Followers

Monday, March 4, 2019

Angkat Anwar Jadi PM Secepat Mungkin !



Berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) sebanyak dua kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, saya percaya kerajaan PH perlu bertindak segera untuk memperbetulkan kesilapan yang telah mengundang rasa ketidakpuasan hati rakyat.


Saya yakin bahawa untuk menentukan hala tuju masa depan PH, Anwar Ibrahim perlu diangkat sebagai perdana menteri ke-8 seperti dipersetujui sebelum ini.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Anwar mahir dalam urusan ekonomi negara.

Pengalaman yang dimiliki oleh beliau sebagai mantan timbalan perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan Malaysia akan menjadi tunjang kekuatan beliau untuk menjadi pemerintah yang berkesan.

Rombakan kabinet

Di samping itu, proses rombakan kabinet perlu dilaksanakan kerana didapati terdapat juga beberapa jemaah menteri tidak memainkan peranan selaras dengan portfolio diberikan.

Pegawai-pegawai tertinggi yang tidak efisien di setiap kementerian juga perlu digantikan bagi melicinkan perjalanan pentadbiran dengan berkesan.

Saya berpendapat kekalahan PH di dua PRK bukan kerana rakyat beralih kepada BN tetapi untuk memberi mesej tersirat kepada PH bahawa hukuman tersebut adalah kerana kegagalan mengotakan janji yang masih menjadi tunggakan kerajaan.

Oleh yang demikian, PH perlu segera bangkit dan memperbetulkan keadaan supaya kerajaan baru ini terus dikekalkan sebagai kerajaan pilihan di PRU15.

Sekiranya PH lewat bertindak kemungkinan besar akan menerima impak yang besar pada PRU15, dengan ini segala usaha yang dilakukan untuk menukar kerajaan yang korup selepas 60 tahun memerintah negara ini menjadi sia-sia dan usaha ke arah membentuk Malaysia Baru tidak tercapai sepenuhnya.

Maka dengan ini saya menyeru agar kerajaan menyegerakan proses peralihan kuasa jawatan perdana menteri kepada Anwar di mana ia menjadi satu titik permulaan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap PH semula.

Masih guna polisi BN
 
Seperti dinyatakan di atas pengalaman Anwar ia akan menjadi tunjang kekuataan beliau dan Kerajaan PH. Hubungan baik beliau dengan pemimpin-pemimpin negara luar juga akan membantu negara kita dari segi ekonomi dan memacu negara kita ke arah negara maju.

Di sini saya juga menyarankan kerajaan PH untuk mewujudkan polisi-polisi baru yang relevan dengan keadaan masa kini memandangkan kita masih menggunakan polisi yang sedia ada d imana ia diwujudkan semasa pemerintahan BN.

Sebagai kerajaan pemerintah baru, PH harus memperkenalkan polisi-polisi baru demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat bagi membuktikan PH sebagai kerajaan prihatin yang mempedulikan rakyat.

Dalam konteks ini, polisi yang menjadi keutamaan buat masa sekarang ialah menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin menekankan bukan sahaja golongan B40 namun semua lapisan rakyat.

Janji manifesto
 
Sejajar dengan ini, usaha menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto PRU14 perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa memandangkan kewangan negara masih terumbang-ambing disebabkan parti pemerintah yang lalu dan kini masih dalam proses pemulihan, kita tetap perlu berusaha untuk mencari jalan untuk menunaikan janji-janji manifesto contohnya penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN dan penstabilan harga minyak.

Kedua-dua perkara ini perlu diberi keutamaan memandangkan pinjaman PTPTN melibatkan pengundi muda manakala harga minyak membabitkan dari anak muda hingga warga emas.

Kini di media sosial dapat dilihat anak-anak muda sudah mula menunjukkan rasa ketidakpuashatian terhadap kerajaan PH di ruangan komen.

Anwar merupakan individu yang terbaik dimana beliau berwibawa untuk memperkenalkan jalan penyelesaian atau formula baru menangani peningkatan kos sara hidup di samping merancang hala tuju kerajaan PH.

Diharapkan pengumuman proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebagai PM ke-8 akan diumumkan dalam tempoh masa terdekat.

oleh:  KUMARESAN ARAMUGAM adalah Adun Batu Uban, Ketua AMK Bayan Baru dan Naib Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang (MPNPP).

Dihalang Keluarga, Isteri Pertama, Alasan Utama Nikah di Thailand


 PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Datuk Dr Ismail Salleh menunjukkan stasistik kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand. - Foto BERNAMA


Halangan daripada keluarga atau isteri pertama menjadi penyebab utama sebilangan warga Malaysia bernikah di luar negeri terutama selatan Thailand.


Hal ini didedahkan oleh ejen yang menawarkan khidmat menguruskan pernikahan di negara jiran itu.
Ejen nikah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shed berkata, selain menguruskan perkahwinan, beliau juga membantu menguruskan proses perceraian pasangan yang bernikah di sana.

Tinjauan mendapati sekalipun ada halangan seumpama itu, jumlah rakyat negara ini yang menjalani pernikahan di selatan Thailand terus meningkat.

Bernama melaporkan kes pasangan dari Kedah yang bernikah tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri, di Thailand dilihat terus meningkat hingga kepada 799 kes tahun lalu daripada 566 kes pada 2017.

Angka ini diberikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh yang menyatakan bahawa jumlah itu merangkumi kesalahan pernikahan dan berpoligami tanpa kebenaran.

Sementara itu, ditanya mengenai khidmat yang ditawarkan, Shed berkata, kadar yang beliau kenakan kepada setiap pasangan adalah berbeza antara RM1,800 hingga RM4,000 bergantung pada beberapa faktor dan kerumitan proses.

“Kalau mereka berdekatan Kedah saya ambil dalam RM1,800 untuk nikah biasa yang mudah, tetapi ada cecah RM2,800. Orang luar (dari Kedah) seperti dari Johor, Melaka, Pahang dan Terengganu saya ambil dalam RM2,200 hingga RM4,000.

“Kalau urusan rumit, contoh orang itu dah pernah nikah di Siam (Thailand) tapi tak daftar sini lagi, jika bercerai, pasangan kena batalkan pernikahan itu di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sana dulu, baru boleh menikah lagi,” katanya kepada Bernama.

Shed berkata, jika rakyat negara ini yang hendak bernikah tanpa kebenaran dengan warga negara lain seperti Indonesia dan Singapura prosesnya akan menjadi lebih rumit dan akan dikenakan caj yang lebih tinggi.

Mengulas mengenai proses pernikahan di Thailand, Shed berkata, terdapat dua pusat nikah yang diiktiraf iaitu di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat.

“Saya akan bawa orang yang menggunakan khidmat saya ke mana-mana satu pusat nikah ini. Kalau hendak bernikah luar dari pusat nikah itu, ini mesti dilakukan di masjid dan jurunikahnya ialah imam yang dilantik pejabat agama Islam sana sahaja,” kata beliau.

Katanya, akad nikah boleh diragui jika ia dilakukan di luar pusat nikah itu atau dilaksanakan oleh jurunikah yang tidak dilantik pejabat agama Islam di sana atau tidak berdaftar dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia.

Katanya, selepas dinikahkan, pasangan suami isteri terbabit perlu mengambil Surat Pengesahan Perkahwinan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia bagi membolehkan mereka mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama Islam negara ini.

Shed berkata, sepanjang 11 tahun pengalamannya menjadi ejen nikah di Selatan Thai, kebanyakan mereka yang mendapatkan khidmatnya terdiri daripada golongan pertengahan yang bekerja sebagai guru, jurutera kilang, kerani, pegawai kerajaan dan pekerja swasta.

sumber...BERNAMA

Saturday, March 2, 2019

Haji Hadi 'Kawtim' Apa Bersama Kawan Karib ?

Rafizi Kongsi Gambar Hadi dan 'Rakan Karibnya'

PKR menolak teori spekulasi yang menyebut pihak yang membayar wang penyelesaian saman PAS dan Sarawak Report sebagai rakan karib presidennya Anwar Ibrahim.

Malah, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, tokoh korporat itu sebenarnya rakan Presiden PAS Hadi Abdul Awang sendiri.

“Pada pandangan kami, beliau dikenali sebagai bekas aktivis ABIM dan ahli perniagaan yang menyokong gagasan kerajaan perpaduan, iaitu menyatukan Umno dan PAS sejak dari tahun 2008 lagi.

“Laporan-laporan dari laman rasmi PAS sendiri menyebut bagaimana beliau mengiringi Hadi Awang dalam beberapa program, malah disertai dengan gambar-gambar bersama,” kata Rafizi.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi juga berkata beliau dilantik sebagai peneraju sebuah GLC kerana keterbukaan dan profesionalisme kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Rafizi mengakui tokoh korporat itu sebagai lepasan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan pernah bergiat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang sinonim dengan Anwar.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak menjadikan individu itu sebagai orang kuat Anwar.
“Ia tidak ubah seperti saya orang Terengganu (seperti mana Hadi Awang orang Terengganu) dan Hadi Awang sendiri pernah menjadi pimpinan Abim Terengganu.

“Tetapi itu tidak menjadikan saya orang kuat PAS (hanya kerana saya ada sedikit persamaan dengan Hadi Awang) atau Anwar Ibrahim ahli PAS (hanya kerana beliau pernah menjadi presiden ABIM dan presiden PAS kini pernah menjadi pimpinan bawahan beliau di dalam Abim dahulu),” kata Rafizi.

Menurut Rafizi, sepanjang beliau menjadi pimpinan kanan PKR sejak 2010, tidak pernah sekali pun individu itu terlibat dengan parti itu.

“Secara umumnya, kami kenali beliau dari jauh dan hormati beliau sebagai penyokong PAS yang ada perniagaan besar (maka keperluan beliau untuk juga dilihat kekal rapat dengan sesetengah pimpinan UMNO),” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi tokoh korporat itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

sumber...mKini

Friday, March 1, 2019

Kantoi: Peguam Sahkan Cek RM1.4juta Sudah Jelas



Peguam Americk Sidhu mengesahkan nombor akaun yang digunakan pada cek RM1.4 juta yang diterima anak guamnya, editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

Americk tampil membuat pengesahan itu selepas Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan mendakwa nombor akaun pada cek bayaran itu sebagai palsu.

"Saya boleh sahkan cek ini sudah dijelaskan melalui akuan Maybank anak guam saya, yang bermakna cek ini asli atau bank yang luluskan itu buat kesilapan besar," katanya kepada Malaysiakini.

Americk yang merupakan penama dalam cek berkenaan menambah bahawa cek berkenaan ditulis di hadapannya, namun enggan mendedahkan pemegang akaun penulis cek itu.

Nasrudin sebelum ini mendakwa kawan-kawannya cuba menyemak nombor akaun pada cek yang ditular itu dengan memindahkan duit RM5 dan RM1, namun tidak berhasil.

Pengguna media sosial juga mempertikaikan nombor akaun itu yang dikatakan hanya mempunyai 10 digit berbanding nombor akaun Bank Islam biasa yang mempunyai 14 digit.

Nombor akaun itu dipaparkan dalam salah satu dokumen yang disiarkan dalam artikel Sarawak Report semalam.

Artikel itu bagi menafikan dakwaan yang mengatakan Abdul Hadi belum membayar Clare bagi penyelesaian luar mahkamah saman fitnah yang difailkan presiden PAS itu.

Clare berkata dia sebelum ini setuju dengan syarat yang diminta Abdul Hadi agar kedua-dua pihak merahsiakan bayaran berkenaan.

Bagaimanapun, kata Clare, dia tidak dapat lagi merahsiakan perkara itu apabila Setiausaha Agung PAS Takuyuddin Hassan menegaskan tiada bayaran yang dibuat.

"Abdul Hadi tidak seharusnya membincangkan sebarang perincian tentang bayaran penyelesaian kes itu dengan anggota PAS sama sekali.

"Kenyataan Takiyuddin mewakili Abdul Hadi merupakan pelanggaran perjanjian untuk merahsiakan perkara ini. Kenyataan yang diberikan pula tidak benar.

"Justeru Sarawak Report berhak mempertimbangkan untuk tidak terikat dengan syarat untuk merahsiakan perkara ini, bagi memberitahu kepada semua rakyat Malaysia yang diperdaya," katanya.




sumber...Zikri Kamarulzaman mKini

Claire Rewcastle Brown Sahkan Terima Bayaran RM1.4 juta Penyelesaian Kes Saman Hadi



Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, mengesahkan beliau menerima bayaran sebanyak RM1.4 juta sebagai penyelesaian di luar mahkamah kes saman membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam artikel bertajuk ‘Time To Clear The Air On The PAS Payment To Sarawak Report’, beliau berkongsi beberapa dokumen membabitkan perjanjian sulit, foto cek Bank Islam tertera nilai RM1,422,980 dan surat kepada Malayan Banking Berhad yang mengesahkan penerimaan bayaran daripada Abdul Hadi.

Rewcastle-Brown juga mendedahkan dokumen yang memaparkan syarat penyelesaian sulit dan tiada perintah kos daripada Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK).

Terma bagi persetujuan di luar mahkamah itu dibuat ketika cek bernilai RM1.4 juta itu disimpan secara 'escrow' (oleh pihak ketiga) dengan peguamcara Sarawak Report.

Perintah mahkamah yang dikeluarkan merujuk kepada terma SULIT berhubung penyelesaian antara kedua-dua pihak amat ringkas.

Cek yang disimpan secara 'escrow' (oleh pihak ketiga) bersama peguam Sarawak Report dengan syarat kes Abdul Hadi di UK tidak diteruskan.
Beliau berkata, Sarawak Report bersetuju dengan perintah Mahkamah UK untuk tidak meneruskan tuntutan terhadap Abdul Hadi dengan syarat Ahli Parlimen Marang itu perlu membayar sejumlah kos terlebih dahulu.

Katanya, pembayaran itu diselesaikan menerusi akaun escrow peguam Americk Sidhu.
“Sarawak Report bersetuju dengan syarat (Abdul) Hadi bahawa kedua-dua pihak perlu merahsiakan pembayaran itu.

“Oleh itu, perintah mahkamah yang menarik balik prosiding itu diperuntukkan ‘tidak ada perintah untuk kos’, kerana sumbangan Hadi telah dibayar dan berada di akaun escrow,” katanya.

Surat lampiran kepada bank. Butir peribadi disunting.
Kelmarin, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown dan menegaskan beliau mempunyai bukti transaksi itu.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata beliau akan membuat sidang media khas bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

oleh:  Fahmy A Rosli BH