Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Saturday, February 27, 2016
Muhyiddin Terus Tibai PM Najib
Kita sedang saksi kemunculan diktator baru, kata Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sedang mengukuhkan kuasanya dan bekas timbalan perdana menteri itu memberi amaran tentang kemunculan diktator baru.
"Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baru," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan pagi ini.
Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Majlis Tertinggi Umno menggantungnya dari jawatan pemimpin nombor dua parti itu kerana kritikannya terhadap Najib.
Bekas timbalan perdana menteri itu mensasarkan Najib selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak untuk mendakwa perdana menteri atas dakwaan menerima RM42 juta dari syarikat milik negara SRC International dan RM2.6 bilion daripada satu akaun luar pesisir.
"Hanya kerana dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, peguam negara tidak berani mendakwa Najib
"Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa.
"Akta Majlis Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada perdana menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.," kata Muhyiddin.
Menurutnya lagi, hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas.
"Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup.
"Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan," katanya lagi.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau bersedia untuk bersama dengan rakyat untuk menentang kezaliman.
"Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia.
"Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.
Tuntut perubahan, bukan sekadar desak PM berundur
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata episod hitam yang berlaku di negara telah mematangkan rakyat dan menggesa mereka bersedia bersama menuntut perubahan jika mahu malihat Malaysia kembali sebagai negara yang dihormati dan rakyat hidup lebih sejahtera.
"Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita.
"Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.
"Ia bukan sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.
"Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti," katanya.
Muhyiddin menegaskan demikian dalam satu kenyataan selepas Majlis Tertinggi Umno menggantungnya daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana kritikannya terhadap Najib.
Muhyiddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantungnya dari jawatan timbalan presiden Umno, bukan satu perkara yang mengejutkan.
"Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai timbalan presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan.
"Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.
"Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan timbalan presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu presiden.
"Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu presiden?
"Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan Umno, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.
"Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada presiden serta menegur presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan Umno. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.
"Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan Umno ke landasan yang betul supaya Umno terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu presiden.
"Adakah membantu presiden itu bermaksud menyokong presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu.
"Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam Umno bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada Umno," kata Muhyiddin.
Hari ini, katanya, tercatat dalam lipatan sejarah Umno, seorang timbalan presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur presiden.
"Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai timbalan presiden," tegasnya.
sumber...mKini
Label:
2.6 Bilion,
muhyiddin yassin,
najib rosmah,
tibai,
Umno Baru