Followers

Saturday, February 27, 2016

Muhyiddin Terus Tibai PM Najib


Kita sedang saksi kemunculan diktator baru, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sedang mengukuhkan kuasanya dan bekas timbalan perdana menteri itu memberi amaran tentang kemunculan diktator baru.

"Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baru," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan pagi ini.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Majlis Tertinggi Umno menggantungnya dari jawatan pemimpin nombor dua parti itu kerana kritikannya terhadap Najib.

Bekas timbalan perdana menteri itu mensasarkan Najib selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak untuk mendakwa perdana menteri atas dakwaan menerima RM42 juta dari syarikat milik negara SRC International dan RM2.6 bilion daripada satu akaun luar pesisir.

"Hanya kerana dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, peguam negara tidak berani mendakwa Najib

"Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa.

"Akta Majlis Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada perdana menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.," kata Muhyiddin.

Menurutnya lagi, hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas.

"Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup.

"Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan," katanya lagi.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau bersedia untuk bersama dengan rakyat untuk menentang kezaliman.

"Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia.

"Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.

Tuntut perubahan, bukan sekadar desak PM berundur

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata episod hitam yang berlaku di negara telah mematangkan rakyat dan menggesa mereka bersedia bersama menuntut perubahan jika mahu malihat Malaysia kembali sebagai negara yang dihormati dan rakyat hidup lebih sejahtera.

"Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita.

"Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.

"Ia bukan sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.

"Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti," katanya.

Muhyiddin menegaskan demikian dalam satu kenyataan selepas Majlis Tertinggi Umno menggantungnya daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana kritikannya terhadap Najib.

Muhyiddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantungnya dari jawatan timbalan presiden Umno, bukan satu perkara yang mengejutkan.

"Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai timbalan presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan.

"Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.

"Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan timbalan presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu presiden.

"Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu presiden?

"Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan Umno, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

"Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada presiden serta menegur presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan Umno. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

"Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan Umno ke landasan yang betul supaya Umno terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu presiden.

"Adakah membantu presiden itu bermaksud menyokong presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu.

"Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam Umno bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada Umno," kata Muhyiddin.

Hari ini, katanya, tercatat dalam lipatan sejarah Umno, seorang timbalan presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur presiden.

"Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai timbalan presiden," tegasnya.

sumber...mKini

Gantung Muhyiddin: Mukhriz Ramal Umno Akan "Bungkus"


Mukhriz: Umno akan terima padah dalam PRU

Umno diramal bakal menerima padah dalam pilihan raya umum akan datang susulan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menggantung tugas timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Adakah tindakan terkini MT itu mampu menarik semula sokongan rakyat terhadap parti?
Saya percaya yang sebaliknya berlaku.

Umno dan BN bakal menerima padah di PRU14 nanti,” kata bekas menteri besar Kedah itu yang jugu menjadi mangsa pengguguran sebelum ini.

Dalam kenyataannya, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata beliau amat kecewa dengan petang tadi dan menyifatkannya sebagai “keputusan menjelikkan”.

Kononnya juga tindakan Tan Sri itu menjejas nama baik Umno, walhal umum tahu skandal-skandal melibatkan presiden parti sebenarnya punca rakyat mulai menolak Umno, malah imej negara juga tercemar di persada dunia,” katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno, ia bakal menjadi paku terakhir buat keranda parti Melayu berkenaan.

Katanya, langkah itu juga akan menguburkan nilai dan prinsip yang "menjadi tunggak kekuatan Umno selama ini".

Jelas ADUN Ayer Hitam itu lagi penyingkiran Muhyiddin ia akan menghampakan rakyat Johor kerana beliau dilihat berpotensi untuk dinaikkan pangkat sebagai perdana menteri.

Semua itu hilang apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tersebut,” kesalnya.

sumber...mKini





Friday, February 26, 2016

Giliran Pemuda Umno Pagoh Tibai Nazri Aziz Pulak !

Pemuda Umno Pagoh membidas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz, yang mengumpamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai anjing. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Februari, 2016.

Pemuda Umno Pagoh desak Nazri mohon maaf pada Muhyiddin

Ketua Pemuda Umno Pagoh Mohd Zaid Abd Rahman hari ini membidas Datuk Seri Nazri Aziz, menyatakan tahap kesabaran mereka kini sudah sampai ke kemuncak susulan kenyataan ahli Majlis Tertinggi (MT) itu yang mengumpamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai "anjing".

Zaid berkata, kenyataan Nazri itu amat mengguris hati akar umbi Umno Pagoh dan juga rakyat Johor, lebih-lebih lagi menteri pelancongan itu sebelum ini pernah bertelagah dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim.

"Sebelum ini juga beliau dikaitkan dengan kenyataan menghina TMJ.

"Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pagoh mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan beliau itu dan meminta beliau meminta maaf secara terbuka," kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seluruh rakyat Johor terhina dengan ungkapan yang dikeluarkan Nazri terhadap timbalan presiden Umno itu, yang juga ahli Parlimen Pagoh dari Johor.

"Apa yang menjadi kemusykilan, bagaimana seorang pemimpin berjawatan menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang menjijikkan sedemikian rupa.

"Kita percaya bukan kami saja yang marah dan terhina dengan kenyataan menjijikkan itu tapi Bangsa Johor keseluruhannya juga rasa terhina," katanya.

Pada Selasa, Nazri dilaporkan berkata tindakan Muhyiddin sejak kebelakangan ini menghentam pemimpin parti ibarat "anjing yang sibuk menggigit kaki" sehingga menyukarkan parti itu daripada melaksanakan tanggungjawabnya.

“Kita sekarang hendak buat kerja, kebajikan rakyat jauh lebih penting. Jadi, kita kena tumpu sebagai satu pasukan, membantu presiden untuk membantu rakyat.

Tetapi, kalau Muhyiddin bersikap macam anjing, dok gigit kaki kita, kita nak buat kerja pun susah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Meja Bulat Imam Kebangsaan di Putrajaya.

Zaid berkata, perkara pokok permasalahan dan tekanan yang berlaku dalam kerajaan dan parti sekarang ini bukan Muhyiddin, tetapi presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Bagi kami, Muhyiddin pemimpin yang berjiwa besar. Walaupun digugurkan daripada kerajaan dan dilayan dengan amat buruk sebagai timbalan presiden Umno, beliau tidak pernah menghasut supaya kita bangkit menentang presiden.

"Namun apa yang berlaku mutakhir ini dan penghinaan yang melampau terhadap beliau adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima dan dimaafkan. Ini menjadi titik noktah kesabaran kita," katanya.

Zaid berkata, Pemuda Umno Johor juga sebelum ini cuba percaya kemelut yang berlaku boleh diselesaikan dengan cara baik.

Malah, dalam Persidangan Pemuda Umno tahun lalu, katanya, Pemuda Johor mengusulkan agar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut itu.

"Namun kelihatannya tidak berlaku," katanya dalam kenyataan itu, memetik isu besar yang dibangkitkan dan menjadi kerisauan rakyat termasuk kes 1Malaysia Development Berhad, derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

"Dan macam-macam lagi (isu) yang menagih jawapan dan penyelesaian yang tuntas daripada kerajaan. Namun jawapan yang diberikan tidak dapat meyakinkan kita, apatah lagi rakyat seluruhnya," katanya.

Sebaliknya, Zaid berkata, banyak perkara yang memusykilkan dan menimbulkan tanda tanya.

"Berkenaan derma RM2.6 bilion contohnya, mula-mula dinafikan transaksi berlaku.

"Kemudian mengaku ada transaksi yang dikatakan sebagai derma dan dinafikan ‘menteri badut' dengan mengatakan 'bodohlah kalau PM nak masukkan dalam akaun peribadi'.

"Namun apabila disiasat, bukti mengesahkan sejumlah duit masuk ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

"Dan yang menghairankan, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali seolah-olah bertindak sebagai peguam peribadi perdana menteri sedangkan perbuatan menerima duit itu melibatkan perkara peribadi perdana menteri yang jelas dimasukkan ke dalam akaun peribadi," katanya.

Zaid berkata perkara itu dilihat rakyat sebagai salah guna kuasa dan mereka tidak boleh dipersalahkan kerana “reality is a matter of perception” (soal realiti ialah berkenaan tanggapan) yang perlu dipertahankan.

"Sekarang kita tak pasti siapa yang bodoh, yang nyata kita semua diperbodohkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka mendesak Najib bercuti dan mengundurkan diri sementara memberikan laluan kepada siasatan lebih adil dan telus kepada pihak yang diberikan tanggungjawab dan kepercayaan melaksanakan tugas mereka.

"Jika betul tidak melakukan kesalahan, apa yang perlu dibimbangkan," katanya.

Mengulas memberi tumpuan kepada rakyat seperti disebut Nazri, Zaid berkata, isu membabitkan Najib perlu diselesaikan terlebih dulu.

"Berkenaan dengan kebajikan rakyat, kita tidak perlu bimbang, kerana kakitangan kerajaan yang ada sekarang cukup untuk membantu apa jua permasalahan rakyat.

"Cuma yang menjadi masalah ialah barisan menteri Kabinet yang diragukan kewibawaannya," katanya.

sumber...TMi

Thursday, February 25, 2016

Semakin Panas: Tun Mahathir Tibai PM Najib Lagi


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajar menyaman The Wall Street Journal (WSJ) dan tidak memberikan sebarang alasan jika tuduhan yang dilemparkan tidak benar, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail AFP, 24 Februari, 2016.

 Najib tidak saman WSJ kerana takut kebenaran terbongkar, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaman The Wall Street Journal (WSJ) kerana mengetahui dirinya bersalah dan takut kebenaran akan terbongkar.

Dr Mahathir berkata, Najib wajar menyaman WSJ dan tidak memberikan sebarang alasan jika tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar.

"Najib patut saman WSJ, saman semua dan bukan WSJ sahaja.

"Sebab dia tidak saman, mungkin beliau ingat WSJ itu betul dan dia (Najib) salah.

"Kamu tidak akan saman kalau kamu rasa kamu yang bersalah," kata Dr Mahathir pada sidang media selepas dirakam keterangan pihak polis berhubung artikel di blognya di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir juga berkata sudah tidak mampu lagi untuk menasihati Najib kerana tidak ada satu pun langkah yang diambil untuk menanganinya.

"Saya nasihat Najib, tapi tidak buat. Saya hantar surat kata tidak sokong lagi tapi dia tidak baca.

"Bukan saya seorang sahaja yang bimbang tapi ramai yang bimbang dengan kerajaan kerana budaya wang adalah raja (cash is king)," katanya.

Beliau juga menafikan kritikan yang dibuatnya menjadi punca kepada kejatuhan ekonomi negara tapi menyalahkan cara pentadbiran Najib sendiri.

"Tingkah laku kerajaan, polisi dan skandal pentadbiran Najib yang beri kesan kepada ekonomi negara," katanya.

Dr Mahathir pada sidang media hari ini juga sekali lagi mengulangi gesaan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali supaya bersumpah dengan Al-Quran bagi menegakkan kebenaran.

"Beliau (Apandi) perlu angkat sumpah dengan Al Quran.

"Dia tidak boleh bohong kepada Tuhan, kalau tipu dia akan masuk negara," katanya.

Julai lepas, WSJ melaporkan aliran tunai sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib melalui entiti berkaitan 1MDB, memetik dokumen hasil siasatan pasukan petugas khas lantikan Putrajaya.

Akhbar itu juga mengeluarkan rencana mengenai perkara itu.

Najib menafikan mengambil dana 1MDB bagi kegunaan peribadi tetapi masih belum bertanggungjawab ke atas wang tersebut.

Dana itu, sebahagian besar dimasukkan sebelum pilihan raya umum pada Mei 2013, disifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai derma politik.

Najib mengeluarkan arahan menyaman WSJ awal Ogos tahun lepas, selepas SPRM memberitahu wang itu datangnya daripada penderma dan bukannya daripada 1MDB.

Penghujung Julai lepas, WSJ enggan memberikan maklum balas kepada permintaan peguam Najib yang meminta penjelasan sama ada laporan akhbar itu mengenai akaun Najib bermaksud mereka menuduh perdana menteri menyalahgunakan kuasa.

Akhbar itu sebaliknya mempertahankan laporan mereka bertarikh 2 Julai, dan rencana susulan menyentuh isu itu diterbitkan pada 6 Julai, yang mengatakan laporan itu jelas dan berasaskan kertas siasatan pasukan penyiasat Malaysia.

sumber...TMi

Tuesday, February 23, 2016

Baik Punya Sindiran Mahfuz Kepada BoSS PAS ?


Mahfuz: Cadangan k'jaan teknokrat patut mula di Kelantan

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar secara sinis mencadangkan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS supaya merintis jalan membentuk kerajaan teknokrat selepas timbalan presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan gabungan politik baru yang akan membolehkan teknokrat untuk memimpin negara ini.

Mahfuz juga secara halus menyindir kepimpinan PAS yang kini dikuasai oleh kumpulan konservatif agama selepas mereka menyingkirkan golongan profesional daripada parti itu tahun lalu.

Cadangan pembentukan sebuah kerajaan teknokrat di negara ini adalah suatu cadangan yang sangat praktikal dalam menangani kelemahan dan kegagalan pemain politik yang tidak mempunyai latar belakang berkemampuan menguruskan negara dan negeri.

Idea ini menggambarkan kepimpinan kerajaan tidak boleh hanya bersandarkan kepada berlatar belakangkan satu-satu disiplin ilmu semata-mata termasuk Pengajian Islam.
Idea ini mengambarkan kepercayaan dan penghormatan PAS kepada golongan teknokrat profesional.
Mengurus kerajaan sesebuah negara dan negeri kini makin kompleks memerlukan keupayaan merencana pembanggunan ekonomi yang makin mencabar,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata cadangan teknokrat itu sukar diterima oleh kerajaan BN kerana mereka melihat perlantikan dan memperolehi apa-apa jawatan dalam kerajaan seperti mendapat lombong emas.

Oleh itu, katanya, PAS yang menerajui kerajaan negeri Kelantan perlu meneroka pelaksanaannnya dengan meminda perlembagaan negeri supaya menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri dilantik daripada kalangan profesional yang bukan terdiri daripada ADUN.

Cadangan yang baik daripada Presiden PAS tidak boleh dibiar berlalu tanpa apa-apa permulaan sebagai contoh yang praktikal untuk meyakinkan rakyat tentang idea baru untuk politik baru dan matang.

Ini akan menjadikan Kelantan terus menjadi guru politik Malaysia. Jika tiada usaha untuk Kelantan melaksanakannya, ini akan dilihat cadangan tersebut hanya sekadar permainan di bibir sahaja,” katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim mencadangkan penubuhan kerajaan teknokrat sebagai penyelesaian kepada krisis kepimpinan dalam parti pemerintah.

Idea itu pertama kali dilontarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi diangkat semula oleh Tuan Ibrahim melaui surat terbukanya semalam.

sumber...mKini