Followers

Saturday, February 20, 2016

Bila Lagi Mahu Saman WSJ, Tanya Muhyiddin



Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap kerajaan untuk tidak menyaman The Wall Street Journal (WSJ) selepas mengumumkan akan berbuat demikian menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Februari, 2016.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan undang-undang harus segera diambil terhadap The Wall Street Journal (WSJ) sekiranya kenyataan terbaru pengarang akhbar itu, yang menafikan sumber wang RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri datangnya daripada keluarga diraja Arab Saudi, adalah tidak benar.

Timbalan presiden Umno itu berkata, ketiadaan sebarang tindakan berhubung perkara itu menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai sama ada penafian itu benar atau tidak.

Ini kerana katanya, peguam negara sebelum ini mengumumkan yang wang dalam akaun Datuk Seri Najib Razak datang dari Saudi dan tidak melibatkan unsur rasuah.

"Baru-baru ini, seorang daripada editor utama WSJ menyatakan dia ada banyak bukti menunjukkan RM2.6 bilion itu datang daripada pelbagai sumber, dan ada kaitannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Soalannya sekarang, siapa yang betul dan siapa yang salah? Kita hendak cari kebenaran. Tolong jawab.

"Dulu sudah kata hendak saman, tak saman. Apabila keluar berita tak betul, tak saman. Orang sana (WSJ) menunggu. Dia kata, bila awak mahu saman saya?

"Sekarang ini, kalau tak betul apa yang disebut Ken Brown, saman dia dan saman WSJ. Kenapa takut?" kata Muhyiddin merujuk kepada pengarang kewangan WSJ.

Muhyiddin tidak menyebut sebarang nama dalam ucapannya tetapi banyak pihak sebelum ini mengatakan Najib harus menyaman WSJ bagi membersihkan namanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipertikai beberapa pihak apabila WSJ menyangkal kenyataannya yang mendapati tiada bukti menyokong dakwaan Najib terlibat dalam salah laku berhubung derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia berkata, wang itu bukan daripada keluarga diraja Arab Saudi seperti diumumkan Apandi sebelum ini, sebaliknya datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Laporan kami selama berbulan-bulan menunjukkan wang itu bukan dari Arab Saudi tetapi dari syarikat dan akaun bank yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

"Dan seperti anda sedia maklum, laporan kami belum pernah dipertikaikan lagi dan kami ada banyak bukti sokongan," katanya dalam wawancara pada 12 Februari lalu.

WSJ adalah penerbitan yang pertama sekali menyiarkan berita tentang kehadiran wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib pada awal Julai tahun lalu.

sumber...TMi