Followers

Friday, June 27, 2014

Gambar 4 Pejuang ISIS Malaysia Di Syria




Empat militan kongsi penglibatan di laman sosial

Rakyat Malaysia yang menjadi pejuang jihad di Syria dilihat berbangga dengan perbuatan mereka dengan memuat naik gambar selfie dan video di laman sosial Facebook dan YouTube.

Sekurang-kurangnya empat daripada mereka berkongsi gambar dan pengalaman secara terbuka di media sosial sekali gus membuktikan mereka aktif terlibat dalam gerakan militan di sana.

Mereka dipercayai direkrut oleh Jabhat al-Nusra atau Al Nusra Front, sebuah kumpulan militan beroperasi di Syria dan Lubnan.

Carian di Internet mendapati laman web dalam Bahasa Malaysia yang mengagung-agungkan kumpulan militan ini termasuk Rakyat Malaysia Bersama Revolusi Islam dan Uncle Syahid Insya Allah.

Antara salah seorang anggotanya yang terkenal adalah bekas Ahli Dewan Ulama PAS dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin dan penglibatan beliau itu turut didedahkan oleh penyokongnya.

Mohd Lotfi berasal dari Baling, Kedah, pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama enam tahun dari 2001 turut berjuang di Afghanistan.

Beliau dipercayai antara 20 rakyat Malaysia yang disahkan oleh Bukit Aman terlibat dalam pemberontakan di Syria.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dengan kumpulan militan tersebut ialah pemain drum kumpulan pop yang popular pada era 90-an, Akil Zainal Ukays.


Beliau dikatakan seorang graduan Universiti Teknologi Mara.

Dalam satu klip video, seorang lelaki yang menyerupai Lotfi bersama dengan beberapa anggota gerakan itu membawa AK-47.

Kumpulan Jabhat al-Nusra yang dipercayai ditubuhkan pada 2012 disifatkan sebagai kumpulan militan paling agresif dan mempunyai sokongan kewangan yang kuat.

Ia dianggap sebagai kumpulan militan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat, Australia dan Britain.

Dua lagi rakyat Malaysia yang dipercayai turut terlibat dalam gerakan militan itu muncul dalam satu klip video di YouTube.

Salah seorang daripadanya yang memperkenalkan dirinya sebagai Mohamed Fauzi,  dan kini menggelar dirinya sebagai Abu Dayyan dan Abu Naeem berada di tebing Sungai Euphrates.

Dalam video tersebut, turut kelihatan tiga orang lelaki termasuk seorang yang dikenali sebagai Abu Issa Al-Andalusi yang banyak bercakap mengenai jihad.

Klip tersebut yang dimuatnaik oleh Rakyat Malaysia Bersama Revolusi Islam bertajuk 'Mujahideen ISIS dari Malaysia' mempunyai sari kata dalam Bahasa Malaysia.

ISIS merujuk kepada kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Ia juga merujuk kepada Militan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Akhbar British mendakwa, lelaki ketiga yang memperkenalkan dirinya sebagai Abu Issa Al-Andalusi didakwa sebagai bekas pemain Arsenal.

Namun jurucakap Arsenal berkata, kelab tersebut tiada rekod pemain dengan nama tersebut.


sumber...Mstar OL