Followers

Saturday, October 18, 2014

Tengok: Jawapan Khalid Samad Kepada Asri Zainul Abidin dan Madey

  

Guna istilah ‘tahaluf siyasi’ kerana kitab rujukan bahasa Arab, kata pemimpin PAS

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berkata tiada isu dengan penggunaan istilah 'tahaluf siyasi', kerana pokoknya mereka mahu politik PAS dipandu Islam

Pemimpin PAS tidak melihat penggunaan istilah 'tahaluf siyasi' sebagai isu yang perlu dipersoalkan, memandangkan kebanyakan kitab yang dijadikan panduan dan rujukan Islam adalah dalam bahasa Arab.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berkata penggunaan istilah itu diputuskan ulama parti Islam itu yang diambil daripada kitab bahasa Arab.

"Tidak ada isu apabila kita rujuk Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama, mereka gunakan istilah bahasa Arab kerana dalam kitab-kitab digunakan bahasa Arab," kata Khalid merujuk kepada keputusan badan tertinggi dalam PAS untuk menggunakan istilah tersebut walaupun sesetengah pihak mempertikaikannya.

Antaranya bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertikaikan istilah itu digunakan seolah-olah menggambarkan hukum dalam Islam.

Khalid berkata perkara pokok adalah sama ada istilah yang mereka pilih untuk gunakan mengikut syarat atau tidak mengikut landasan agama Islam.

"Bagi kita, politik dipandu hukum Islam, semua dibuat PAS berpandukan Islam, tetapi kita tidak kata kita sahaja yang Islam.

"Di situ kita periksa daripada segi hukum sama ada ia dibenarkan dan jika dibenarkan, apakah syarat-syaratnya," kata Khalid.

Khalid menegaskan setiap perkara mengikut syarak Islam perlu digunakan istilah yang menzahirkan ia berpandukan Islam.

"Kalau hendak kata istilah ini semua tidak ada, memang betul, tetapi istilah bank pun tidak ada.

"Bila kita bina sesuatu mengikut syarak Islam, maka digunakan istilah yang menzahirkan ia berpandukan Islam," katanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata bukan mudah untuk menterjemah suatu istilah dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, ia sama seperti istilah bahasa Inggeris yang digunakan dan 'diMelayukan'.

"Konsep atau bahasa itu akan boleh difahami masyarakat, seperti juga bahasa Inggeris yang diMelayukan seperti perkataan serius, komitmen.

"Kadang-kadang kita tidak ada istilah yang tepat boleh kita terjemahkan untuk beri kefahaman. Bukan semua boleh faham, sama dengan istilah demokrasi dan istilah dalam perundangan," kata Salahuddin.

Salahuddin juga menafikan penggunaan istilah "tahaluf siyasi" semata-mata untuk tujuan politik atau kepentingan tertentu.

"Tahaluf siyasi adalah persepakatan dan persefahaman umum antara kumpulan yang tidak sama ideologi dan doktrin, ia bukan sekadar berlaku di Malaysia, malah seluruh dunia di mana satu keperluan untuk wujudkan satu kerjasama berdasarkan prinsip umum.

"Itu konsep yang kita terima pakai. Bukan kita mahu peralatkan atau gunakan agama untuk tujuan politik dan seumpamanya," kata beliau.

Sementara itu, bekas bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata "tahaluf siyasi" adalah cerminan pemerintahan semasa zaman Nabi Muhammad di Mekah.

Nizar menjelaskan mengenai perjanjian yang dikenali sebagai "Hilf al-Fudul" yang menjadi sumber rujukan kepada "tahaluf siyasi".

"Perlu baca bagaimana Nabi (Muhammad) buat ikatan di Mekah ketika itu.

"PAS kalau hendak buat sebarang tindakan mesti ada nas dan diluluskan di muktamar, suatu  perkara tidak akan dibuat tanpa hujah," kata Nizar.

Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik langkah PAS menggunakan istilah "tahaluf siyasi" dalam menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan PKR bagi membentuk Pakatan Rakyat (PR) sebagai sekadar istilah Arab, dan bukan mewakili Islam.

Katanya, masyarakat seakan-akan melihat penggunaan perkataan Arab sebagai benar-benar mewakili Islam.

"Orang Melayu bila dengar bunyi Arab, dia ingat Islam. Kita tidak boleh anggap istilah Arab mesti mewakili agama.

"Tujuan Islam bukan nama itu. Allah tidak minta kita 'Arab'kan diri, Dia minta kita Islamkan diri.

"Islam mana satu yang kita cari?" katanya.

Sementara itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga lantang membidas langkah PAS menggunakan istilah tersebut dengan menyifatkan parti Islam itu cuba menghalalkan yang haram.

Dr Mahathir berkata, PAS pintar menggunakan Islam dan bahasa Arab untuk kepentingan mereka, serta menuduh apa yang dilakukan Umno sebagai haram.

"Apa yang PAS buat kita rujuk kepada syarak, sama ada ia dibenarkan, jika dibenarkan apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi supaya tidak melanggar, itu beza kita dengan Umno.
"Mereka tidak rujuk Islam kerana mereka rasa ia tidak relevan dengan hukum politik," kata Khalid.

sumber...TMI