Followers

Wednesday, January 10, 2018

BOCOR: Pengorbanan Parti AMANAH

 

Amanah korbankan Titiwangsa demi selamatkan Pakatan

 Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata mengambil kira kepentingan semua perkara dan kesediaan PKR serahkan Lumut, Amanah setuju lepaskan Titiwangsa.

 KESEDIAAN Amanah untuk menyerahkan kerusi Titiwangsa di Kuala Lumpur kepada Bersatu menyelesaikan pembahagian kerusi dan membolehkan Pakatan Harapan (PH) menganjurkan konvensyennya Ahad lepas.


Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang terlibat dalam perbincangan itu berkata perundingan menemui jalan buntu apabila semua parti bertegas mempertahankan kerusi masing-masing.

Pada petang Sabtu 6 Januari, isu pengagihan kerusi masih tidak selesai sedangkan konvensyen akan diadakan pada keesokannya.

Khalid berkata semua persediaan siap dilakukan namun tanpa persetujuan berhubung agihan kerusi dan ia akan menyebabkan pengumuman berhubung selesainya agihan kerusi tidak boleh dibuat.

Beberapa pengumuman juga akan turut tertangguh yang akan menjadikan konvensyen itu sendiri tidak bermakna, katanya.

"Selepas mengambil kira kepentingan semua perkara dan kesediaan PKR menyerahkan kerusi Lumut kepada Amanah, kita setuju lepaskan Titiwangsa," kata Khalid.

 Dengan itu segala dokumen yang disediakan dapat ditandatangani dan konvensyen diteruskan dengan dibuatnya segala pengumuman yang telah dirancang, katanya.

Kesediaan Amanah berkorban itu mendapat pujian khas dari Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad ketika memberikan ucapan dalam konvensyen itu.

"Yang menjayakan agihan parti ini (PH) adalah Amanah," kata Dr Mahathir dalam ucapannya di konvensyen itu.

Kerusi Temerloh

Penganalisis berkata kejayaan Amanah mendapat kerusi Temerloh yang menjadi rebutan semua parti dalam PH adalah bukti keberkesanan “team negotiator” Amanah walaupun akhirnya mendapat kerusi paling sedikit iaitu 27 saja.

Walaupun paling sedikit tetapi terbukti kerusi yang diperoleh mempunyai potensi untuk dimenangi dalam pilihan raya nanti, kata Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.

"Kerusi Temerloh yang akhirnya diperlaki Amanah, walaupun Saifuddin Abdullah dari PKR calon yang kuat untuk kerusi itu menunjukkan keberkesanan ‘team negotiator’ Amanah dan kesediaan rakan mereka dalam PH untuk menerima dan memberi," kata Mazlan.

Kerusi Temerloh menjadi rebutan semua parti dalam PH khasnya PKR dan Bersatu. Ia dimenangi oleh calon PAS, Nasrudin Hassan dalam PRU lalu.

"Kerana antara asas perundingan kita kerusi PAS untuk Amanah, maka kerusi Temerloh diperoleh oleh Amanah walaupun dituntut oleh PKR dan Bersatu," kata Khalid.

Khalid berkata asas rundingan pembahagian kerusi pada awalnya adalah Amanah mengambil kerusi yang dimenangi PAS manakala Bersatu bertanding di kerusi Umno.

Penyandang pula termasuk PKR dan DAP akan kekal di kerusi masing-masing.

Asas kepada rundingan inilah antara punca Amanah terpaksa melepaskan kerusi Titiwangsa kepada Bersatu kerana ia dimenangi Umno dalam pilihan raya lalu.

Amanah sebelum ini pernah mencadangkan formula di mana masing-masing mendapat 25% campur atau tolak 5% daripada jumlah 165 kerusi keseluruhannya.

"Dengan formula ini maka jumlah minima kerusi 33 dan maksima 50.  Maka PKR dan Bersatu kira-kira 50 kerusi manakala DAP kekal dan Amanah 33," kata Khalid.
Namun formula ini ditolak atas sebab tertentu.

Susulan pembahagian kerusi itu di mana Amanah dapat paling sedikit, perwakilan Amanah Johor memboikot konvensyen itu selepas hanya mendapat dua kerusi dari 56 kerusi Parlimen di Johor.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Dr Mohamad Hatta Ramli didakwa meletakkan jawatan termasuk sebagai pengarah pilihan raya Amanah. Namun sehingga kini ia masih belum disahkan.

Kerusi untuk Amanah

Mazlan berkata beliau menilai sejak dari awal 2017 lagi bahawa kerusi yang sesuai ditandingi oleh parti Amanah hanyalah di antara 25 hingga 35 kerusi.

Bagaimanapun katanya, secara strategiknya Amanah lebih sesuai bertanding tidak lebih dari 30 kerusi di Semenanjung Malaysia.

"Namun dalam konvensyen semalam, Amanah akhirnya memperoleh 27, dan angka itu bagi saya sesuai dan ideal bagi sebuah parti muda yang sifatnya berbeza dengan ciri parti serpihan Umno, iaitu Bersatu," katanya.

Namun katanya, Amanah wajar diberi sekurang-kurangnya satu kerusi di Wilayah Persekutuan dan penambahan satu atau dua kerusi lagi di Johor memandangkan pengaruh Amanah agak besar di kedua-dua negeri itu. – 9 Januari, 2018.

oleh Zulkifli Sulong

Tuesday, January 9, 2018

PAS Perlu Tanya Berapa Kerusi Umno Nak Beri


Parti Amanah Negara (AMANAH) menasihati PAS supaya tidak sibuk mengulas pembahagian kerusi sesama anggota Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebaliknya kata Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa, lebih baik untuk PAS memikirkan berapakah jumlah kerusi yang akan mereka perolehi daripada Umno atau BN.

Secara sinis, Husam yang juga pengerusi HARAPAN Kelantan menjelaskan PAS kini bolehlah berunding dengan Umno untuk menentukan berapakah jumlah kerusi yang bakal mereka kuasai pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kami dah selesai, ini rumahtangga kami. Ada pun rumahtangga PAS, itu serah pada PAS-lah, kalau mereka boleh (dapat) kerusi lebih daripada BN, saya ucap tahniah," katanya.

Husam berkata demikian ketika diminta mengulas anggapan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan pengagihan kerusi HARAPAN akhirnya hanya akan menguntungkan DAP pada PRU ke-14 nanti.

Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, tanggapan itu hanya dari perspektif Mohd Amar.

"Pada kami, dengan perpaduan dalam HARAPAN, masalah-masalah dihadapi dan kemarahan rakyat terhadap BN, semua kerusi adalah berpontensi menang.

"Ini merangkumi 27 kerusi diperuntukkan kepada AMANAH termasuk Pengkalan Chepa," katanya.

Kita dah bercerai

Untuk rekod Pengkalan Chepa adalah salah satu kubu kuat PAS. Mohd Amar sendiri menjadi yang dipertua PAS kawasan berkenaan.

AMANAH ditubuhkan pemimpin PAS yang diketepikan perwakilan parti itu dalam muktamar mereka pada 2015.

Perubahan itu juga menyaksikan pengkritik mendakwa PAS semakin mesra dengan Umno walaupun parti terbabit menegaskan mereka kekal sebagai pembangkang.

Husam berkata, AMANAH Kelantan yakin kerusi yang diserahkan kepada mereka untuk ditandingi memang berpotensi untuk dimenangi.

"Kalau tak berpontensi menang, saya pun tak mahu," katanya.

Terdahulu Husam hadir melawat Gereja Methodist di Jalan Hamzah, Kota Bharu, yang diserang individu tidak bertanggungjawab lewat malam kelmarin.

Sementara itu, Husam menegaskan jika PAS memang akhirnya menyediakan padang pertandingan tiga penjuru pada PRU ke-14 nanti, ia boleh dianggap sebagai aksi bunuh diri.

"Kalau PAS berani dengan bertanding sendirian (menyebabkan berlaku) tiga penjuru, ia hanya menempa kekalahan... sebagai suicide bomber," katanya.

Namun bekas exco kanan Kelantan di bawah pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu segera menjelaskan, beliau tidak bercadang mengulas lanjut mengenainya.

"Itu urusan PAS, tak elok bagi sebuah parti lain (AMANAH) - hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong - nak mengulas masalah parti lain. Kita dah bercerai," jelasnya.

sumber...mKini

Saturday, January 6, 2018

Presiden PAS Bakal Hilang Kerusi Sendiri,Kenapa ?



Ikuti penjelasan Dr Mazlan Ali

PERANCANGAN yang dibuat oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh menyebabkan beliau kehilangan kerusi Parlimen dan negerinya di Terengganu, dedah satu kajian.

Kajian itu mendapati, tindakan Hadi untuk membawa PAS bertanding tiga penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bakal membawa bencana kepada partinya.

Penganalisis dari Pusat Kajian Universiti Teknologi Malaysia (VCE UTM) Dr Mazlan Ali dalam satu taklimatnya di Kuala Terengganu berkata bukan sekadar Parlimen Marang, Hadi juga boleh kehilangan kerusi DUN Rhu Rendang yang dimenanginya pada PRU13 jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 nanti.

Mazlan berkata PAS juga bakal kalah di tiga lagi kerusi Parlimen dalam pertandingan tiga penjuru.

Kajian itu menjangka, PAS hanya akan menang dua kerusi di Terengganu dalam PRU14 iaitu Paka dan Sura yang terletak dalam Parlimen Dungun jika pertandingan tiga penjuru berlaku.

Jika ini berlaku, tragedi 2004 akan berulang apabila PAS kehilangan Terengganu yang dimenanginya dalam PRU 1999, manakala Hadi sendiri kalah di Marang.

Hadi kalah di tangan calon BN, Abdul Rahman Bakar pada PRU 2004 namun menang kembali dalam PRU 2008 dan 2013 apabila PAS bergabung dengan parti dalam Pakatan Rakyat.

 Sebab utama kekalahan ini perpecahan dalam PAS pada 2015 dan keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan parti utama pembangkang yang kini bergabung dalam PH.

"Semua kerusi PAS di Marang juga akan jatuh ke tangan Umno jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS," kata Mazlan pada majlis Analisis Politik Semasa PRU14 anjuran exco kerajaan negeri Terengganu Mohd Jidin Shafie, 31 Disember lepas.

Turut hadir ialah Adun Bandar daripada PKR, Azan Ismail dan Pengarah Komunikasi Amanah Terengganu Zubir Mohamad.

Mazlan berkata antara faktor yang diambil kira dalam kajian ini ialah berlaku pertambahan luar biasa pengundi baharu di Terengganu, kadar pengurangan pengaruh PAS antara 20-35% dan pengurangan pengaruh Umno antara 3-10% di negeri itu.

Mazlan memberikan empat sebab utama kenapa beliau meletakkan kadar pengurangan pengaruh PAS yang besar itu.

Sebab utama adalah berdasarkan perpecahan yang dialami PAS, sehingga menyebabkan akar umbinya menubuhkan Amanah.

Yang kedua pula pengundi bukan Melayu yang memberi undi kepada PAS dalam PRU 2013 lari ke PH.

"Sebab yang ketiga hala tuju PAS yang kurang jelas menyebabkan pengundi atas pagar tidak melihat PAS sebagai alternatif menggantikan BN, sebaliknya mereka melihat PH sebagai satu-satunya parti yang boleh menyaingi BN," kata Mazlan.

Persepsi umum bahawa PAS kini berbaik-baik atau ingin kerjasama dengan Umno juga menyebabkan sebahagian akar umbinya tidak selesa dan mungkin sama ada membuat undi protes atau mengundi PH, katanya.

Beliau berkata selepas berpecah pada 2015, PAS kehilangan ramai pengundinya dari kelompok yang menyokong pembangkang utama, bukan Melayu dan pengundi yang mengundi kerana ilmu terutama golongan pertengahan Melayu dan pengundi muda.

Hadi kini saling serang menyerang dengan bekas perdana menteri yang juga Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mendakwa Hadi kini memihak kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Kajian Mazlan dan rakan-rakannya juga mendapati, PH berpeluang di tiga kerusi DUN iaitu Wakaf Mempelan, Bandar dan Ladang yang terletak di Parlimen Kuala Terengganu, apabila hanya kalah tipis di kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru.

"Namun simulasi ini dibuat tanpa mengambil kira faktor calon, isu dan perkembangan politik selepas September 2017, iaitu ketika kajian dibuat," kata Mazlan.

 Katanya, walaupun mendapat ancaman dari Bersatu, Umno tidak berapa terkesan kerana parti itu mempunyai struktur politik Melayu luar bandar yang masih kukuh bersamanya.

"Ini disebabkan Umno ada keupayaan mengawal pengundi ‘subjek’ dan pengundi ‘parokial’ yang menjadi pengundi utama luar bandar melalui jentera kerajaan, media dan wang," katanya.
Mazlan berkata andaian ini dipandu oleh empat kajian yang dilakukan oleh VCE (Pusat Kajian UTM) sejak 2015 yang diketuainya di Terengganu.

menggunakan kaedah “kuantitatif” berbentuk “inferensi” dengan mengambil sampel yang dipilih secara rawak daripada populasi setiap kawasan Parlimen di negeri itu.

Di samping itu, kaedah kualitatif juga digunakan dengan cara temu bual dan pemerhatian secara ikut serta.

Pada PRU13, PAS menang empat kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu serta 14 kerusi DUN.

Di Parlimen Marang, selain kerusi Parlimen, Hadi juga menang DUN Rhu Rendang manakala calon PAS lain menang di Bukit Payong dan Alor Limbat tetapi kalah kepada BN di Pengkalan Berangan pada PRU13.

Hadi tiga minggu lalu menegaskan sekali lagi PAS akan bertanding sebanyak mungkin kerusi pada PRU14 kerana parti Islam itu akan bersama Gagasan Sejahtera, dan bukannya bekerjasama dengan BN atau PH.

Katanya, PAS mahu bertanding lebih 130 kerusi Parlimen.

"Bagi Terengganu kita akan bertanding di semua kawasan. Insya-Allah, menang atau kalah itu cerita lain.

“Apa yang penting setelah kita berazam, bertawakal kepada Allah, ahli mesti patuh dan taat, " kata Hadi dalam satu majlis di Marang pada pertengahan bulan lepas. – 5 Januari, 2018.

sumber...the malaysian insight

Tuesday, October 17, 2017

Amboi Sayang Sungguh PAS Pada Najib

Telatah terkini pemimpin Pas terhadap dr M...

Patut ler slogan Pas ganti umno pun...

Pas ganti perangai umno free ke? hehehe
  
Pemimpin PAS mahu Mahathir ditahan bawah Akta Hasutan


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhtar Suhaili mahu Tun Dr Mahathir Mohamad ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada Himpunan Anti-Kleptokrasi, Sabtu lalu di Padang Timur, Petaling Jaya.

Katanya, ucapan bekas perdana menteri itu jelas bukan sahaja menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi adalah melampau dan kurang ajar.

“Saya menyeru pihak berkuasa untuk menahan Tun M (Dr Mahathir) di bawah Akta Hasutan!

“Lebih menjengkelkan hadirin di himpunan tersebut turut bersorak dan seolah-olah bersetuju dengan sikap rasis yang ditunjukkan Tun M,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatkan di Harakahdaily.

Muhtar merujuk ucapan Mahathir yang juga adalah pengerusi Pakatan Harapan yang dipetik sebagai menggesa Najib supaya balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis, termasuk Najib.

Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macamana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Menurut Muhtar yang juga adalah bendahari Pemuda PAS, sikap Mahathir itu tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang negarawan.

“Ini bukan ajaran Islam! Melayu, Cina, India, Mamak, Bugis, Jawa, Banjar, Iban, Kadazan dan semua bangsa sama di sisi Allah melainkan taqwa!

“Lebih daripada itu, ini juga bukan ucapan seorang negarawan yang ingin mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam negara. Bahkan beberapa Sultan di Malaysia juga beketurunan Bugis,” katanya.
 
Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" diadakan bagi memberi penerangan mengenai skandal kewangan 1MDB dan kesannya kepada rakyat Malaysia. 
 
1MDB yang adalah cetusan ilham Najib. Ia kini menjadi siasatan di beberapa negara termasuk Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mendakwa sebanyak AS$4.5 bilion diselewengkan dan sebahagian dana itu telah disalurkan menerusi sistem kewangan negara itu.

DOJ telah memfailkan beberapa saman sivil sejak tahun lalu untuk merampas dakwaan hasil penyelewengan dan juga mendedahkan pada pemfailan mahkamah bahawa siasatan jenayah sedang dijalankan.

Saman pelucuthakan sivil DOJ mengaitkan "Malaysian Official1" (MO1) dalam skandal 1MDB dan memaklumkan bahawa sebahagian dana firma pelaburan negara Malaysia itu telah dialihkan melalui akaun banknya dan digunakan untuk membeli berlian kepada isterinya.

MO1 didakwa merujuk kepada Najib, tetapi perdana menteri itu berulang-kali menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/398466#dlgu7V7eSKz8Ze5H.99

Monday, October 9, 2017

Kerjasama Pas dan Umno Semakin Cerah





Nasharudin Mat Isa berkata:

'Kerjasama Umno-PAS satukan rakyat Malaysia'

Bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berpendapat kerjasama antara PAS dan Umno dilihat semakin cerah dan akan memberi manfaat kepada Malaysia sejajar dengan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.

Menurutnya PAS dan Umno tidak perlu bergabung tetapi mengadakan kerjasama demi kestabilan politik dengan mengetepikan perbezaan masing-masing.

"Saya optimis kerjasama tersebut dapat menyatupadukan orang Melayu dan rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang aman damai. Saya masih berpegang kepada kaedah kerjasama itu untuk berbincang dan merancang masa depan politik dan melihat sesuatu demi kepentingan negara," katanya.

Nasharudin yang merupakan Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta yang ingin tahu tahap wasatiyyah diamalkan PAS-Umno selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Gerakan Kesederhanaan Global: Membina Jambatan dan Menghapuskan Halangan Menerusi Kesederhanaan’ di Wisma Putra di Putrajaya, hari ini.

Katanya perkembangan hari ini menyaksikan PAS yang dipimpin oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awan memiliki nada yang berbeza dalam isu kerjasama PAS-Umno berbanding kepimpinan sebelumnya, yang sudi membuka jalan perbincangan kepada Barisan Nasional (BN).

"PAS tidak perlu sertai Umno dan sebaliknya. Tetapi apa yang penting kedua-dua parti perlu bekerjasama mencari formula terbaik demi kebaikan kedua-dua belah pihak,” katanya.

sumber -Bernama