Followers

Monday, February 22, 2016

Saya Tidak Pakai Jubah dan Mencuri Duit Rakyat - TMJ


ULASAN l
 Saya dimaklumkan oleh laman rasmi kelab yang terdapat banyak komen negatif berkenaan bagaimana isteri Safiq Rahim bersalaman dengan saya.

Terdapat beberapa individu yang cuba untuk menjadi ustaz atau mufti negeri di laman facebook. Bagi saya, apabila berkaitan agama, kita tidaklah semulia Rasul dan Allah SWT.

Oleh itu hanya Allah SWT yang boleh menilai kita dan bukannya kita sesama manusia. Hanya Allah SWT boleh membuat keputusan sama ada amalan kita diterima atau tidak.

Hanya Allah yang boleh menilai sama ada kita ke syurga atau neraka.

Kita hanya manusia dan oleh itu tidak perlu menghukum orang lain terutama perkara-perkara kecil. Islam adalah tentang kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain, bukan tentang menghakimi orang lain terutama apabila ia melibatkan kebencian.

Masalah sekarang adalah terlalu ramai yang cuba menjadi lebih bijak daripada Al-Quran.

Walaupun saya dilahirkan untuk menjadi raja, saya juga hanya seorang manusia. Saya tidak mempunyai hak untuk mengadili sama ada Allah SWT akan menerima anda atau sebaliknya.

Melainkan anda merogol orang atau kanak-kanak, membunuh orang, mencuri atau merampas sesuatu dari mereka yang memerlukan.

Siapa antara kita akan ke syurga?

Beri saya peluang untuk memberi pendapat ikhlas saya kepada sesetengah hipokrit yang sudah terbiasa dengan budaya bermuka muka sesetengah orang di dalam hidup anda.

Saya seorang Muslim dan agama suci Islam adalah lebih utama daripada saya. Saya akui yang saya bukan pakar tetapi apabila ia berkaitan dengan agama Islam, satu perkara yang saya percaya adalah Allah SWT akan memberkati anda, jika anda mempunyai hati yang baik, amanah, jujur, bantu-membantu dan menghormati orang lain.

Terdapat banyak mazhab di dalam Islam. Siapa kita untuk mengatakan siapa antara kita akan ke syurga?
Siapa kita untuk mengatakan yang Islam kita atau islam mazhab lain adalah yang betul.

Bagi saya, saya lebih suka untuk berpegang dengan apa yang telah diajar sejak saya kecil dan sentiasa berpandukan kitab suci Al-Quran.

Saya juga akan berpegang kepada adat dan tradisi Melayu Johor saya kerana saya dilahirkan sebagai seorang Melayu Bangsa Johor.

Jika ada sebahagian dari anda yang mahu menjadi orang Arab dengan budaya mereka dan tidak ingin mengikut adat Melayu dan tradisi, terpulang kepada anda.

Sekurang-kurangnya saya menjadi diri sendiri dan bukan seseorang hipokrit, dan rakyat saya tahu siapa raja mereka sebenarnya.

Berlakon pakai jubah

Saya tidak berlakon dengan memakai jubah tetapi ketagihan dadah dan saya bukan seorang kaki judi. Saya tidak mencuri daripada rakyat saya dan saya sentiasa bercakap benar.

Saya berani untuk bersuara apa yang orang lain tidak berani lakukan kerana masing-masing mempunyai kepentingan peribadi mereka sendiri.

Saya fikir ia adalah penting untuk menjadi diri sendiri dan setelus yang boleh dengan rakyat saya dan tidak bersikap hipokrit. Kerana saya sudah banyak kali mengatakan bahawa saya lebih rela dibenci kerana bersikap jujur dan menjadi diri sendiri daripada hidup disayangi dengan penuh kepalsuan dan hipokrit.

Saya menghormati pilihan anda walaupun saya pelik mengapa orang Malaysia terutamanya orang Melayu begitu mudah terpengaruh?

Jawapannya mudah. Pendidikan.

Pendidikan membolehkan kita melihat dunia secara berbeza. Pendidikan memberikan kita ilmu untuk mematuhi prinsip-prinsip dan polisi dalam kehidupan.

Saya tidak mempunyai hak untuk memberitahu anda apa yang perlu dipercayai atau diikuti dan semua itu adalah pendapat saya secara jujur iaitu kita tidak harus cuba untuk menjadi lebih bijak daripada Al-Quran.

Jadi seorang Muslim tetapi bukan begitu taksub

Apa yang kita perlu tahu adalah perkara asas. Untuk sekalian rakyat Johor jadilah seorang Muslim, tetapi bukan dengan begitu taksub.

Jadi seorang Muslim dengan menghormati satu sama lain. Johor mempunyai tradisi sendiri dan budaya, dan begitu juga dengan negeri-negeri lain.

Kita semua berbeza.

Berbeza dalam ajaran Islam, berbeza dalam agama agama yang lain dan berbeza puak etnik.

Menuding jari dan menilai satu sama lain tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik.

Kita tidak sepatutnya mempunyai kebencian dalam hati kita. Adakah anda tahu bagaimana kita boleh jadikan negara ini tempat yang lebih baik dan hidup dalam suasana harmoni?

Mudah, mendidik diri anda dan menghormati antara satu sama lain. Hidup Johor, Allah Peliharakan Sultan dan Negeri Johor.

Penulis, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim adalah Tunku Mahkota Johor

sumber...mKini