Followers

Thursday, October 30, 2014

Kenapa PasMa Berkembang Pesat di Terengganu ??



PasMa semakin berkembang dalam PAS walau diharamkan Majlis Syura

Ketika rasa tidak puashati terhadap konservatif dalam PAS semakin merebak, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) kini berkembang pesat dengan penubuhan cawangan di semua negeri walaupun Majlis Syura Ulama parti itu melarang ahlinya terlibat dengan kumpulan itu.

The Malaysian Insider diberitahu, PasMa kini telah melantik pemimpin di setiap negeri dan sedang merancang membuka pejabat tetap dan melantik kakitangan sepenuh masa mengendalikan perkembangannya.

Di Terengganu, negeri presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di mana kumpulan ini berdepan dengan tekanan paling hebat, hampir kesemua daerah di negeri itu telah mempunyai pemimpin PasMa, begitu juga Kedah di mana terdapat pemimpin PasMa di semua daerah.

"Kita bukan pertikai Majlis Syura. Apa yang berlaku ada kenyataan bercanggah antara kenyataan Setiausaha Agung PAS dengan Syura.

"Setiausaha Agung kata tak salah sertai PasMa kerana hanya sebuah NGO, MSU pula nasihatkan jangan," kata Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi, merujuk kepada kenyataan Datuk Mustapha Ali yang berkata PasMa hanya sebuah NGO.

Phahrolrazi berkata, terserah kepada pemimpin PAS menguruskan percanggahan arahan ini, sambil menambah pihak yang berhak mentafsirkan perlembagaan parti adalah Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS.
Sementara itu, AJK PAS Pusat, Khalid Samad akan menyertai program PasMa di Ipoh 8 November ini manakala rakannya, Dr Dzulkefly Ahmad akan menyertai program di Temerloh 15 November ini bersama Tengku Puji Tengku Abdul Hamid, bekas pemimpin PAS yang kini dilantik mengetuai PasMa Pahang.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, setiap ahli berhak menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan, dan PAS tidak boleh menghalang sekiranya ada ahli mahu sertai program PasMa.

"Namun, Majlis Syura sudah mengeluarkan arahan atau mungkin disebut sebagai nasihat melarang untuk ahli sertainya. Maka keadaan ini mungkin mencetuskan keraguan dan keresahan ahli-ahli PAS.

"Oleh itu elok diadakan diskusi antara kedua-dua pihak bagi mencari jalan penyelesaian," kata Salahudin sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Pada 12 Oktober lalu, Majlis Syura, menasihatkan semua ahli PAS jangan terlibat dengan kumpulan ini.

Setiausahanya, Nik Zawawi Salleh berkata larangan ini selari dengan peringatan Hadi dalam ucapan penutup di Muktamar PAS ke 60 di Batu Pahat, Johor, bulan lalu.

Dalam ucapan yang sangat berbeza dengan ucapan pemimpin utama PAS sebelumnya, Hadi memberikan amaran keras terhadap perpecahan yang semakin teruk dalam PAS yang disifatkannya sebagai "jemaah dalam jemaah" di dalam parti itu.

Beliau kemudiannya mempertahankan keputusan Majlis Syura melarang penglibatan ahli PAS dalam PasMa, dan berkata ia berasaskan aduan di peringkat negeri mendakwa salah laku ahli PasMa.

Tetapi Setiausaha Agung PasMa, Mohd Taib Ahmad menafikan dakwaan PasMa adalah parasit kepada PAS dan tuduhan bahawa mereka mendaftar sebuah parti baharu.

"Itu merupakan sesuatu yang dikehendaki musuh supaya dapat pecahbelah PAS, supaya Barisan Nasional kekal. Ia strategi yang ditunggu-tunggu oleh BN supaya PAS pecah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Phahrolrazi pula menegaskan, PasMa akan terus kekal sebagai NGO dan menjadi pemerhati dan pengkritik kepada Pakatan Rakyat atau Pakatan Watch.

"Kita akan kekalkan PasMa. Jika jadi parti, akan berlaku kekosongan peranan itu," katanya merujuk kepada peranan yang mahu dimainkan PasMa iaitu memantau Pakatan Rakyat khasnya PAS agar sentiasa berada di landasan betul.

Pertemuan pertama PasMa dibuat pada Hari Merdeka lalu di kemuncak krisis menteri besar Selangor bagi memastikan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Lebih 100 ahli PAS bertemu di Kota Bharu hari itu dan menubuhkan PasMa di kala spekulasi bertiup kencang PAS akan bersama Umno membentuk kerajaan di Selangor bagi menyelesaikan krisis itu.

Tetapi menurut pengkritik PasMa yang kebanyakan terdiri dari kumpulan pro-ulama, PasMa dipimpin dan disertai oleh ahli PAS yang kecewa dan tidak mendapat tempat dalam parti itu.

Taib menolak dakwaan itu.

"Orang yang kecewa akan duduk diam, tetapi pejuang akan terus berjuang," katanya.

Bagi beliau, ada usaha musuh PAS menarik parti itu keluar Pakatan Rakyat.

"Ada usaha musuh-musuh untuk bawa PAS keluar dari PR, PasMa akan dedahkan usaha jahat musuh ini. Kita ada bukti-bukti kukuh," tambahnya.

sumber...TMI