Followers

Friday, May 15, 2020

Takut Usul Dr Mahathir, Muhyiddin Gadai Usul Kerajaan




Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih mengutamakan usaha mempertahankan 'Langkah Sheraton' daripada membahaskan krisis Covid-19 secara bersama di Parlimen.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata beliau yakin sidang yang berlangsung 18 Mei nanti sekadar membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong adalah atas permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri.

"Dalam 'ketakutan' PM terhadap usul persendirian Langkawi beliau telah menggadaikan keperluan usul kerajaan sendiri yang merupakan satu keutamaan.

"Ahli Parlimen turut menanti usul dari kerajaan untuk dibahaskan secara sihat demi mencapai konsensus untuk negara.

"Saya berkeyakinan kerajaan PN telah hilang fokus kerana keutamaannya adalah untuk mempertahankan kewajaran 'Langkah Sheraton' daripada membahaskan krisis covid secara bersama di Parlimen Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, media melaporkan sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung sehari sahaja pada 18 Mei ini, hanyalah semata-mata bagi mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melibatkan sebarang urusan lain.

Ia sekaligus menutup pintu untuk sebarang usul undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, memberitahu beliau menerima surat pemakluman daripada Muhyiddin selaku ketua Majlis Dewan Rakyat, bahawa kerajaan memutuskan tiada sidang selepas titah Diraja yang dijadualkan berlangsung jam 10 pagi, pada 18 Mei, Isnin ini.

Katanya, beliau dimaklumkan keputusan itu dibuat kerajaan disebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya.

Perkara sama turut dizahirkan dalam satu notis pemberitahuan oleh setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat ditujukan buat ahli-ahli Parlimen dan dilihat Malaysiakini, bertarikh hari ini.

Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini merupakan persidangan pertama sejak “Langkah Sheraton” yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, agak malang apabila sidang Parlimen yang telah banyak kali ditangguhkan hanya mendengar titah Yang di-Pertuan Agong saja.

"Jelaslah sidang 18 Mei ini hanya memenuhi kehendak peraturan dan tidak ada kena mengena hasrat kerajaan PN untuk gunakan peluang persidangan untuk membahas kepentingan besar negara semasa krisis.

"Ia satu langkah primitif ke belakang dan sekaligus menjejaskan kewibawaan institusi parlimen negara," kata Mujahid.

Katanya, dalam suasana negara mengalami krisis Covid-19, banyak perkara yang perlu dibahaskan demi memastikan negara bersatu dalam menangani krisis ini.

oleh: Mujahid Yusuf Rawa

foto ehsan zunar cartoonist