Followers

Showing posts with label pensyarah. Show all posts
Showing posts with label pensyarah. Show all posts

Thursday, November 3, 2011

Seekor Lagi Pensyarah Rogol Student




Pensyarah bernafsu iblis

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan kolej swasta diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul di sini, sebelum dirogol pensyarahnya sendiri, pagi kelmarin.

Sebelum kejadian, pensyarah berusia lingkungan 40-an berkenaan memperdaya mangsa berjumpa di pejabatnya di sebuah kolej swasta di ibu kota dengan alasan berbincang mengenai pelajaran, jam 9 pagi.


Sebaik mangsa tiba di biliknya, lelaki terbabit mengugut akan menggagalkan pelajar itu dalam peperiksaan pada setiap semester jika enggan keluar bersarapan dengannya.

Sumber polis berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan berkenaan terpaksa akur, namun sebaik masuk ke dalam kereta, pensyarah itu membawa pelajar itu ke rumahnya di Sentul. “Ketika dalam perjalanan, telefon bimbit mangsa dirampas dan sejurus tiba di kawasan letak kereta di kediamannya, pensyarah itu mengheret mangsa hingga ke rumahnya.


“Sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa dipukul dan dua tangannya diikat. Baju mangsa dikoyak sebelum dia dirogol pensyarah itu,” katanya.


Menurutnya, sebelum meninggalkan pelajar itu bersendirian, pensyarah berkenaan membasahkan pakaian mangsa dipercayai bagi mengelakkannya melarikan diri.

“Biarpun pakaiannya basah, mangsa tetap memakai semula pakaiannya sebelum cuba meloloskan diri namun gagal disebabkan pintu berkunci.


“Lelaki itu mengugut membunuh mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit menghantar mangsa ke stesen transit aliran ringan (LRT) di Jalan Tun Razak, di sini, sebelum sekali lagi mengugut membunuh mangsa sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.


Katanya, mangsa menghubungi kakaknya sebelum menceritakan kejadian berkenaan.


Mangsa yang ditemani kakaknya membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.


Katanya, sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat namun usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.


Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu membabitkan pensyarah melakukan jenayah seksual terhadap penuntut wanita masing-masing.


Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an yang mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan.


Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan.

Hmetro

Saturday, October 29, 2011

Pensyarah Stim Cabul Student

Pensyarah ghairah minta tubuh

KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.

Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.


Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.


Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.


“Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.


Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.

“Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.


“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.


“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.


Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.


“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.


Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.


Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

sumber...Hmetro