Apa berlaku di Syria?
Saya pernah sampai ke kota Damas - panggilan manja warga Arab untuk kota Damsyik atau 
Damascus untuk
 warga Barat. Ini lama dahulu ketika saya berkelana. Saya datang dari 
Hong Kong membawa jemputan dari Asia Students Association (ASA) kepada 
Persatuan Pelajar Syria untuk hadir ke Kongres ASA di Chiengmai 
Thailand. Justeru saya menjadi tamu Persatuan Pelajar Kebangsaan Syria.
 Sebelum sampai ke Damas saya melintasi Amman, Jordan. Saya membawa 
jemputan yang sama. Saya diberitahu bahawa Persatuan Pelajar Jordan 
dalam buangan beroperasi di Beirut. Begitu juga dengan GUPS - General 
Union of Palestine Students. Justeru saya wajib juga dari Syria ke 
Lubnan. Ketika ini Perang Saudara di Lubnan baru bermula.
 Saya 
tersangkut hampir dua minggu di Damas. Bumi Arab inilah yang menjadi 
permulaan jejak dan tapak saya berkelana. Saya tersangkut kerana jalan 
utama dari Damas ke Beirut ditutup kerana perang saudara. Lalu untuk 
membunuh masa saya melingkari kota Damas.
 Pada tahun 1974, saya 
seperti ramai anak-anak muda di Malaysia tidak ada langsung ada 
kefahaman tentang Sunni dan Syiah. Ketika saya membesar saya tidak 
mengetahui tentang wujudkan dua mazhab ini. Yang saya fahami - saya ini 
penganut Islam, tidak lebih dari itu. Sunni dan Syiah ini tidak pernah 
wujud dalam fikrah saya.
 Saya bertemu dengan mazhab Syiah di 
Iraq. Ini pada tahun 1975 - lama sebelum Revolusi Iran kerana saya telah
 menjadi tamu Persatuan Pelajar Iraq. Malah sebelum dunia membaca 
tentang Ayatollah Khomeini, saya telah melawat Karbala dan Najaf. Ketika
 saya melawat Najaf, Ayatollah Khomeini masih lagi ‘orang buangan' 
sebelum dihalau keluar dari Najaf ke Kuwait dan berakhir di Paris.
 Dengan pecahnya Revolusi Iran, penganut Islam di Malaysia disedarkan 
tentang wujudnya satu lagi mazhab Islam yang dipanggil Syiah. Penganut 
Syiah di Iran bangun melawan Shah Reza Pahlevi. Raja Iran ini telah 
dinaikkan ke tahta oleh CIA. Justeru, Revolusi Iran melonjakkan 
kesedaran tentang Syia di kalangan anak-anak muda Islam di seluruh 
dunia. Mazhab Syiah dilihat membawa garis melawan imperialis.
 
Hari ini, pada tahun 2013, kita sedang melihat bagaimana Islam dijadikan
 musuh oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika. Sesudah tamatnya Perang 
Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin (1989) pernah diharapkan politik 
dunia akan membawa pencerahan dan keamaman untuk umat manusia. Harapan 
ini meleset. Kaum pemodal, kuasa militer, peniaga senjata antarabangsa 
bersama dengan politikus kanan memailih Islam sebagai musuh baru.
Senjata Sunni-Syiah
 Di zaman Perang Dingin dahulu yang dijadikan musuh ialah negara yang 
menggunakan sistem ekonomi Sosialis, kaum Sosialis dan kaum Komunis. 
Mereka bukan hanya ditohmah dan difitnah malah mereka dibantai dan 
dikorbankan. Kali ini yang menjadi musuh ialah Islam. Ini yang sedang 
kita saksikan.
 Awas, kaum pemodal antarabangsa dengan cekap 
menggunakan perbezaan mazhab - Sunni dan Syiah - untuk membantai umat 
Islam. Perbezaan Sunni/Syiah ini sedang dijadikan senjata ulung untuk 
membantai warga Syria.
 Saya akui di sini bahawa manusia yang 
bernama Bashar al-Assad itu mungkin bukan sosok terbaik untuk dijadikan 
contoh pendemokrasian di Syria atau untuk bumi Arab/Islam. Di belakang 
gerakan anti-Bashar ini sebenarnya ada agenda yang lebih besar yang 
dirancang kaum imperialis Anglo-Amerika. Perkara inilah yang ingin saya 
terangkan agar ianya dapat membawa pencerahan untuk kita semua. Ini 
bukan bermakna saya lebih bijak dari pembaca. Apa yang saya paparkan ini
 hanya satu analisa dari kajian, pembacaan dan pengalaman saya.
 
Justeru, sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa apa yang berlaku di 
Syria itu bukan pertempuran Sunni dan Syiah. Apa yang sedang berlaku 
ialah pembantaian warga Syria - Sunni, Syiah, Kristian, Baath atau 
Majusi. Peperangan dan pembunuhan di Syria ini sebahagian dari agenda 
Anglo-Amerika untuk menakluk bumi Arab. Kenapa perlu ditakluk bumi Arab?
 Jawabnya: minyak.
 Kita harus faham bahawa yang kata-kata lunak,
 janji-janji manis dari Clinton, Bush atau Obama terhadap Warga Islam 
hanyalah kata-kata. Kuasa imperial Anglo-Amerika memiliki agenda yang 
telah lama dirancang. Contohnya: serangan ke atas Iraq telah lama 
dirancang - jauh sebelum ledakan WTC di New York tahun 2001.
 
Pendemokrasian yang diajukan oleh kuasa imperial Amerika itu bunyinya 
amat lunak. Lalu saya meminta semua pembaca bertenang dan berfikir 
sajenak. Kenapa demokrasi hanya perlu diwujudkan di Libya, Mesir, Iraq 
dan Syria. Kenapa demokrasi tidak diajukan kepada Arab Saudi.
 
Dari fakta pembacaan, negara Saudi yang kaya raya dengan duit minyak ini
 tidak langsung memiliki ciri-ciri demokrasi jauh sekali menghormati hak
 asasi manusia. Malah kita sering terbaca berita tentang bagaimana warga
 asing yang bekerja di Saudi dijadikan hamba abdi sama seperti di zaman 
Rasullulah.
Demokratik sungguhkah Qatar?
 Sebuah lagi negara Arab yang begitu kuat menyokong dan memberi dana dan
 senjata kepada gerombolan pengganas untuk menyerang Syria ialah Qatar. 
Atas nama Islam, atas nama Sunni , senjata telah dihantar untuk membunuh
 Syiah. Qatar memberi duit dan senjata kerana ingin membangunkan Syria 
untuk menjadi sebuah darul yang lebih demokratik. Mari kita bertanya: 
bila ada pilihan raya di Qatar? Demokratik sungguhkah negara yang 
bernama Qatar ini?
 Telah saya katakan tadi bahawa semua ini 
berlatarkan keperluan kaum pemodal antarabangsa untuk menakluk bahan 
bakar petroleum. Iraq dahulu bebas dan merdeka. Iraq TIDAK membenarkan 
syarikat minyak asing masuk membuat cari gali. Kini Iraq telah dibuka 
untuk Shell, Esso, Exxon termasuk Petronas. Yang masih berdegil melarang
 syarikat luar dari mencari gali minyak hanya Iran.
 Untuk 
menundukkan atau menyerang Iran, Syria perlu dijatuhkan dahulu. Ini 
kerana Syria dan Iran memiliki hubungan yang intim semenjak zaman 
Presiden Hafeez dan zaman Khomeini. Hubungan ini diikat pula dengan 
perjanjian bantu membantu dari segi ketenteraan.
 Apabila kita 
membaca pilitik Iran atau Syria atau Timur Tengah maka kita wajib 
memahami juga peranan negara Zionis Isreal. Israel telah dipacakkan di 
tengah bumi Arab oleh kuasa imperial Anglo-Amerika sesudah Perang Dunia 
keDua. Zionis Isreal bergerak sebagai pangkalan tentera Amerika. Israel 
menjadi polis untuk Amerika.
 Sahihlah bahawa bahan bakar minyak 
petroleum ialah kunci kepada semua ini. Ekonomi kapitalis dunia hari ini
 dijana oleh bahan bakar petroleum. Tanpa petrol dunia yang kita kenali 
hari ini akan berubah wajah.
Kalau kita beli minyak dari stesen 
Petronas kita menggunakan duit ringgit. Kalau beli minyak di Pakistan 
wajib menggunakan Rupiah. Tetapi jika Malaysia atau Pakistan mahu 
membeli minyak di pasaran dunia, negara ini wajib menggunakan dolar.
 Jual beli minyak dalam pasaran dunia hari ini wajib menggunakan dolar. 
Inilah hasil perjanjian yang telah diikat oleh Presiden Nixon dengan 
Raja Faizal - pada tahun 1972 - ketika dolar tidak lagi bersandarkan 
emas. Saudi sebagai pengeluar minyak terbesar dalam dunia mewajibkan 
minyak dibeli dengan dolar. Perjanjian ini memastikan Saudi dapat 
senjata dari Amerika. Amerika juga akan memastikan rejim Saudi selamat 
dari diganggu gugat oleh Israel atau musuh dalaman.
'Kong kalikong' Amerika
 Maka munculkan apa yang dipanggil sistem PetroDollar. Dolar Amerika 
menjadi kukuh. Ini kerana banyak negara dalam dunia hari ini TIDAK 
memiliki minyak. Tetapi, negara-negara ini memerlukan minyak. Maka 
negara ini wajib mengeksport barangan kepada Amerika untuk mendapatkan 
dolar. Dengan adanya dolar baru minyak dapat dibeli.
 Di sinilah 
muncul 'kong kalikong' yang paling besar. Amerika terus mencetak dolar 
untuk membeli barangan import. Hakikatnya ekonomi Anmerika hari ini 
adalah ekonomi silap mata. Maka kerana itu apabila Saddam mahu menjual 
minyak tanpa menggunakan dolar - Saddan Hussein dibunuh. Gadaffi juga 
menerima nasib yang sama apabila dia mahu menukar dolar dengan mata wang
 lain.
 'Kong kalikong' Amerika ini bukan TIDAK disedari. Ramai 
yang tahu tetapi terpaksa sujud kepada Amerika kerana kuasa bala tentera
 Amerika berselirat dalam dunia hari ini. Semua negara kini tertaluk 
dibawah kuasa Anglo-Amerika. Dulu ada Empayar Rom, kini kita dijajah 
oleh Empayar Amerika.
 Saudi memiliki simpanan minyak terbanyak 
dalam perut buminya. Negara kedua ialah Iran. Justeru Iran wajib 
ditundukkan. Jika Iran menjual minyaknya tanpa menggunakan dolar pasti 
ekonomi Amerika terjejas. Kerana inilah dibuka kesah Sunni dan Syiah. 
Kisah ini bertujuan untuk menutup kesah bangkai dolar yang semakin 
mencemaskan dunia kapitalis.
 Ketika saya di Beirut pada tahun 
1975, saya telah melihat kematian dan pembunuhan dalam perang saudara. 
Kali ini saya hanya berkeupayaan untuk menulis. Tapi saya tahu apa 
rupanya perang saudara yang sedang berlaku di Syria.
 Saya akhiri
 dengan satu pertanyaan: kenapa kita tidak dapat memahami bagaimana kaum
 pemodal, tauke penjual senjata dan politikus kanan yang kaya raya terus
 mengadu domba kita. Di Lubnan, Khristian dengan Islam. Di Rwanda, Tutsi
 dengan Hutu. Di Syria, Sunni dengan Syiah. Dan di Malaysia Melayu 
dengan Cina.
Oleh :