Adun Hulu Kelang mungkin kalah PRU14 jika persempadanan semula berlaku
ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berdepan dengan kekalahan pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14), walaupun hari mengundi masih belum tiba – jika
cadangan perubahan persempadanan di kawasannya berjaya dilaksanakan.
Sejumlah besar pangkalan data penyokongnya yang memberi sumbangan
besar terhadap kemenangan majoritinya bagi dua PRU sebelum ini, akan
dipindahkan keluar ke kawasan Parlimen bersebelahan.
Pengundi Kuala Ampang dan Ukay Perdana yang membantu membawa Saari ke
Dewan Undangan Negeri sedang ditukar ke Bukit Antarabangsa, di bawah
cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kedua-dua kawasan itu mempunyai 4,881 pengundi. Pada masa ini
terdapat 49,816 pengundi berdaftar – 83% Melayu (41,347) 14% Cina
(6,974) dan 3% India (1,494).
Saari berkata perubahan itu tidak adil untuknya kerana ia memberi Barisan Nasional (BN) kelebihan peluang.
Peguam Derek Fernandez yang juga peguam kerajaan negeri Selangor
dalam kes persempadanan semula, berkata beliau tidak terkejut dengan
cadangan untuk Hulu Kelang.
Katanya, SPRM seperti pengadil pertandingan bola sepak di mana tugas mereka ialah memastikan perlawanan yang adil.
“Tetapi berdasarkan kepada cadangan awal SPR, nampaknya mereka
memberikan enam peluang gol kepada satu parti dengan tiang gol yang
kecil dan menjangkakan parti satu lagi mampu bertanding dengan adil,”
katanya.
Fernandez berkata cadangan itu kelihatan tidak disediakan oleh kakitangan awam yang profesional tetapi ahli politik.
Saari berkata pengundi Kuala Ampang menyumbang 67% daripada undi
kemenangannya pada PRU 2013 yang menyaksikan beliau menang dengan 2,314
undi majoriti.
Bagi dua PRU sebelum ini yang dimenanginya, Saari bertanding atas tiket PAS.
Beliau menewaskan calon BN Abdul Rahim Pandak Kamarudin pada 2013 dan
seorang lagi calon BN Ahmad Bujang pada 2008 dengan majoriti 2,134
ketika kali pertama memenangi kerusi itu.
Saari menyertai Amanah pada 2015 selepas tidak berpuas hati dengan PAS setahun sebelumnya.
Pada PRU13, Saari berkata beliau menerima 1,942 undi dari Kuala Ampang yang membantunya menang.
Komposisi kaum di Kuala Ampang pada masa itu ialah 92% Cina, 8% India dan selebihnya Melayu dan lain-lain.
Beliau berkongsi undi Melayu dengan lawannya dari BN tetapi pengundi bukan Melayu yang mengubah kemenangan itu, akhirnya.
Kini dua kawasan yang dilihat mampu memberinya kemenangan, akan
dipindahkan ke Bukti Antarabangsa, iaitu kawasan dipegang Menteri Besar
Selangor Azmin Ali.
Kerusi DUN Hulu Kelang bersama dua lagi kawasan, Batu Caves dan
Gombak Setia terletak di bawah kawasan Parlimen Gombak yang dipegang
Azmin.
Jadi siapa pengundi baharu yang dipindahkan ke Hulu Kelang? SPR
mencadangkan pengundi di Jalan Enggang Selatan dan Jalan Enggang Utara.
Majoriti undi di kawasan itu diperoleh oleh BN. Pada kiraan terakhir, terdapat 5,408 pengundi di situ.
Undi mereka untuk calon BN hanya menyumbang sedikit saja untuk
menjejaskan majoriti Azmin tetapi di Hulu Kelang, ia mungkin mampu jadi
pengubah keadaan.
Menurut statistik dikeluarkan oleh badan pemikir kerajaan negeri
Darul Ehsan Institute (IDE), tambahan dua kawasan itu akan meningkatkan
komposisi Melayu di Hulu Kelang sebanyak 5% daripada 83% kepada 88%
sementara pengundi Cina akan dikurangkan daripada 14% kepada 9%.
Pengundi India kekal sama pada 3%.
Di sebalik keadaan yang memihak kepada lawannya BN jika persempadanan semula berjaya dilaksanakan, Saari tetap optimis.
“Saya masih rasa yang pencapaian saya di sini akan membantu,” katanya.
IDE dalam laporannya berkata BN dijangka menang banyak kerusi di Selangor pada PRU14 susulan pelaksanaan persempadanan semula.
Ketua Eksekutif IDEA Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman berkata
berdasarkan kepada trend pengundi 2013, BN dijangka menang 20 kerusi,
sementara PAS akan menang sembilan, DAP (15) dan PKR (12).
Sementara 20 kerusi BN mungkin tidak mencukupi untuknya membentuk
kerajaan negeri, hubungan retak PAS dengan blok pembangkang dan ikatan
lebih mesra dengan Umno akan dapat membantu BN merampas semula Selangor.
PH pada masa ini mempunyai 29 wakil rakyat di DUN Selangor, sementara PAS ada 13 dan BN 12 dengan dua wakil rakyat bebas.
Keseluruhan PH terdiri daripada 14 DAP, PKR 13 dan dua Amanah.
BN hilang negeri itu kepada pakatan pembangkang Pakatan Rakyat pada PRU12 ketika ia menang hanya 20 daripada 56 kerusi DUN.
Pada 2013, BN terkena serangan kedua apabila ia kalah lapan lagi
kerusi dan gagal mempertahankan majoriti dua pertiga daripada Pakatan
Rakyat dalam DUN.
Redzuan berkata 46 kerusi di Selangor akan digubah semula di bawah pelaksanaan persempadanan semula.
Akibatnya, badan pemikir itu meramalkan bahawa lapan kerusi termasuk
Hulu Kelang yang pada masa ini dipegang Amanah, dan kerusi PAS di Paya
Jaras, mungkin jatuh kepada BN.
Empat lagi kerusi termasuk Sementa yang dipegang PKR mungkin
menyaksikan kemenangan parti penyandang dengan majoriti kurang 1,000
undi.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, badan pemantau
pilihan raya Bersih 2.0 berkata analisis IDEA membuktikan kecurigaan
mereka terhadap salah pembahagian dalam pelaksanaan persempadanan semasa
ini.
Bersih 2.0 berkata ia tidak mengejutkan kerana analisis IDEA adalah
satu daripada banyak yang lain menunjukkan cadangan persempadanan itu
berpihak kepada parti pemerintah.
“Bersih 2.0 gerun dengan cara sistem demokratik dan institusi yang
sepatutnya ditegakkan dan melindungi hak rakyat, dipergunakan untuk
melenyapkan suara dan kuasa rakyat untuk memilih kerajaan mereka
sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pendengaran bagi kes persempadanan semula masih
berterusan dan cubaan kerajaan Selangor mendapatkan lebih banyak masa
untuk membuat persediaan terjejas apabila mahkamah Shah Alam awal minggu
ini menolak permohonannya bagi menangguhkan tampil di inkuiri awam
seperti dijadualkan.
Keputusan itu bermakna inkuiri awam SPR akan diteruskan seperti biasa
tanpa kehadiran wakil kerajaan negeri Selangor. – 10 Januari, 2018.
sumber...the malaysian insight