Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata isu beliau bersentuh tangan dengan veteran DAP Lim Kit Siang di Majlis Deklarasi Rakyat sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu.
Katanya, isu tersebut tidak perlu diperbesarkan kerana pemimpin negara ini turut pernah bergambar dan bersalam dengan pemimpin DAP dan beberapa pihak lain.
Malah jelasnya, ketika kejadian itu berlaku, Lim terserempak dengannya di dalam majlis tersebut, lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.
Ibrahim berkata, sebagai seorang Islam, beliau harus menyambut salam berkenaan.
“Saya cuma tercuit tangan dengan Lim Kit Siang, terus keluar surat khabar Cina muka depan, bukan main, gambar ini tinggi nilainya, isu ini menjadi begitu popular.
“Kalau soal bersalam dengan Kit Siang, ia bukan baru, saya dah bersalam tahun 1986 ketika itu saya menjadi ahli Parlimen,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Sebelum ini akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memaparkan gambar berkenaan di halaman depan akhbar itu.
Katanya, kini DAP tidak lagi dipelopori oleh kaum Cina, sebaliknya terdapat juga ahli mereka yang berbangsa Melayu.
“Adakah mereka lupa, dalam DAP sekarang ini ramai Melayu, Profesor Aziz Bari merupakan tokoh perundangan, Sasterawan Negara A Samad Said juga masuk DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dah masuk DAP kenapa tidak hentam mereka? Saya ni belum masuk DAP lagi” katanya.
Mengulas lanjut, katanya sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah bergambar dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah bergambar dengan pemimpin DAP Lim Guan Eng, namun tidak pula diperbesarkan.
“Isu itu (pemimpin lain) lebih besar berbanding saya yang cuma tercuit tangan Kit Siang,” katanya.
Malah beliau turut memuji masyarakat Cina yang tidak mempertikaikan Lim bersalam dengannya.
“Ada ke orang Cina bantai Kit Siang, kata Kit Siang komplot dengan Ibrahim Ali, tak ada pun yang bantai tapi Ibrahim Ali yang kena. Susah bercakap dengan orang fikiran tak sihat dan puak yang akalnya tak betul,” katanya.
sumber...mKini