Followers

Sunday, June 22, 2014

Bongkar: Kitab Karangan Ibnu Qayyim Diisytihar Sesat




Perbincangan kita masih berkisar fahaman tajsim dan Imam Ibnu Hajar al-Haitami as-Syafie ketika ditanya mengenai akidah Imam Ahmad menjelaskan imam terbabit berlepas diri daripada fahaman tajsim. 


Beliau berkata lagi: “Janganlah kamu membaca apa yang tekandung dalam kitab Ibnu Taimiyah dan muridnya, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah.”


Antara kitab Ibnu Taimiyah yang mengandungi fahaman menjurus kepada tajsim (bahkan sebahagian ulama menegaskan bahawa itulah fahaman tajsim) adalah kitab at-Ta’sis, ar-Risalah at-Tadammuriyah, Fatawa Ibnu Taimiyah, Minhaj al-Sunnah dan al-Arasy.

Imam as-Subki berkata: “Kitab al-Arasy (masih lagi dalam bentuk manuskrip) antara seburuk-buruk kitab beliau (Ibnu Taimiyah).

“Ketika Imam Abu Hayyan meneliti kitab itu beliau sentiasa mencela fahaman dalam kitab berkenaan sehinggalah beliau mati sedangkan sebelum itu beliau mengagungkannya (Ibnu Taimiyah).” (dinukilkan Imam az-Zabidi dalam Syarh al-Ihya dan Imam an-Nabhani dalam Syawahid al-Haq)

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata dalam kitab ad-Durar al-Kaminah (dalam bab yang menterjemahkan biografi Ibnu Taimiyah):

“Ulama menisbahkannya dengan tajsim melalui perkataan beliau dalam akidah al-Hamawiyah, akidah al-Wasathiyah dan lain-lain sebagaimana beliau berkata ‘tangan, kaki, betis dan wajah’ adalah sifat hakiki bagi Allah, Allah beristiwa di atas arasy dengan zat-Nya.

“Maka dikatakan kepadanya (Ibnu Taimiyah) ini melazimkan penisbahan tempat dan pembahagian anggota.

“Saya (Ibnu Hajar) tidak anggap menisbahkan tempat dan pembahagian anggota itu antara keistimewaan jisim semata-mata, tetapi ini menunjukkan beliau berkata dengan perkataan yang menetapkan tempat bagi zat Allah.”

“Beliau juga menyalahkan Umar bin al-Khattab dan menyalahkan Amirul Mukminin Ali RA.”

Al-Allamah Imam Taqiyuddin as-Subki juga mengaitkan Ibnu Taimiyah dengan fahaman tajsim dalam kitab beliau ad-Durrah al-Mudhiyyah.

Begitu juga dengan Imam Taqiyuddin Abu Bakr al-Hishni dalam kitab beliau Daf Syubahi Man Syabbah. Maka sebaik-baik kita ialah berpegang kepada pendapat jumhur ulama.


Ibnu Qayyim al-Jauziyah dan tajsim

Ibnu Qayyim antara murid Ibnu Taimiyah yang kuat memperjuangkan fahaman tajsim. Syeikh Yusuf an-Nabhani menegaskan Ibnu Qayyim juga antara mereka yang menetapkan jihhah (sudut) bagi Allah seperti guru beliau. (Syawahid al-Haq, halaman 191)

Kitab Qasidah an-Nuniyyah dan kitab Ijtima al-Juyush al-Islamiyyah karangan Ibnu Qayyim adalah kitab yang meneruskan doktrin Ibnu Taimiyyah secara lebih terperinci.

Ibnu Qayyim seorang ulama yang diakui memiliki ketinggian ilmu dalam pelbagai bidang, berjasa dalam mengembangkan ilmu tasawuf dalam bentuk yang mudah khususnya melalui kitab beliau seperti Madarik as-Salikin, ad-Da Wa ad-Dawa, Thariq al-Hijratain dan Ighasatul Lahfain.

Namun, sesetengah pendapat beliau ditolak majoriti ulama kerana beliau masih terpengaruh dengan fahaman Ibnu Taimiyah yang syaz (diragui atau ganjil).

Antara perkataan Ibnu Qayyim yang mempunyai unsur fahaman tajsim ialah: “Allah jika Dia kehendaki Dia akan menetap di atas belakang nyamuk.” (Ijtima al-Juyush al-Islamiyyah, halaman 85)

Ibnu Qayyim juga terbabit dengan fahaman yang mendakwa Allah akan meletakkan Rasulullah di atas arasy bersebelahan dengan-Nya.

Dakwaannya Rasulullah akan didudukkan oleh Allah di atas arasy di sebelah Allah diperkatakan dalam kitab Bada’ik al-Fawaid, lalu dinisbahkan perkataan itu kepada sesetengah salafussoleh. Subhanallah!

Syeikh Usamah al-Azhari pernah ditanya mengenai pendirian al-Azhar terhadap Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim, lalu beliau menjawab:

“Setelah tercetaknya kitab Ijtima al-Juyush al-Islamiyyah karangan Ibnu Qayyim, maka al-Azhar mengadakan suatu persidangan tergempar untuk mengkaji fahaman yang terkandung dalam kitab berkenaan.

“Akhirnya persidangan membuat kesimpulan setelah penelitian yang mendalam dilakukan. Kitab itu adalah kitab yang sesat dan perlu dijauhi oleh umat Islam.”

Walaupun Syeikh Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim al-Jauziyah adalah tokoh ulama yang terkenal dalam bidangnya dan disanjung tinggi, mereka dikritik hebat oleh majoriti ulama Ahli Sunah Waljamaah berhubung isu zat dan sifat Allah.

Lantaran itu ulama menahannya daripada menyampaikan ilmu dan melarang orang ramai daripada membaca kitabnya. - Bersambung


Penulis Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri