Followers

Sunday, February 25, 2018

Panglima PAS Cari Tempat Selamat, Sindir Husam



Keyakinan PAS untuk menang di 120 kerusi parlimen dilihat tergugat apabila pimpinan tertinggi parti itu mahu bertanding di kerusi selamat, kata Husam Musa.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan itu berkata, ia susulan hasrat Timbalan Presiden
PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan akan bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

"PAS kata nak menang 120 kerusi. Kalau nak menang 120 kerusi di Kelantan kena menang semua 14 kerusi. Kena menang semua di Terengganu dan Pahang.

"Bila Tun Ibrahim nak bertanding di Kelantan, adakah dia tidak yakin boleh menang di Pahang?
Bermakna di Pahang tak boleh menang," Katanya ketika berceramah di Majlis Pelancaran Jentera HARAPAN Pengkalan Chepa, Kota Bharu, malam tadi.

Terdahulu, terdapat dakwaan dan khabar angin yang mengatakan Tuan Ibrahim bakal bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Malah, beliau menyatakan kesediaan untuk bertanding di Kelantan jika diarahkan parti.

Tuan Ibrahim merupakan calon PAS di dewan undangan negeri (DUN) Jengka sejak pilihan raya umum 2004 dan tewas dalam kesemua penampilan beliau.
Pada pilihan raya umum 2013 lalu, beliau tewas kepada calon BN dengan majoriti 1,303 undi

Sementara itu, Husam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, kehadiran Tuan Ibrahim untuk bertanding di Kelantan disifatkan sebagai 'mencari tempat selamat'.

"Dia terpaksa cari tempat air tohor (selamat). Di Pahang (PAS) tak yakin boleh menang, terpaksa hantar orang bertanding di kelantan.

"Tinggalkan pada anak buah di Pahang, manakala panglima cari tempat tinggi (selamat)," katanya yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

oleh: N Faizal Ghazali mKini

Tuesday, January 16, 2018

Delusi Politik Dalam Pas



ADA orang mengalami delusi. Ada orang yang tong kosong. Ada pula yang bermimpi.
Dan ada Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang duduk dalam dunianya sendiri.

Beliau baru-baru ini membayangkan bahawa partinya, yang sebelum ini tiada apa-apa sebelum bertenggek pada gerakan Reformasi, akan menang 40 kerusi Parlimen dan akan jadi kingmaker selepas PRU14.

Tanpa dukungan pengundi bukan Melayu, calon PAS akan hanya bergantung pada undi penyokong totoknya dalam pilihan raya umum akan datang. Keputusannya boleh dijangka: calon PAS akan tersungkur di kebanyakan kerusi yang ditandinginya.

Parti itu kini ada 14 kerusi Parlimen. Pemerhati politik percaya PAS pimpinan Hadi akan menanggung nasib malang dan terpaksa berpuas hati dengan bilangan wakil rakyat yang tidak sampai 10 orang di Parlimen kerana meninggalkan pakatan pembangkang dan berbaik dengn Najib Razak.

Tetapi Hadi terpaksa berpegang pada naratifnya kerana beliau sudah meyakinkan sebahagian ahli parti bahawa parti Islam itu kini sudah jadi sebuah kuasa utama dalam politik Malaysia.

Beliau perlu meyakinkan mereka bahawa strateginya berbaik dengan Umno dan "bebas" daripada Pakatan Harapan akan membuahkan hasil yang lumayan yang tidak pernah dikecapi sebelum ini.

Kita percaya sasaran 40 kerusi itu sangat tidak masuk akal, tidak seperti senario berikut yang masih boleh jadi, berbanding angan-angan melangit Hadi:

1. Pasukan bola sepak Malaysia layak ke Piala Dunia di Qatar pada 2022 dan menang.

2. Low Taek Jho, sahabat Perdana Menteri dan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, akan dikurniakan darjah kebesaran oleh Ratu England, dan dilantik sebagai penasihat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

3. Anak muda Malaysia berbondong-bondong meninggalkan Facebook, Twitter, Snapchat dan pelbagai platform lain.

4. Jamal Yunos, ketua Baju Merah, akan bersara dan memencilkan diri.

5. Utusan Malaysia mengangkat Ambiga Sreenivasan sebagai tokoh pilihan Malaysia.

6. DAP akan masuk Barisan Nasional dan Lim Guan Eng jadi Menteri Kewangan dalam kabinet Najib Razak.

7. Dr Mahathir Mohamad tidak lagi jadi tokoh yang memecahbelahkan pemikiran rakyat Malaysia.

8. Sebahagian ahli politik Umno akhirnya akan faham bahawa DoJ bukan sebuah agensi Malaysia tetapi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, dan siasatan ke atas 1MDB bukan seperti permainan masak-masak.

9. Isa Samad akan dibersihkan daripada sebarang salah laku dalam Felda dan hidup berbahagia selama-lamanya.

10. Najib Razak akan bersara dari politik.

Senarai itu sangat tidak munasabah sehinggakan kita akan menolaknya begitu saja. Tetapi sasaran 40 kerusi Hadi itu tidak masuk senarai, membayangkan betapa tidak masuk akalnya cara beliau berfikir.
Realiti tentang PAS begini: ia mungkin hilang Kelantan dan sebahagian besar wakil rakyatnya di Parlimen sekarang akan menganggur selepas PRU14.

Ahli-ahli PAS yang setia mengesyaki strategi presiden mereka yang dipanggil kuasa ketiga itu akan melenyapkan mereka tetapi mereka tidak sanggup atau tidak mampu menahan beliau.

Apa yang mereka perlukan ialah untuk kembali berpijak di alam nyata. Mungkin pada PRU14 nanti.

sumber... The Malaysian Insight 15 Januari, 2018.

Sunday, January 14, 2018

40 Kerusi: Khayalan Atau Realiti Pas PRU14


3 hujah realiti yang bertentangan dengan kenyataan presiden Pas, oleh itu blog ini berpendapat Pas hanya berkhayal sahaja untuk menang di 40 kerusi Parlimen:

1.Pas belum pernah menang melebihi 30 kerusi disepanjang sejarah penglibatannya dalam politik pilihanraya Malaysia.Full strenght pun 27 kerusi ketika kerja sama politik bersama PKR dan DAP,itu pun atas usaha presiden Pas terdahulu iaitu almarhum ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz.

2. Bila bersendirian pada PRU yang sebelum ini Pas hanya boleh dapat dua kerusi sahaja.

3.Persepsi sekarang anak muda dan kaum lain melihat undi Pas sama sahaja dengan memberikan undi mereka kepada umno.Ramai melihat Pas mesra umno.

 note: Berdasarkan jualan akhbar Harakah milik Pas yang jualan kini tidak melebihi 20k setiap keluaran berbanding 250k menjelang PRU13 dulu, lu pikirlah sendiri.

Hadi: Pas penentu siapa penentu kerajaan jika dapat 40 kerusi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangkakan tiada satu pun parti yang akan dapat kerusi yang cukup dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 untuk membentuk kerajaan.

Dalam masa sama, menurut Abdul Hadi, sekiranya PAS boleh dapat 40 kerusi, parti itu akan menjadi tempat kebergantungan parti lain yang ingin menubuhkan kerajaan.

“Jika PAS boleh mendapat 40 kerusi parlimen, parti lain yang tidak boleh nak tubuh (kerajaan) akan bergantung kepada 40 kerusi ini.

“Walau pun parti lain ada 100 kerusi, 80 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan kena ada minima 112 kerusi.

“Jika PAS ada 40 kerusi, bermakna kita akan menjadi tempat kebergantungan siapa yang nak tubuh kerajaan. Dengan 40 kerusi ini kita (PAS) ada pengaruh dan boleh minta macam-macam,” katanya seperti dilapor Harakah Daily.

Abdul Hadi berkata demikian pada majlis Pelancaran Dana RM1 Juta ke Wisma Darul Iman di Masjid Rusila, di kawasan parlimennya di Marang, semalam.

Berdasarkan analisis oleh penganalisis Wong Chin Huat September lalu, pada PRU 2013, PAS bertanding 65 kerusi parlimen dan menang 21 daripadanya, enam kerusi itu kini dipegang oleh anggota parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH).

PAS juga kini kehilangan Pokok Sena yang dipegang Datuk Mahfuz Omar yang keluar parti itu awal tahun ini.

Bekas pemimpin PAS itu belum menyatakan akan menyertai mana-mana parti lain.

[Baca berita penuh]

Saturday, January 13, 2018

Langkah Pokok Sena: Tunggu Kata Mahfuz



WAWANCARA | Nampaknya tempoh iddah Datuk Mahfuz Omar masih belum berakhir selepas beliau mengumumkan secara rasmi 'bercerai' daripada parti yang dianggotanya selama berdekad-dekad, PAS.

Dengan pendiriannya selama ini memang bukan rahsia lagi beliau akan bergerak bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam jejak politiknya.

Namun ditanya apakah hala tuju baru dalam 'Langkah Pokok Sena' itu Mahfuz membayangkan ia masih agak jauh. Sebabnya, pada akhir bulan ini pun beliau tidak bercadang membuat pengumuman mengenainya.

"Belum nak umum lagi, baru nak senarai pendek pilihan yang ada," katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Beliau hadir pada masa yang dipersetujui. Sesuai dengan kedudukannya sebagai ahli politik, langkah dan penampilannya juga diperhatikan.

Ketika muncul di pejabat Malaysiakini, beliau mengenakan pakaian kemeja lengan pendek dengan kotak-kotak merah biru.

Menegaskan langkah yang diambilnya bekas naib presiden PAS itu berkata, tahap pertama yang diambilnya selepas membebaskan diri daripada PAS secara rasmi ialah bertenang.

Beliau tidak mahu dilihat tergopoh-gapah membuat keputusan memilih parti baru dalam hayat politiknya.

"Sekarang ada empat parti (dalam HARAPAN) dan mungkin hujung bulan ini akan disenaraipendek sebelum dibuat pilihan," katanya.

Bukan jadi calon atau tidak

Bermula 1 Jan 2018 Mahfuz secara rasmi meninggalkan PAS yang dianggotainya sejak lebih 30 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat ekoran sikap parti terbabit yang mengambil haluan sendiri dan mewujudkan kempen politik matang dan sejahtera.

Melalui dasar itu PAS dilihat meningkatkan permusuhannya dengan HARAPAN dan sebaliknya lebih mesra kepada Umno yang menjadi teras kepada BN.
Bagaimanapun PAS menegaskan mereka kekal sebagai parti pembangkang.
 
 Mengulas mengenai faktor yang menjadi pertimbangan Mahfuz untuk memilih parti baru, beliau berkata ada banyak aspek yang menjadi perhatian.

Namun, yang paling utama, kata Mahfuz, ialah penerimaan masyarakat Pokok Sena kepada parti komponen HARAPAN.

"Bagi saya faktor yang menjadi pertimbangan ialah sejauh mana keberadaan parti tersebut dalam kawasan saya.

"Ini bukan soal saya akan jadi calon atau tidak tetapi isu menggerakkan sokongan rakyat kepada HARAPAN," katanya.

Bukan lamar tapi bincang

Bagaimanapun, ujar Mahfuz, secara umum pengundi di Pokok Sena menerima baik PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP yang membentuk HARAPAN itu.

Disoal apakah faktor kedudukannya sendiri dalam parti yang bakal disertai beliau turut menjadi pertimbangannya, Mahfuz berkata ia bukan matlamat yang difikirkan.
 
Sebaliknya, Mahfuz berkata apa yang menjadi keutamaannya kini adalah peralihan kuasa pemerintahan negara."Keutamaan saya ialah memastikan Pokok Sena menjadi pelengkap kepada proses peralihan kuasa di peringkat pusat, manakala kawasan dewan undangan negeri di bawahnya menyempurnakan peralihan kuasa di Kedah," katanya.
 
Mengenai 'lamaran' daripada parti HARAPAN pula, Mahfuz mendedahkan ia bukan isu pujukan untuk menyertai sesebuah parti dalam gabungan itu.

Sebaliknya kata Mahfuz, apa yang berlaku adalah perbincangan mesra, malah pemimpin parti terbabit - termasuk AMANAH dan BERSATU - memang menjadi rakannya sejak lama dulu.

Untuk BERSATU pula, kata Mahfuz, kewujudan parti itu di Pokok Sena juga sedikit sebanyak dibantunya pada peringkat awal, sehinggalah kini mereka memiliki kekuatan sendiri.

Mengenai peluang HARAPAN di Pokok Sena, Mahfuz berkata, harapan ketika ini cukup cerah terutama dengan adanya BERSATU dan AMANAH.

Pada akhir wawancara itu, Mahfuz kemudian diusik dengan pertanyaan mengenai kemungkinan teka-teki hala tuju politiknya akan membawa beliau kepada DAP.

Bekas ketua pemuda PAS itu tidak menjawab apa-apa, sebaliknya ketawa, dan meminta orang ramai menunggu sehingga waktu yang sesuai untuk beliau membuat pengumuman nanti.

sumber...mKini

Thursday, January 11, 2018

PRU14: Saari Sungip Mungkin Kalah di Hulu Kelang


Adun Hulu Kelang mungkin kalah PRU14 jika persempadanan semula berlaku

ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berdepan dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), walaupun hari mengundi masih belum tiba – jika cadangan perubahan persempadanan di kawasannya berjaya dilaksanakan.

Sejumlah besar pangkalan data penyokongnya yang memberi sumbangan besar terhadap kemenangan majoritinya bagi dua PRU sebelum ini, akan dipindahkan keluar ke kawasan Parlimen bersebelahan.

Pengundi Kuala Ampang dan Ukay Perdana yang membantu membawa Saari ke Dewan Undangan Negeri sedang ditukar ke Bukit Antarabangsa, di bawah cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kedua-dua kawasan itu mempunyai 4,881 pengundi. Pada masa ini terdapat 49,816 pengundi berdaftar – 83% Melayu (41,347) 14% Cina (6,974) dan 3% India (1,494).

Saari berkata perubahan itu tidak adil untuknya kerana ia memberi Barisan Nasional (BN) kelebihan peluang.

Peguam Derek Fernandez yang juga peguam kerajaan negeri Selangor dalam kes persempadanan semula, berkata beliau tidak terkejut dengan cadangan untuk Hulu Kelang.

Katanya, SPRM seperti pengadil pertandingan bola sepak di mana tugas mereka ialah memastikan perlawanan yang adil.

“Tetapi berdasarkan kepada cadangan awal SPR, nampaknya mereka memberikan enam peluang gol kepada satu parti dengan tiang gol yang kecil dan menjangkakan parti satu lagi mampu bertanding dengan adil,” katanya.

 Fernandez berkata cadangan itu kelihatan tidak disediakan oleh kakitangan awam yang profesional tetapi ahli politik.

Saari berkata pengundi Kuala Ampang menyumbang 67% daripada undi kemenangannya pada PRU 2013 yang menyaksikan beliau menang dengan 2,314 undi majoriti.

Bagi dua PRU sebelum ini yang dimenanginya, Saari bertanding atas tiket PAS.

Beliau menewaskan calon BN Abdul Rahim Pandak Kamarudin pada 2013 dan seorang lagi calon BN Ahmad Bujang pada 2008 dengan majoriti 2,134 ketika kali pertama memenangi kerusi itu.

Saari menyertai Amanah pada 2015 selepas tidak berpuas hati dengan PAS setahun sebelumnya.

Pada PRU13, Saari berkata beliau menerima 1,942 undi dari Kuala Ampang yang membantunya menang.

Komposisi kaum di Kuala Ampang pada masa itu ialah 92% Cina, 8% India dan selebihnya Melayu dan lain-lain.

Beliau berkongsi undi Melayu dengan lawannya dari BN tetapi pengundi bukan Melayu yang mengubah kemenangan itu, akhirnya.

Kini dua kawasan yang dilihat mampu memberinya kemenangan, akan dipindahkan ke Bukti Antarabangsa, iaitu kawasan dipegang Menteri Besar Selangor Azmin Ali.

Kerusi DUN Hulu Kelang bersama dua lagi kawasan, Batu Caves dan Gombak Setia terletak di bawah kawasan Parlimen Gombak yang dipegang Azmin.

Jadi siapa pengundi baharu yang dipindahkan ke Hulu Kelang? SPR mencadangkan pengundi di Jalan Enggang Selatan dan Jalan Enggang Utara.

Majoriti undi di kawasan itu diperoleh oleh BN. Pada kiraan terakhir, terdapat 5,408 pengundi di situ.
Undi mereka untuk calon BN hanya menyumbang sedikit saja untuk menjejaskan majoriti Azmin tetapi di Hulu Kelang, ia mungkin mampu jadi pengubah keadaan.

Menurut statistik dikeluarkan oleh badan pemikir kerajaan negeri Darul Ehsan Institute (IDE), tambahan dua kawasan itu akan meningkatkan komposisi Melayu di Hulu Kelang sebanyak 5% daripada 83% kepada 88% sementara pengundi Cina akan dikurangkan daripada 14% kepada 9%. Pengundi India kekal sama pada 3%.

Di sebalik keadaan yang memihak kepada lawannya BN jika persempadanan semula berjaya dilaksanakan, Saari tetap optimis.

“Saya masih rasa yang pencapaian saya di sini akan membantu,” katanya.

IDE dalam laporannya berkata BN dijangka menang banyak kerusi di Selangor pada PRU14 susulan pelaksanaan persempadanan semula.

Ketua Eksekutif IDEA Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman berkata berdasarkan kepada trend pengundi 2013, BN dijangka menang 20 kerusi, sementara PAS akan menang sembilan, DAP (15) dan PKR (12).

Sementara 20 kerusi BN mungkin tidak mencukupi untuknya membentuk kerajaan negeri, hubungan retak PAS dengan blok pembangkang dan ikatan lebih mesra dengan Umno akan dapat membantu BN merampas semula Selangor.

PH pada masa ini mempunyai 29 wakil rakyat di DUN Selangor, sementara PAS ada 13 dan BN 12 dengan dua wakil rakyat bebas.

Keseluruhan PH terdiri daripada 14 DAP, PKR 13 dan dua Amanah.

BN hilang negeri itu kepada pakatan pembangkang Pakatan Rakyat pada PRU12 ketika ia menang hanya 20 daripada 56 kerusi DUN.

Pada 2013, BN terkena serangan kedua apabila ia kalah lapan lagi kerusi dan gagal mempertahankan majoriti dua pertiga daripada Pakatan Rakyat dalam DUN.

Redzuan berkata 46 kerusi di Selangor akan digubah semula di bawah pelaksanaan persempadanan semula.

Akibatnya, badan pemikir itu meramalkan bahawa lapan kerusi termasuk Hulu Kelang yang pada masa ini dipegang Amanah, dan kerusi PAS di Paya Jaras, mungkin jatuh kepada BN.

Empat lagi kerusi termasuk Sementa yang dipegang PKR mungkin menyaksikan kemenangan parti penyandang dengan majoriti kurang 1,000 undi.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berkata analisis IDEA membuktikan kecurigaan mereka terhadap salah pembahagian dalam pelaksanaan persempadanan semasa ini.

Bersih 2.0 berkata ia tidak mengejutkan kerana analisis IDEA adalah satu daripada banyak yang lain menunjukkan cadangan persempadanan itu berpihak kepada parti pemerintah.

“Bersih 2.0 gerun dengan cara sistem demokratik dan institusi yang sepatutnya ditegakkan dan melindungi hak rakyat, dipergunakan untuk melenyapkan suara dan kuasa rakyat untuk memilih kerajaan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pendengaran bagi kes persempadanan semula masih berterusan dan cubaan kerajaan Selangor mendapatkan lebih banyak masa untuk membuat persediaan terjejas apabila mahkamah Shah Alam awal minggu ini menolak permohonannya bagi menangguhkan tampil di inkuiri awam seperti dijadualkan.

Keputusan itu bermakna inkuiri awam SPR akan diteruskan seperti biasa tanpa kehadiran wakil kerajaan negeri Selangor. – 10 Januari, 2018.

sumber...the malaysian insight