Muhyiddin perlu letak jawatan,bukan usul darurat - Anwar
Pengerusi
Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Muhyiddin
Yassin sepatutnya meletakkan jawatan dan bukannya mengusulkan
perisytiharan darurat.
Kata Anwar, itu adalah langkah yang perlu diambil oleh seorang perdana menteri yang waras dan bertanggungjawab selepas menyedari dirinya tidak lagi memiliki sokongan majoriti anggota Parlimen.
“Apabila Muhyiddin memilih untuk mempertahankan kuasa setelah mengetahui telah terhakis dengan kehilangan sokongan anggota Parlimen, maka dia memilih untuk mengemukakan usul darurat.
“Padahal, pengendalian Covid-19 mampu dilakukan melalui perintah kawalan pergerakan (PKP), PKP bersyarat, melalui langkah-langkah tambahan dan mengambil kira pandangan pakar perubatan serta keselamatan.
“Tetapi bila ini gagal, sokongan hilang dan sepatutnya sebagai perdana menteri yang waras dan bertanggungjawab (Muhyiddin) akan meletakkan jawatan dan Agong mempunyai wewenang (hak dan kekuasaan) untuk memanggil seorang anggota Parlimen yang dipercayai mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen.
“Tetapi Muhyiddin memilih jalan pendek, terdesak dan tidak bertanggungjawab untuk mengusulkan pengisytiharan darurat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Presiden PH, di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.
Anwar berkata demikian merujuk kepada pengisytiharan darurat yang dibuat tidak sampai 24 jam selepas Muhyiddin mengumumkan PKP.
Perkembangan itu juga hadir ketika beberapa wakil rakyat Umno menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Anggota Parlimen BN, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) sebelum ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan diikuti Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).
Manakala, hari ini Nazri Aziz (Padang Rengas) pula mengambil tindakan yang sama.
Masih boleh persembah sokongan
Sementara itu, mengulas tanggapan yang melihat pembangkang kini berdepan kekangan bagi membentuk kerajaan baru meskipun mempunyai majoriti dalam tempoh darurat ini, Anwar berkata ia tafsiran yang salah.
Kata anggota Parlimen Port Dickson itu, pembangkang masih boleh bertemu Agong untuk mempersembahkan sokongan anggota parlimen.
“Tak betul, itu tafsiran yang salah. Yang tidak ada itu jalur (sidang) Parlimen. Itu memang tersangkut kerana Muhyiddin takut berdepan dengan kenyataan hilang kuasa sokongan di kalangan anggota parlimen maka (kerajaan) jatuh.
“Jadi, tidak ada peruntukan yang menghalang kita mendapat sokongan dan mempersembahkan kepada Agong.
“Apa masalahnya, masalah pengendalian negara, ekonomi, cara pengendalian Covid-19, cara pengendalian masyarakat Melayu dan pelbagai kaum di negara ini, semua yang menjadi persoalan,” tambahanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini berkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.
sumber...mKini