Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Saturday, October 18, 2014
Tengok: Jawapan Khalid Samad Kepada Asri Zainul Abidin dan Madey
Guna istilah ‘tahaluf siyasi’ kerana kitab rujukan bahasa Arab, kata pemimpin PAS
Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berkata tiada isu dengan penggunaan istilah 'tahaluf siyasi', kerana pokoknya mereka mahu politik PAS dipandu Islam
Pemimpin PAS tidak melihat penggunaan istilah 'tahaluf siyasi' sebagai isu yang perlu dipersoalkan, memandangkan kebanyakan kitab yang dijadikan panduan dan rujukan Islam adalah dalam bahasa Arab.
Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berkata penggunaan istilah itu diputuskan ulama parti Islam itu yang diambil daripada kitab bahasa Arab.
"Tidak ada isu apabila kita rujuk Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama, mereka gunakan istilah bahasa Arab kerana dalam kitab-kitab digunakan bahasa Arab," kata Khalid merujuk kepada keputusan badan tertinggi dalam PAS untuk menggunakan istilah tersebut walaupun sesetengah pihak mempertikaikannya.
Antaranya bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertikaikan istilah itu digunakan seolah-olah menggambarkan hukum dalam Islam.
Khalid berkata perkara pokok adalah sama ada istilah yang mereka pilih untuk gunakan mengikut syarat atau tidak mengikut landasan agama Islam.
"Bagi kita, politik dipandu hukum Islam, semua dibuat PAS berpandukan Islam, tetapi kita tidak kata kita sahaja yang Islam.
"Di situ kita periksa daripada segi hukum sama ada ia dibenarkan dan jika dibenarkan, apakah syarat-syaratnya," kata Khalid.
Khalid menegaskan setiap perkara mengikut syarak Islam perlu digunakan istilah yang menzahirkan ia berpandukan Islam.
"Kalau hendak kata istilah ini semua tidak ada, memang betul, tetapi istilah bank pun tidak ada.
"Bila kita bina sesuatu mengikut syarak Islam, maka digunakan istilah yang menzahirkan ia berpandukan Islam," katanya.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata bukan mudah untuk menterjemah suatu istilah dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, ia sama seperti istilah bahasa Inggeris yang digunakan dan 'diMelayukan'.
"Konsep atau bahasa itu akan boleh difahami masyarakat, seperti juga bahasa Inggeris yang diMelayukan seperti perkataan serius, komitmen.
"Kadang-kadang kita tidak ada istilah yang tepat boleh kita terjemahkan untuk beri kefahaman. Bukan semua boleh faham, sama dengan istilah demokrasi dan istilah dalam perundangan," kata Salahuddin.
Salahuddin juga menafikan penggunaan istilah "tahaluf siyasi" semata-mata untuk tujuan politik atau kepentingan tertentu.
"Tahaluf siyasi adalah persepakatan dan persefahaman umum antara kumpulan yang tidak sama ideologi dan doktrin, ia bukan sekadar berlaku di Malaysia, malah seluruh dunia di mana satu keperluan untuk wujudkan satu kerjasama berdasarkan prinsip umum.
"Itu konsep yang kita terima pakai. Bukan kita mahu peralatkan atau gunakan agama untuk tujuan politik dan seumpamanya," kata beliau.
Sementara itu, bekas bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata "tahaluf siyasi" adalah cerminan pemerintahan semasa zaman Nabi Muhammad di Mekah.
Nizar menjelaskan mengenai perjanjian yang dikenali sebagai "Hilf al-Fudul" yang menjadi sumber rujukan kepada "tahaluf siyasi".
"Perlu baca bagaimana Nabi (Muhammad) buat ikatan di Mekah ketika itu.
"PAS kalau hendak buat sebarang tindakan mesti ada nas dan diluluskan di muktamar, suatu perkara tidak akan dibuat tanpa hujah," kata Nizar.
Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik langkah PAS menggunakan istilah "tahaluf siyasi" dalam menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan PKR bagi membentuk Pakatan Rakyat (PR) sebagai sekadar istilah Arab, dan bukan mewakili Islam.
Katanya, masyarakat seakan-akan melihat penggunaan perkataan Arab sebagai benar-benar mewakili Islam.
"Orang Melayu bila dengar bunyi Arab, dia ingat Islam. Kita tidak boleh anggap istilah Arab mesti mewakili agama.
"Tujuan Islam bukan nama itu. Allah tidak minta kita 'Arab'kan diri, Dia minta kita Islamkan diri.
"Islam mana satu yang kita cari?" katanya.
Sementara itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga lantang membidas langkah PAS menggunakan istilah tersebut dengan menyifatkan parti Islam itu cuba menghalalkan yang haram.
Dr Mahathir berkata, PAS pintar menggunakan Islam dan bahasa Arab untuk kepentingan mereka, serta menuduh apa yang dilakukan Umno sebagai haram.
"Apa yang PAS buat kita rujuk kepada syarak, sama ada ia dibenarkan, jika dibenarkan apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi supaya tidak melanggar, itu beza kita dengan Umno.
"Mereka tidak rujuk Islam kerana mereka rasa ia tidak relevan dengan hukum politik," kata Khalid.
sumber...TMI
Wednesday, October 15, 2014
'True Colour' Asri Zainul Abidin Terserlah Jua Akhirnya
Baru jer dapat peluang yang di sogokkan oleh Shahidan Kassim ,Asri daa 'stim' terlampau pulak!
Hahaha...itu baru hanya sedikit sogokan dari Umno/BN...
Nkorang bayangkanlah kalau daa dapat baik punya offer macam si Nasha Mat Isa tu...
PR daa menjuarai 52% undi rakyat Malaysia hasil Tahaluf Siyasi yang dipelopori oleh almarhum ostad Fadzil Noor...you got nothing Asri !
Wa daa lama perhatikan tingkah laku si Asri ni...akhirnya hari ini terserlah siapa Asri yang sebenarnya..
Mungkin Asri pon daa buat permohonan kepada JPN untuk menukarkan namanya kepada bahasa Melayu.... kikiki
'Iqomatiddin wa siyasatud dunya fiiha' tu sebutan dari siapa Asri ?(Tegakkanlah ugama dan politik dunia bersamanya).
Apa yang disampaikan oleh Baginda Rasul SAW ikutlah dan apa yang dilarang oleh Baginda Rasul maka tinggalkanlah.
‘Tahaluf siyasi’ istilah Arab, bukan Islam, kata Asri
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, istilah "tahaluf siyasi" yang digunakan PAS dalam menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan PKR bagi membentuk Pakatan Rakyat (PR) adalah istilah Arab, dan bukan mewakili Islam.
Bekas bekas mufti Perlis itu ketika menyampaikan tazkirah di Parlimen hari ini, berkata istilah Arab tidak semestinya mewakili ajaran agama Islam, dan melahirkan kekhuatiran tentang bahaya kesilapan penggunaan istilah Arab seperti itu.
Katanya, masyarakat seakan-akan melihat penggunaan perkataan Arab sebagai benar-benar mewakili Islam.
"Orang Melayu bila dengar bunyi Arab, dia ingat Islam. Kita tidak boleh anggap istilah Arab mesti mewakili agama.
"Tujuan Islam bukan nama itu. Allah tidak minta kita mengArabkan diri, Dia minta kita mengIslamkan diri.
"Islam mana satu yang kita cari?" katanya pada program dianjurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, ketika sidang Dewan Rakyat berhenti rehat.
Mengambil contoh penyatuan Eropah selepas berperang sejak berdekad lama, Asri berkata, negara Eropah hanya dapat bersatu selepas mereka memisahkan agama daripada pentadbiran politik.
"Di Eropah, agama tidak mencampuri politik. Jadi, mazhab-mazhab tidak boleh bertelagah sesama mereka," katanya.
Situasi di Malaysia pula, katanya, perdebatan antara parti yang mewakili komuniti Islam pasti akan melibatkan hujah menggunakan dalil agama mengikut tafsiran masing-masing.
"Hari ini, Islam dimasukkan ke dalam politik, ada pergerakan Islam, pertubuhan Islam. Kemudian, nama itu di-Arabkan.
"Apabila Islam dalam bentuk ini masuk, dan tidak mempunyai tujuan 'kemaslahatan hamba' (hamba Allah), maka sebanyak mana nama Islam dalam dunia Islam, hanya akan menimbulkan masalah dalam dunia Islam," katanya.
"Bila PAS lawan Umno, kedua-duanya keluarkan dalil. Kita tidak tahu mana sebetulnya yang Islam," katanya.
Asri berkata, Islam yang dibawa Nabi Muhammad ialah bagi memperbaiki sistem politik, tetapi umat Islam sekarang menggunakan agama sebagai senjata politik.
"Jangan eksploitasi agama menggunakan nama Islam," katanya.
Beliau turut berkata, mengkritik ulama juga bukan bermakna mengkritik agama Islam.
"Kita perlu bezakan antara mengkritik ulama dan mengkritik Islam. Tidak salah kritik (ulama), dia pun manusia juga, yang tidak boleh dikritik ialah apa yang Allah dan Rasul kata.
"Berhati-hati gunakan dalil ketika berpolitik," katanya.
sumber...TMI
Monday, June 30, 2014
Mufti Kelantan Tibai Militan ISIS Di Syria Dan Iraq
Fahami konsep jihad supaya tidak mudah terpengaruh
Umat Islam perlu memahami konsep jihad supaya tidak mudah terpengaruh dan ditipu dalam keterujaan mereka mahu berjuang untuk mendapatkan pahala.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ramai memahami jihad dari pandangan orientalis yang mengaitkannya sebagai 'The Holy War', bermaksud menentang musuh bukan beragama Islam.
"Sebab itu jihad tidak sesuai untuk digunakan dalam konteks isu di Syria kerana melibatkan sesama Islam, dan adalah tidak adil untuk kita mengisytiharkan pihak yang ditentang sebagai bukan Islam," katanya semasa dihubungi Bernama, Isnin.
Beliau menambah perkara itu juga selari dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud 'apabila dua pihak Muslim bertemu (saling berbunuhan) dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka', memandangkan yang dibunuh turut berniat untuk membunuh, cuma tidak berpeluang terlebih dahulu.
Bagi mereka yang berpegang kepada alasan mahu menentang pemerintah yang zalim untuk berjihad di Syria, Mohamad Shukri berkata, perkara itu perlu dilihat dari konteks lebih mendalam pelaksanaannya.
"Jika perbalahan ini berlaku lebih lama, ia akan membawa kemudaratan lebih besar kepada penduduk di sana, khususnya kepada golongan wanita, kanak-kanak dan orang tua.
"Mengambil kira hal ini, kita boleh merujuk kepada pandangan bahawa apabila jika berlaku dua kemudaratan, maka kita perlu pilih yang mana lebih kecil kesannya, apatah lagi jika ulama di Syria sendiri telah meminta orang ramai untuk bersabar," kata Mohamad Shukri.
Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus, Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula berpendapat kekeliruan konsep jihad boleh mempengaruhi individu untuk terjerumus dalam kegiatan ekstremis.
"Umat Islam di negara ini perlu meningkatkan lagi kefahaman mengenai erti jihad untuk mengelakkan keliru sehingga menyebabkan mereka mengaplikasi konsep jihad pada landasan tidak tepat," katanya.
Menyentuh pembabitan beberapa individu Malaysia di Syria, Mahmood Zuhdi yang juga Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berpendapat, terdapat cara lain untuk umat Islam di negara ini berjihad.
Mahmood Zuhdi berkata, ini kerana erti jihad adalah sangat meluas dan merangkumi pelbagai aspek termasuk pemikiran, tenaga, harta dan pendidikan.
"Di Malaysia juga boleh berjihad, walaupun caranya berbeza daripada pemahaman orang mengenai jihad di Syria. Sebagai contoh, umat Islam di sini boleh berjihad ekonomi kerana ekonomi kita masih lemah.
"Jihad untuk memupuk penyatuan antara ummah juga harus diberi tumpuan dan boleh dilakukan memandangkan perpaduan ummah di negara ini masih ada ruang untuk diperbaiki bagi melahirkan umat Islam yang mantap dan bersatu padu," katanya.
Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin secara peribadi juga berpendapat, umat Islam tidak seharusnya berjihad hingga ke Syria jika tidak mempunyai pemahaman yang jelas mengenai situasi di sana.
"Mereka mungkin mengalami masalah seperti kekangan bahasa menyebabkan terpaksa bergantung kepada perantara dan jika individu itu berbohong untuk menarik simpati, maka kita sudah terpedaya," katanya.
Asri juga mengingatkan bahawa ulama di Syria yang menasihatkan umat Islam untuk tidak menyokong kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), kerana ia membabitkan peperangan sesama Muslim, yang tidak selari dengan konsep jihad.
Beliau menambah, jika benar umat Islam mahu berjihad, mereka boleh melakukannya dalam isu yang lebih jelas seperti di Palestin, bukan hanya dari sudut tenaga, tetapi menghulurkan bantuan kewangan untuk masyarakat Islam di sana.
sumber...Mstar OL
Saturday, November 23, 2013
Dr Asri Samakan Allah Dengan Kera ??
Bekas mufti Perlis cabar mufti Kedah sumpah laknat
Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mencabar mufti Kedah Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad bermubahalah atau bersumpah laknat dengannya selepas timbulnya rakaman video yang didakwa memfitnahnya.
"Jika tidak, saya mengajak beliau bermubahalah iaitu bersumpah laknat atas nama Allah.
"Jika saya menyebut seperti tuduhan-tudahan beliau maka laknat Allah ke atas saya.
"Jika tidak, maka laknat Allah ke atas beliau," tulisnya dalam artikel "menjawab fitnah mufti Kedah" dalam blognya hari ini.
Sambil menegaskan tuduhan secara dusta sebagai dosa besar, Dr Asri berkata akan bertemu dengan mufti Kedah di mahkamah Masyar dan menegaskan Allah juga mampu bertindak di dunia ini.
"Saya meminta beliau menarik balik kaitan itu, jika beliau rasa beliau tersilap ataupun diberikan maklumat yang salah," kata Dr Asri.
'Tuduhan samakan Allah dengan kera'
Katanya, daripada rakaman yang diperolehnya, Sheikh Muhamad Baderudin bercakap tentang nama satu pihak dan isu Wahabi, namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama Dr Asri.
Antara dibangkitkan dalam video itu, tambah Dr Asri, berkaitan tuduhan kepada aliran Wahabi, pengiktirafan kepada keberkatan Nabi Muhammad dan tuduhan menyamakan Allah dengan makhluk, seperti kera.
"Isu tentang kononnya menyamakan Allah dengan makhluk seperti manusia dan kera adalah pembohongan dan fitnah beliau yang amat besar.
"Beliau boleh cari di manakah kenyataan yang seperti itu dalam tulisan ataupun ucapan saya yang begitu mudah di dapati di dunia siber," jelas Dr Asri.
Beliau juga bersumpah dengan nama Allah berhubung dakwaan-dakwaan yang dikemukakan Sheikh Muhamad Baderudin dan memohon ia dibuktikan.
"Ada pun beberapa fitnah yang beliau sebut dan seakan macam saya juga bersetuju dengan hal itu maka katakan wallahi, wabillah wa tallahi itu adalah fitnah beliau semata-mata," katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi Jabatan Mufti Negeri Kedah melalui e-mel dan Facebook bagi mendapatnya ulasan berhubung perkara. Bagaimanapun jawapannya masih belum diperoleh setakat ini.
sumber...malaysiakini
Wednesday, October 16, 2013
GEMPAR : Syeikh Yusuf Al Qardawi Sudah MURTAD ??
Dr Asri: Takkan seluruh dunia Arab murtad?
Tindakan memurtadkan umat Islam yang membenarkan penganut Kristian menyebut kalimah Allah mempunyai kesan yang amat besar sehingga melibatkan seluruh dunia Arab dan ulama-ulama terkemuka, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Ini kerana, selain semenanjung Malaysia, seluruh dunia Arab, sejak zaman permulaan Islam lagi membenarkan golongan Kristian menyebut kalimah Allah, kata bekas mufti Perlis itu.
Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Dr Asri bagaimanapun enggan merujuk langsung kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya menyebut "pihak tertentu".
Dr Asri berkata, jika pandangan itu jika diambil kira, bermaksud sarjana terkemuka Islam Dr Yusof Qardawi dan Dr Wahbah Zuhaili - yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian - juga dianggap murtad.
Menurutnya lagi, pandangan itu juga memberi kesan kepada negeri yang lagu rasminya menggunakan kalimah Allah, serta penggunaan tulisan Allah untuk logo polis dan tentera, termasuk bukan Islam.
"Kena hati-hati pada kesan sesuatu pandangan. Pandangan ini tidak munasabah. Jadi, pihak tersebut mesti tampil menjelaskan macam mana yang dikatakan sesat itu" katanya.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut hari ini memberi amaran, umat Islam yang mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes penggunaan kalimah "Allah" boleh menjadi kafir dan murtad.
Kalau Islam dihalang guna 'Isa' bagaimana?
Sementara itu, pendakwah bebas Wan Ji Husein (bawah) pula tampil dengan beberapa persoalan berkaitan kalimah Allah yang menurutnya patut diperjelas oleh Nooh, antaranya:
(2) Status agama Yahudi dan Kristian yang menggunakan kalimah Allah sejak zaman Nabi Muhammad lagi.
(3) Suruhan Allah dalam al-Quran yang menyuruh orang Kristian bersumpah dengan nama Allah jika mereka menafikan sesuatu tuduhan jenayah.
(4) Yahudi dan Kristian sejak zaman penurunan wahyu sendiri mempunyai kefahaman yang berbeza dengan Islam apabila menyatakan Uzair dan Isa anak Allah, seperti dirakam dalam al-Quran.
"Makanya, apa logiknya kata Yahudi dan Nasrani dulu tak sama dengan Yahudi dan Nasrani zaman sekarang? Nooh Gadut ada jawapan tak?" tulis bekas anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu.
Wan Ji juga menimbulkan persoalan berhubung sikap umat Islam jika mahkamah di negara yang diperintah orang Kristian, seperti England, melarang umat Islam menyebut nama Nabi Isa dalam al-Quran dengan alasan
"Noh Gadut setuju atau tidak dengan mahkamah England itu?" soalnya lagi?
sumber... Jimadie Shah Othman mkini
Thursday, July 28, 2011
Isu Wahabi: Dr Uthman sedia temui Mufti Perlis tapi tertutup, disertai pakar
Benarkah Asri dan Juanda ejen wahabi di Malaysia?KUALA LUMPUR, 28 Julai — Pendakwa bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady sedia menerima pelawaan berdialog Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mengenai isu Wahabi dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.
“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup... jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider hari ini.
Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.
“Objektif pertemuan ialah ia mesti membawa kepada bahan perbincangan yang membawa hasil, benar-benar berdisiplin atas semangat persaudaraan,” kata beliau sambil menjelaskan, pertemuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin lalu bersifat tertutup dan maklumatnya tidak wajar diumumkan kepada publik.
“Saya sudah berumur, sudah (lebih) 60 tahun... saya tidak mahu bertengkar dengan sesiapa. Perbincangan seharusnya diadakan dengan penyertaan pakar dan secara tertutup, saya harap begitu,” kata beliau yang berusia 68 tahun ini.
Uthman diminta mengulas laporan The Malaysian Insider pagi tadi memetik Juanda yang mempelawa Tokoh Maal Hijrah itu agar berdialog mengenai polemik Wahabi dengan mempelawanya bertandang ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”
Juanda berkata Jabatan Mufti Perlis akan menghantar surat hari ini mempelawa Uthman, yang dijemput memberi taklimat pada satu mesyuarat MKN Isnin lalu, agar memberikan penjelasan mengenai isu tersebut khususnya kepada warga Perlis.
“Sebenarnya kami hendak menjemput beliau datang secepat mungkin, tetapi oleh kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi lebih elok dialog diadakan ketika bulan puasa.
“Lagipun bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, kita boleh membincangkan isu ini dalam suasana jernih dan terbuka mengenai apa yang beliau (Uthman) mendakwa sebagai wujudnya kesesatan Saudi (dalam isu Wahabi),” kata beliau.
Juanda menegaskan, apa yang didakwa diperkatakan oleh Uthman kononnya wujud “kesesatan” berkenaan isu fahaman Wahabi adalah tidak betul.
“Apabila kenyataan beliau mengaitkan dengan Arab Saudi, ia menimbulkan kekeliruan, sebab ramai rakyat negara ini pergi ke Saudi dan bersolat di masjid-masjid di negara itu,” katanya.
“Malah kita juga menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke negara, jadi apabila isu ini dibangkitkan, ia menjadi satu isu... jadi saya berharap beliau dapat datang ke Perlis dan menjelaskan kepada kami tentang isu sebenarnya,” kata Juanda lagi.
Uthman telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai isu Wahabi pada sesi anjuran MKN di Putrajaya, Isnin lalu.
sumber...TMinsider
Tuesday, July 26, 2011
Shahidan Kassim , Asri ,Juanda dan Hj Hadi betul wahabiisme ke...

Isu Wahabi: Dialog dengan kami, Shahidan ajak menteri dan PDRM
KUALA LUMPUR, 26 Julai — Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan buat selama-lamanya dan tidak terus dibangkitkan termasuk dilaporkan menjadi fokus Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
Sehubungan itu beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mahu satu dialog diadakan bersama pihak-pihak yang dilabel sebagai pengamal dan pengikut fahaman Wahabi.
Shahidan sendiri pernah dikaitkan sebagai pengamal fahaman Wahabi.
Beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai ‘dikehendaki’ dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu.
Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti.
“Perkara ini sudah lama dibangkitkan, bukan baru. Jadi, saya akan minta (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengadakan satu dialog, dialog antara mufti-mufti dengan mereka yang didakwa mengamalkan fahaman Wahabi.
“Saya juga minta polis mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak ini (didakwa mengamalkan Wahabi), kami pun hendak tahu di bahagian mana dalam badan kami ada amalan Wahabi, kami mengamalkan fahaman Wahabi... bincang dengan kami, dan selesaikan isu ini buat selama-lamanya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pagi ini.
Malah perkara itu turut ditekankan oleh dalam laman sosial Facebooknya.
Shahidan antara lain berkata “kerajaan persekutuan dan negeri kena perjelaskan apakah dia fahaman Ahbash kerana dalam buku haram edaran puak-puak Syiah gambar Zamihan, seorang pengamal Ahbash dipamerkan sebagai hero... mungkin kerajaan pun tidak faham tentang bahaya Ahbash.. menteri agama (Jamil Khir) camna?” kata beliau dilihat merujuk kepada Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia.
Pegawai itu pernah didakwa menyenaraikan Shahidan, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada taklimat dengan Polis Diraja Malaysia dan para naib canselor pusat pengajian tingggi tempatan tahun lalu.
Justeru tegas Shahidan, beliau akan menghubungi Jamil Khir hari ini meminta agar diadakan satu dialog dan tidak mahu isu ini berpanjangan.
“Bagaimana mereka boleh menghina tokoh-tokoh agama ini, mufti ini kononnya mengamalkan Wahabi dan dikaitkan sebagai menjurus kepada keganasan... mengapa tidak panggil mereka dan diadakan dialog,” kata Shahidan sambil mengulangi bahawa pihaknya tidak mengamalkan fahaman Wahabi.
“Saya pun tidak tahu apa itu amalan Wahabi, beritahu kami apa itu amalan Wahabi, beri kami penjelasan... kalau dapat memberikan penjelasan, kami gembira,” kata Shahidan yang memainkan peranan penting dalam membawa 40 ulama muda menyertai Umno tahun lalu.
Kesemua 40 ulama muda itu turut didakwa disenaraikan sebagai pengamal fahaman Wahabi bersama Asri dan Juanda kali ini.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider pagi tadi, Asri berharap ulama-ulama muda itu, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.
Sehubungan itu, Asri berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi.
“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.
“Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno,” kata Asri kepada The Malaysian Insiderhari ini.
Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”
“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”
Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”
sumber...TMinsider




