Followers

Saturday, October 13, 2018

Skandal Felda: Ikutkan Ramai 'masuk ke dalam' - Azmin



Biarpun mahu mendedahkan segala kecurangan pengurusan terdahulu Felda kepada umum, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa akur untuk tidak mengumumkan beberapa perkara melibatkan pelaburan luar negara yang sedang dalam siasatan SPRM.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang tadbir urus Felda oleh seorang penonton yang juga merupakan anak Felda ketika program Bicara Minda di Dewan Karangkraf Shah Alam.

“Kalau ikutkan saya, ramai yang dah kita hantar ke dalam (penjara). Tapi kita sebuah kerajaan yang mematuhi the rules of law, ada prosesnya.

“Dalam penyediaan kertas putih yang akan kita bentangkan di Parlimen, kita telah dinasihati SPRM untuk tidak memasukkan beberapa perkara melibatkan pelaburan di luar negara kerana sedang disiasat.

“Kita hormati. Kita jangan gopoh-gapah dan tergesa-gesa, beri masa kepada pihak berkaitan melakukan siasatan supaya pendakwaan dibuat cukup kuat agar orang yang rasuah dan salah guna kuasa ini dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Sebelum ini, isu kertas putih Felda ini pernah dibangkitkan Azmin di mana beliau memberitahu bahawa pembentangannya akan dilakukan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat 15 Oktober ini.

Kata beliau, masalah tunai yang dihadapi Felda adalah amat kritikal, dan tumpuan lembaga pengarah serta pengurusan Felda yang baharu adalah terhadap pemulihan kedudukan aliran (kewangan) Felda dengan menstrukturkan semula hutang Felda.

Ketika berucap dalam program Bicara Minda Karangkraf berjudul “Ekonomi: kesejahteraan untuk semua," isu kertas laporan itu kembali dibangkitkan beliau.

Malah ketika ditanya oleh moderator Tan Sri Johan Jaaffar tentang kenyataan pengerusi Felda baru Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang mendakwa kedudukan tunai Felda hampir kosong, Azmin menjawab sebenarnya ia ‘lebih teruk daripada itu’.

“Ketika mula-mula diberi tanggungjawab oleh perdana menteri, saya terkejut dengan kecurangan dalam Felda yang akhirnya membebankan 120,000 peneroka Felda seluruh negara.

“Lihat saja saham Felda Global Ventures (FGV) sekarang merudum dari RM4.80 kepada hanya RM1.30. Pemimpin-pemimpin politik dah jual lama saham ini, yang sengsara ialah peneroka Felda,” katanya lagi.

sumber...mKini

Friday, October 12, 2018

RM90 juta: Husam Minta Polis Siasat Pas

 


Husam minta polis siasat dakwaan 'wang RM90 juta' diterima PAS

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Husam Musa meminta pihak polis supaya turut menyiasat dakwaan beliau mengenai penyaluran wang kepada pemimpin PAS seperti yang didedahkan sebelum ini.

 Menurutnya, sudah tiba masanya perkara itu disiasat untuk pendedahan umum.

"Saya berharap polis akan menyiasat dakwaan pemimpin PAS melalui pihak-pihak tertentu sebelum ini, melalui Affin Bank yang saya sebutkan sebelum ini.

"Jumlahnya antara RM90 juta hingga RM200 juta, supaya perkara ini juga disiasat dan jika belum ada laporan polis dibuat bolehlah mana-mana pihak buat laporan polis.

"Bila saya bangkitkan perkara ini, PAS mengugut untuk menyaman saya tetapi sekarang ini sudah tiba masanya perkara seperti ini perlu didedahkan kepada rakyat," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup program Senario Jenayah Komersial peringkat Jabatan Pendidikan Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang menyatakan komitmen untuk meneliti laporan berhubung dakwaan menyaluran wang RM2.5 juta daripada Umno kepada PAS.

Terdahulu, Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan Kelantan mendakwa beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

PAS bagaimanapun menafikan perkara itu dengan menyifatkan ia satu tuduhan jahat.

Sementara itu Husam berkata, parti politik mempunyai peranan besar dalam sesebuah negara dan sekiranya ada unsur-unsur penerimaan wang sehingga menjejaskan prinsip parti-parti tertentu dalam menentang penyelewengan perbuatan ini perlu dibanteras.

"Ini kerana parti politik sangat besar peranannya, kalau mereka termakan suapan sehingga menjejaskan prinsip perjuangan dalam menjaga keharmonian dan perjalanan negara yang baik, maknanya negara kita terbuka kepada ancaman penyelewengan yang lebih serius di masa akan datang," katanya.

Pernyataan Pas yang mahu menyaman Husam...9 februari 2017

PAS sedang bersedia menyaman salah seorang bekas naib presiden parti itu ekoran kenyataan dibuat berkaitan dana RM90 juta.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti terbabit menganggap kenyataan Datuk Husam Musa mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini.

Katanya, PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat Datuk Husam Musa" bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

"PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Husam) sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beberapa hari lalu Husam - dalam ceramahnya - mendakwa mengetahui maklumat mengenai dana RM90 juta yang didakwa disalurkan kepada PAS.

Husam yang pernah menjadi naib presiden PAS antara 2011 hingga 2015 sebelum diketepikan oleh perwakilan dalam muktamar PAS.

Pada Mei tahun lalu Husam dipecat daripada PAS atas dakwaan salah laku.
Husam kemudian menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dalam ceramahnya, Husam mendakwa ada dana bernilai RM90 juta disalurkan melalui akaun di Affin Bank. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Rakaman singkat video ucapan Husam itu tersebar di media sosial dan dimuat naik di YouTube.

sumber...Mkini

Thursday, October 11, 2018

Polis Teliti Dakwaan Umno Pindah RM2.5juta pada PAS


Polis sedia teliti dakwaan Umno pindah RM2.5 juta pada PAS

Polis perlu meneliti terlebih dahulu sekiranya terdapat laporan polis mengenai dakwaan Umno telah memindahkan sejumlah RM2.5 juta kepada PAS dengan sumber wang itu kemungkinan daripada dana 1MDB yang diseleweng, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim​​​​​.
​​
"Kalau ada kita akan melihat laporan itu sama ada mempunyai unsur rasuah, jenayah biasa atau jenayah komersial," katanya pada sidang media Forum Perdana ‘Undang-undang Pencegahan: Keselamatan Vs Hak Asasi’ anjuran Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) di Kuala Lumpur, hari ini.

Noor Rashid berkata pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya penelitian laporan itu mendapati terdapat unsur rasuah.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang laporan media hari ini bahawa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu sudah membuat laporan polis pada Ahad mendesak siasatan segera selepas tersebarnya salinan transaksi pemindahan wang itu.

Pihak media memetik pengarah komunikasi Pemuda Amanah Muammar Qaddafi Nasir sebagai berkata salinan transaksi itu membabitkan pemindahan wang RM1.5 juta daripada pegawai khas bendahari Umno kepada Tabung Pembangunan Jawatankuasa Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) dan RM1 juta kepada tiga penama yang juga anggota parti itu.

Muammar juga dilaporkan berkata siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti sumber dana berkenaan yang dibimbangi adalah wang 1MDB yang diselewengkan.

Sebelum ini, pada April lepas, anggota parti Amanah Datuk Mahfuz Omar, ketika berucap pada program di Guar Lobar, Padang Serai, Kedah, turut mendakwa terdapat tiga pemimpin PAS Terengganu yang menerima wang daripada Umno.

Mahfuz mendakwa wang sebanyak RM1 juta dimasukkan melalui akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac 2018 lepas.

Anggota Parlimen Pokok Sena itu mendakwa sejumlah RM1.5 juta turut dimasukkan ke dalam akaun Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Dalam pada itu, ditanya sama ada polis akan memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk disiasat, Noor Rashid berkata setakat ini tidak ada keperluan.

"Tiada siasatan dijalankan ke atas Ahmad Zahid setakat ini," katanya.

Ahmad Zahid dilaporkan meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 5.40 petang ini selepas lebih lapan jam memberi keterangan kepada pegawai penyiasat badan anti rasuah itu.
Beliau dipanggil SPRM dipercayai bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan.

Sementara itu, dua individu yang menjadi ahli panel forum hari ini ialah pakar undang-undang Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom manakala bekas Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah Kementerian Dalam Negeri Datuk Razali Basri bertindak sebagai moderator.

- Bernama

Tuesday, October 9, 2018

Pemfitnah Khalid Samad Siap Badan Iaa...


 

Menteri saman aktivis atas dakwaan ‘anjur’ pesta gay

Khalid Samad menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada Wan Asshima Kamaruddin.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad memfailkan saman terhadap seorang aktivis kumpulan hak asasi Islam yang mendakwa beliau “menganjurkan” pesta gay di ibu kota.
Saman itu difailkan walaupun Pengerusi Gerakan Muslimah Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin sudah memadamkan kenyataan itu daripada video di Facebook dan memohon maaf kepada Khalid.

Khalid dalam saman fitnah bertarikh 13 September lalu mendakwa Asshima mengeluarkan kenyataan tanpa memeriksa faktanya.

“Dalam kenyataan Facebooknya pada 18 Ogos, beliau kata saya melanggar hak umat Islam apabila saya meluluskan pesta gay, serta ia secara tidak langsung kata saya mengakui hak LGBT di Malaysia.

“Kenyataannya dibuat dengan niat jahat dan menyebabkan orang ramai, khasnya komuniti Islam benci saya,” kata Khalid.

Sehubungan itu, beliau menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada Asshima.

Asshima dalam video yang dipadamkan itu mendakwa Khalid meluluskan pesta gay pada Ogos lalu, di mana golongan LGBT “akan berhimpun untuk meraikan kemenangan” kerana pesta itu diluluskan kerajaan.

“YB (Khalid) mungkin bangga dengan kumpulan LGBT, tetapi bagi saya dan Gerakan Muslimah Islam Malaysia, kami akan teruskan perjuangan kami menentang mereka.”
Pegawai Tugas Khas Menteri Wilayah, Zulhazmi Shariff kemudiannya membuat laporan polis terhadap Asshima.

Khalid sebelum ini berkata, beliau akan meneruskan saman fitnah itu walaupun Asshima sudah memohon maaf, tetapi disifatkannya tidak ikhlas dan beliau tidak kesal.

sumber...FMT

Ucapan Anwar Terhadap Tun M Semalam



Anwar: Kasih terbekam saya, Dr M semarak semula

Calon Pakatan Harapan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran kehadirannya ke parlimen itu, malam ini.

Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, kehadiran Dr Mahathir itu juga adalah kerana ‘semaraknya kasih yang terbekam sejak dulu’.

“Sebagai perdana menteri, beliau tak pernah datang kempen PRK. Bila dia datang sini, saya rasalah kasih yang terbekam dulu semarak semula.

“Saya tahu dia tegas walaupun nampak selalu senyum dan sikapnya juga keras. Bila dia ambil keputusan, ia selepas mengambil kira pelbagai perkara.

“Untuk semua itu, saya berikan penghormatan saya kepada anda Dr Mahathir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di Waterfront, Port Dickson, malam ini.

Malah, Anwar juga turut mendedahkan beliau menyayangi pemimpin berusia 93 tahun itu dan menganggap Dr Mahathir umpama bapanya.

Menegaskan perkara itu, Anwar berkata beliau merasakan Dr Mahathir merupakan individu paling
tepat untuk memimpin Malaysia pada masa sekarang.

“Dalam keadaan sekarang lebih baik Dr Mahathir pimpin negara ini. Saya sebut ini dengan ikhlas.

“Saya sayangkan beliau seperti bapa dan pemimpin. Sekarang, saya terima beliau adalah individu terbaik untuk memimpin Malaysia,” katanya ketika berucap di dalam ceramah tersebut.

Tambah Anwar, gandingan Dr Mahathir - Anwar merupakan antara yang bersejarah dan gandingan yang "luar biasa mantapnya".

Jelasnya, selepas bersengketa agak lama, Anwar memaklumkan dia terkesan apabila seorang negarawan dapat tinggalkan semuanya demi membantu selamatkan negara dan rakyat.

“Saya bertemu semula Dr Mahathir selepas 18 tahun di penjara. Saya terkesan seorang negarawan dapat tinggalkan semua demi tekad membantu negara dan rakyat.

“Tak ramai pemimpin dan negarawan dunia mempunyai ketokohan seperti Dr Mahathir,” ujarnya.