Followers

Thursday, February 11, 2016

Video Mukhriz Dakwa 'Sebab' Penyingkiran Jadi Viral


Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, dalam sebuah video yang telah menjadi viral mendakwa beliau digugurkan sebagai Menteri Besar Kedah disebabkan kritikannya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu dana RM2.6 bilion.


Dalam video hampir lapan minit yang disiarkan di Facebook Mukhriz Mahathir FC, Mukhriz mendakwa beliau menghadiri pertemuan peribadi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh penyingkirannya.

Mukhriz mendakwa sebab sebenar penyingkiran dirinya telah disampaikan oleh Najib semasa pertemuan itu.

"Dia tidak gembira dengan ucapan saya di Saloma Bistro. Katanya, sebagai Menteri Besar, saya tidak patut berkata demikian kepadanya sebagai Perdana Menteri. Dan kerana itu, saya terpaksa mengosongkan jawatan saya.

"Dalam masa sejam setengah kami bercakap, dia tidak sekali pun berkata bahawa dia kecewa dengan saya kerana ketidakupayaan saya untuk mentadbir dalam Umno atau di negeri ini," katanya.

Pada Disember 2015, Mukhriz menganjurkan majlis makan malam di Saloma Bistro untuk perwakilan Umno Kedah yang menghadiri perhimpunan agung parti.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Pada majlis itu, Mukhriz didakwa menyampaikan ucapan mengkritik pengendalian Najib terhadap isu 1MDB.

"Kita semua tahu mengapa ia (pemecatan) berlaku. Ini bukan kerana saya gagal dalam mentadbir Umno, walaupun saya mengakui bahawa saya mempunyai kelemahan.

"Tetapi ini adalah dakwaan terhadap perkara-perkara yang boleh diperbetulkan, bukan perkara-perkara yang sepatutnya menyebabkan pemecatan menteri besar," dakwa beliau dalam video tersebut.

sumber...Mstar Online