwakilan Muktamar Pemuda PAS kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu.

Sebelum ia dipersetujui sepenuhnya oleh perwakilan Muktamar Pemuda PAS kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu.

sumber...suarapakatandaily

Ku Li Serang Isu Air Karat dan Soal Kerjasama Pas-Umno

 


Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyerang Pas lagi susulan kegagalan menyelesaikan masalah air di Kelantan

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno yang mesra dipanggil Ku Li itu turut mengkritik sikap Pas dalam soal kerjasama politik dengan partinya.

Bahkan, Ahli Parlimen Gua Musang dalam wawancara dengan sebuah media secara sinis mempersoalkan kepentingan Pas.

Apa penting Pas ini? Di Kelantan pun air berkarat lagi. Dah berpuluh tahun dia (Pas) berkuasa di Kelantan.

Sekarang ini kita dengar nak ambil masa 30 tahun baru boleh menyelesaikan masalah air yang merah karat warnanya.

Nak beri laluan kepada dia (Pas) apa lagi? Dia dah berkuasa di Kelantan. Dia dah dapat kerusi terbanyak di Kelantan,” tempelaknya.

Bekas Menteri Kewangan itu juga secara spontan menjawab sambil ketawa, “Dia (Pas) nak dunia.”

Beliau berpendapat agihan kerusi bertanding untuk PRU-15 mesti mengambil kira kekuatan Umno dan Pas.

“Kalau dia (Pas) seorang duduk di situ. Tiada kerjasama.

“Sepatutnya (agihan kerusi) sama banyak. Patut yang kuat, kekal Umno. Yang kuat kekal Pas.

“Yang nampak 70:30 Umno, bagilah kepada Umno. Kita kerjasamalah selepas itu tengok siapa terpilih,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ku Li mendedahkan sikap bolot Pas seperti berlaku di Terengganu dan Kedah.

Dia (Pas) tak nak bagi Umno masuk dalam Exco (kerajaan negeri). Tapi sekarang dia masuk kerajaan Pusat. Jadi menteri dan sebagainya.

Di Terengganu pun dia (Pas) tidak bagi. Kita ada banyak kerusi di Terengganu tapi satu kerusi pun dia tak bagi. Di Kedah pun sama.

Apa makna kerjasama?” soal pengasas Petronas itu secara sinis sebanyak dua kali.

sumber...MDline

Saturday, September 19, 2020

Kerana Mulut Muhyiddin,Mungkin Binasa Undi PN dan BN di Sabah

 


Bak kata pepatah melayu,kerana pulut santan binasa,kerana mulut badan binasa

Esok saya pulang ke Kuala Lumpur. Meninggalkan Kota Kinabalu. Selama 8 hari selepas saya dapat meninjau gerak pilihan raya Negeri di Sabah.

Pilihan raya Sabah kini kembali ke asal di tahun 1976. Kerajaan Persekutuan hendak menjatuhkan kerajaan negeri.

Berbeza dahulu parti Usno yang mahu ditumbangkan dan parti Berjaya sama-sama dalam Barisan Nasional. Jika siapa kalah pun tidak menjejaskan kerajaan Persekutuan. Hanya bertukar ketua menteri.

Salah satu senjata berat yang dibawa oleh Kuala Lumpur untuk menyerang Tun Mustapha Harun adalah pemimpin abang adik dalam Usno sendiri, termasuk Tun Fuad Stephen yang berhenti letak jawatan Yang di-Pertua Negeri atau kalangan Rakyat Sabah memanggil Yang di-Pertua Negeri dengan sebutan 'Negara'.

 Dan beberapa menteri yang berpengaruh seperti Haris Salleh dengan menubuhkan Parti Berjaya.

Tahun pilihan raya umum negeri 1981, Usno cuba menumbangkan Berjaya tetapi tewas. Sebab tewas, kerana ada perubahan di lakukan oleh kerajaan Berjaya dalam soal pembangunan di Sabah.

Parti Berjaya adalah satu-satu parti yang menurunkan calon-calon berkelulusan tinggi dan cerdik pandai. Beberapa nama yang boleh di sebut seperti James Ongkili. Berbeza dengan Usno masih calon yang lama dan kurang latar belakang pendidikan tetapi mereka orang yang dikenali.

Kenapa Berjaya kalah teruk di tahun pilihan raya negeri 1985? termasuk ketua menterinya Harris Salleh di DUN Tenom dengan seorang pemandu Jabatan Penerangan?

Najib tak belajar dari sejarah

Sebab pembangunan memang dilakukan oleh Berjaya dan Haris Salleh, itu tidak boleh dinafikan. Tetapi bagaimana hubungan dia dengan rakyat?

Dia menjadikan rakyat sebagai musuhnya. Dan kesilapan dia ialah memecat seorang anak muda pemimpin berpendidikan kelulusan undang-undang bernama Pairin Kitingan yang juga salah seorang menterinya.

Maka di sini Najib Razak tidak belajar dari sejarah. Dengan memecat seorang naib presiden (Mohd Shafie Apdal) dan timbalan presiden parti Umno (Muhyiddin Yassin). Kerajaannya tersungkur.

Kini Muhyiddin Yassin melakukan perkara yang sama. Dia tidak berapa tahu akan geografi politik Sabah termasuk saikologi politik dan sosio ekonomi politik Sabah.

Bila Muhyiddin Yassin bercakap dua isu di dua tempat berbeza, nampak sangat dia menghadapi masalah 'terlupa'. Dalam satu perjumpaan di meminta biarlah kerajaan negeri itu ada hubungan 'intim'. Maksudnya macam laki bini. Intim di katil dan mesra di luar.

Tetapi di tempat lain, dia berkata pula 'kerajaan persekutuan tidak akan membantu kewangan dan pembangunan di Sabah' jika kerajaan negeri tidak selaras dengan kerajaan persekutuan.

Maka dengan kenyataan itu, 40 peratus pengundi atas pagar membuat keputusan tidak akan mengundi PN dan 20 peratus pengundi yang hendak menyokong PN dan juga BN berpaling tadah.

Maka di mana hujah PN akan menang? Masalah kerana mulutnya Muhyuddin Yasin pengundi Sabah bukan sahaja tidak akan mengundi Perikatan Nasional tetapi juga membawa tidak mengundi Barisan Nasional atau Umno. Maka calon-calon Barisan Nasional menjadi mangsa yang bukan kesilapannya.

Jangkaan saya parti Warisan 37 kerusi. PKR empat kerusi. DAP empat kerusi dan Amanah satu kerusi. Jumlah paling rendah 45 kerusi akan dimenangi oleh Warisan dan sekutunya. Selebih itu bagi-bagikan antara BN, PN, PBS, LDP.

Nota: Barisan Nasional mempunya identiti yang berbeza dengan Pakatan Nasional. Umno dan MCA, MIC tidak menyertai Pakatan Nasional.

oleh: Zaharin Mohd Yassin@Sang Kelembai

Thursday, September 17, 2020

'Populariti Tun M Kian Merudum'

 


Populariti Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini merudum akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan untuk menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, atas sebab itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Dr Mahathir tidak sewajarnya bertanding di kerusi yang sebelum ini diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Peralihan kerajaan dan kenyataan beliau selepas itu menyebabkan kedudukannya di mata sebahagian besar rakyat teruk dan merudum.

Bila Tun hilang kepercayaan, sekiranya masih memimpin Pejuang dan mengambil kerusi yang ditinggalkan Bersatu, ini akan merugikan rakyat yang mahukan kejayaan menumbangkan kerajaan yang ikut cara ‘tebuk atap’.

Kalau berikan kerusi kepada Pejuang, ini juga akan menggagalkan hasrat kita untuk mengambil alih kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk ‘Lepas jawatan demi rakyat’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Justeru kata Husam, beliau mencadangkan supaya Amanah dan rakan sekutu PH melakukan penjajaran semula kerusi yang dipertandingkan pada PRU-15 nanti.

13 kerusi ini diserahkan kepada Bersatu sebelum ini. Begitu juga 10 kerusi yang ditinggalkan YB Azmin Ali dan rakan-rakan. Sebahagian besar kerusi ini akan dimenangi PH.

Jika diberi peluang Amanah (bertanding), peluang untuk menang cerah. Dengan itu Amanah boleh menambah kerusi di peringkat Parlimen pada masa akan datang,” katanya.

sumber...S.Harian


Saturday, August 29, 2020

Apa Sudah Jadi ? Ku Li Gesa Menteri Umno Keluar Dari Kabinet


 

Ku Li gesa Menteri Umno keluar dari Kabinet

Pemimpin Umno yang menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) wajar menarik diri daripada kerajaan, menurut Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli politik veteran itu berkata, ini kerana tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)".

"Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, (sebaliknya) hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

"Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli Umno yang menganggotai kabinet berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang," kata anggota Parlimen Gua Musang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 22 Ogos lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan sayap baru dalam parti itu bagi membolehkan ahli bersekutu bukan Melayu memegang jawatan.

Perkembangan itu selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan menyertai Bersatu secara rasmi, bersama-sama penyokongnya termasuk bekas pemimpin dan bekas ahli PKR dari kalangan bukan Melayu.

Dalam ucapannya di Kongres Nasional 2020, Muhyiddin mengatakan dia secara peribadi sudah mengemukakan usul itu dan menugaskan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Rais Yatim untuk meneliti penubuhan sayap berkenaan.

Menurut Muhyiddin, cadangan jawatankuasa itu akan diajukan ke Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan penubuhan sayap itu akan dilakukan melalui Perhimpunan Agung Luar Biasa.

Sementara itu Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, langkah keluar dari kabinet itu perlu dilakukan secepat mungkin.

"Ini patut dilakukan secepat mungkin supaya kita tidak membuang masa seperti untuk memberi tumpuan kepada masalah-masalah yang lebih besar seperti kedudukan muda- mudi yang susah mencari pekerjaan dalam keadaan kita menghadapi pandemik Covid-19 yang mengancam negara pada masa ini.

"Lagipun perkara sebesar ini sepatutnya dibawa ke perhimpunan agung parti tidak lama lagi," katanya.

 sumber...mKini