Followers

Friday, January 22, 2021

Ahli Biro Armada Ditangkap Miliki Ganja dalam Jumlah Besar

 


Seorang ahli sebuah biro dalam Pemuda Bersatu (Armada) telah ditangkap polis pada 20 Jan lalu atas dakwaan memiliki dadah dalam jumlah yang besar.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman polis yang enggan dinamakan memandangkan ia masih dalam siasatan.

Bercakap dengan Malaysiakini, dia berkata polis merampas 1.5 kilogram leraian daun kering disyaki ganja, sembilan pokok ganja, dan sejumlah besar cecair disyaki memiliki kandungan dadah jenis itu.

Dia berkata polis bertindak setelah menerima maklumat dan menangkap suspek yang berusia 35 tahun di Fraser Business Park di Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu lalu, atas kesalahan memiliki barang terlarang.

Susulan tangkapan, polis menyerbu kondominium suspek di Ampang, Selangor pada hari sama.

"Ketika pemeriksaan, polis menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja. Ada beberapa lagi botol ditemui yang disyaki mengandungi ekstrak ganja.

"Kami juga menemui leraian daun kering disyaki ganja dalam beberapa beg plastik dan bekas," kata sumber lagi.

Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM60,000.

Polis turut menahan isteri suspek, 34 tahun, dan seorang warga asing yang disyaki pembantu rumah pasangan itu.

Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama ahli politik ini selagi dia tidak didakwa. Dia masih suspek dan tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan.

Suspek juga tidak memegang apa-apa jawatan yang diraih secara undian dalam Bersatu. Dia merupakan ahli lantikan dalam sebuah biro dalam Armada.

Ketika PRU 2018, dia menjadi calon Bersatu di kerusi Parlimen di Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan kes ini dan ia di bawah siasatan polis Kuala Lumpur.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin dan sedang menunggu maklum balasnya.

Ini bukan kali pertama seorang individu daripada Bersatu disiasat atas kes berkaitan dadah.

Pada Januari tahun lalu, Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah merupakan antara yang ditahan dalam satu serbuan berkaitan dadah di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada mulanya berkata 16 (daripada 17) yang ditahan di sebuah unit kondominium setelah mereka diuji positif dadah. Dadah jenis ketamine dan ganja turut ditemui di unit tersebut, katanya.

Dua bulan kemudian, pihak berkuasa memaklumkan laporan patologi Adhif mendapati keputusan ujian air kencingnya negatif dan Pejabat Peguam Negara mengarahkan semua siasatan diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA).

sumber ...mKini

[Baca berita asal]

Tuesday, January 12, 2021

Muhyiddin Perlu Letak Jawatan, Bukan Usul Darurat

 


Muhyiddin perlu letak jawatan,bukan usul darurat - Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sepatutnya meletakkan jawatan dan bukannya mengusulkan perisytiharan darurat.

Kata Anwar, itu adalah langkah yang perlu diambil oleh seorang perdana menteri yang waras dan bertanggungjawab selepas menyedari dirinya tidak lagi memiliki sokongan majoriti anggota Parlimen.

“Apabila Muhyiddin memilih untuk mempertahankan kuasa setelah mengetahui telah terhakis dengan kehilangan sokongan anggota Parlimen, maka dia memilih untuk mengemukakan usul darurat.

“Padahal, pengendalian Covid-19 mampu dilakukan melalui perintah kawalan pergerakan (PKP), PKP bersyarat, melalui langkah-langkah tambahan dan mengambil kira pandangan pakar perubatan serta keselamatan.

“Tetapi bila ini gagal, sokongan hilang dan sepatutnya sebagai perdana menteri yang waras dan bertanggungjawab (Muhyiddin) akan meletakkan jawatan dan Agong mempunyai wewenang (hak dan kekuasaan) untuk memanggil seorang anggota Parlimen yang dipercayai mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen.

“Tetapi Muhyiddin memilih jalan pendek, terdesak dan tidak bertanggungjawab untuk mengusulkan pengisytiharan darurat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Presiden PH, di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.

Anwar berkata demikian merujuk kepada pengisytiharan darurat yang dibuat tidak sampai 24 jam selepas Muhyiddin mengumumkan PKP.

Perkembangan itu juga hadir ketika beberapa wakil rakyat Umno menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Anggota Parlimen BN, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) sebelum ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan diikuti Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Manakala, hari ini Nazri Aziz (Padang Rengas) pula mengambil tindakan yang sama.

Masih boleh persembah sokongan

Sementara itu, mengulas tanggapan yang melihat pembangkang kini berdepan kekangan bagi membentuk kerajaan baru meskipun mempunyai majoriti dalam tempoh darurat ini, Anwar berkata ia tafsiran yang salah.

Kata anggota Parlimen Port Dickson itu, pembangkang masih boleh bertemu Agong untuk mempersembahkan sokongan anggota parlimen.

“Tak betul, itu tafsiran yang salah. Yang tidak ada itu jalur (sidang) Parlimen. Itu memang tersangkut kerana Muhyiddin takut berdepan dengan kenyataan hilang kuasa sokongan di kalangan anggota parlimen maka (kerajaan) jatuh.

“Jadi, tidak ada peruntukan yang menghalang kita mendapat sokongan dan mempersembahkan kepada Agong.

“Apa masalahnya, masalah pengendalian negara, ekonomi, cara pengendalian Covid-19, cara pengendalian masyarakat Melayu dan pelbagai kaum di negara ini, semua yang menjadi persoalan,” tambahanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini berkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

sumber...mKini

Darurat Tanda Muhyiddin 'Akui' PN Sudah Kalah - Nazri

 


Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memohon kepada Yang di-Pertuan Agong agar darurat diisytiharkan di seluruh negara adalah pengakuan tidak langsung bahawa presiden Bersatu itu kini tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini bekas menteri undang-undang itu berkata langkah memohon agar darurat diisytiharkan sebelum ini pernah dibuat bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

"Sebab kita tengok apabila tak ada majoriti, dia (perdana menteri) kena buat pilihan raya (umum), tapi kita tau macam mana nak buat kalau Covid-19 sedang melanda.

"Saya samakan apa yang dia buat ini macam PRK Batu Sapi dan Grik," katanya.

Menurut Nazri lagi tujuan kerajaan meminta darurat diisytiharkan ialah kerana PRK tidak boleh diadakan.

"Samalah ini. Sekarang apabila (PN) hilang majoriti dia kena buat PRU di seluruh negara.

"Apabila dia buat permohonan untuk darurat maknanya dia buat pengakuan dia sudah kalah dan dia sudah tidak ada majoriti," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Pasir Salah merangkap Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman.

Pun begitu menurut Nazri dengan adanya perisytiharan darurat sekarang bermakna PRU mesti diadakan sebaik saja pandemik Covid-19 dapat dikawal.

"Pada saya ia (permohonan darurat) adalah langkah logik yang diambil Muhyiddin sebagai perakuan dia sudah kalah, dia sudah hilang majoriti," katanya.

Menjawab pertanyaan lain Nazri menjelaskan dia berpendapat darurat yang dipohon Muhyiddin semalam ialah "darurat politik" dan bukannya darurat kesihatan.

Hal itu kerana, katanya, ia dibuat bagi mengelak agar PRU tidak diadakan pada waktu ini.

Kalau disebabkan mahu mengekang Covid-19, kata Nazri, darurat tidak perlu dikuatkuasakan kerana ia boleh dikawal melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang berlaku pada Mac tahun lalu.

"Jadi maknanya boleh dibaca begitu - ini adalah darurat politik bagi mengelakkan PRU," katanya.

Pun begitu Nazri mengingatkan kenyataan itu - dan langkahnya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin - bukan bermakna dia menuntut diadakan PRU serta-merta.

"Kita cuma nak bagitahu kerajaan ini dah runtuh. Kalau 109 (ahli parlimen yang menyokong), tapi dalam masa beberapa hari ni ada lagi tga atau empat lagi (akan tarik balik sokongan) jatuh majoriti dia.

"Saya rasa inilah darurat politik," katanya.

sumber...mKini

Tuesday, January 5, 2021

189 dari 191 UMNO Bahagian Tolak BERSATU


 

Sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), lapor Utusan Malaysia.

Perkara itu, menurutnya, diputuskan dalam mesyuarat bahagian-bahagian itu semalam.

Hanya satu bahagian di Kelantan dan satu di Perlis bersedia mempertahankan kerjasama sedia ada, berdasarkan kenyataan pemimpin dari bahagian tersebut.

Laporan itu tidak menyebut secara khusus berkaitan pendirian Umno Putrajaya.

Semalam ketuanya Tengku Adnan Tengku Mansor mereka membuat ketetapan menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dia juga meminta semua ahli parlimen Umno meneruskan kerjasama dengan PN.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum ini berkata sebanyak 145 bahagian enggan meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Semalam, memetik tinjauan melalui Whatsapp, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 143 daripada 191 ketua Umno bahagian enggan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

 Menurut Zahid, semua usul itu akan dibawa ke mesyuarat MT sebelum membuat ketetapan sama ada akan menerimanya atau tidak.

Ke­tua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata, kesemua usul daripada 191 bahagian akan dibincangkan oleh MT sebelum membuat sebarang ketetapan, termasuk usul kerjasama dengan Bersatu.

Tajuddin tak tolak kemungkinan pakatan BN-PH untuk survival Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahmanberkata tidak mustahil untuk Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk parti komponennya DAP.

Tajuddin berkata demikian ketika diminta untuk menjawab spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama BN-PH

"Apa sahaja mungkin berlaku dalam politik, anda tidak boleh menolaknya," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tajuddin berkata, Bersatu secara sistematik berusaha untuk "mencuri" anggota Umno hingga ke peringkat akar umbi dalam usaha untuk mengecilkan parti itu.

Ini berlaku walaupun kedua-dua parti menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan persekutuan.

“Ahli Umno merasakan parti itu akan terkubur jika bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 berdasarkan perkembangan politik muktahir ini.

“Ini kerana ketika ini Umno tiada kedudukan dalam kerajaan sekali gus menyukarkan untuk membela nasib Melayu.

“Ahli Umno yang ‘dicuri’ dan ‘dibeli’ untuk Bersatu membolehkannya menubuhkan lebih banyak cawangan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Wisma UOA hari ini.

Tajuddin, yang juga pengarah pilihan raya Umno, mendakwa sejumlah besar wang dibelanjakan oelh Bersatu untuk tujuan berkenaan.

"Kami mengesyaki mereka mahu menjadi (parti) lebih besar sehingga Umno akan diturunkan menjadi parti kecil.

"Walaupun dalam kerajaan sekarang, Umno hanya menjawat jawatan kecil," katanya.

Wednesday, December 30, 2020

145 Ketua Bahagian UMNO Tolak Kerjasama dengan BERSATU


 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa, bukan rahsia lagi 145 Ketua Bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu (PPBM) dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

Katanya, ini kerana sikap Bersatu yang menikam Umno dari belakang dan cuba menguburkan Umno.

“Pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar yang tikam Umno dari belakang di PRU 14 adalah PPBM. Yang rancang bubarkan Umno setelah PH berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP.

“Walaupun PH sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam PPBM 2.0. PPBM melihat Umno sebagai rival bukan kawan,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan itu.

Puad mengecam kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mempertikaikan kenyataan beliau sebelum ini yang didakwa membocorkan rahsia parti.

Dua hari lepas, kata Puad, Annuar Musa membuat posting terbuka. Dia tuduh seorang pemimpin yang ada platform resmi buat perkara yang berlawanan dengan dasar parti.

“Annuar terlupa dia Setiausaha Agung BN. Dia pun suka mendahului Presiden.

“Annuar mendakwa parti sedang di bawa ke arah perpecahan bukan konsolidasi.

“Annuar tutup mata sebelah. Sebenarnya Umno yang sedang ditikam dan dilemahkan dari belakang,” kata bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu.

Menurut Puad, sekarang ini sebok PPBM membeli dan memujuk Ketua-ketua cawangan Umno untuk menubuhkan cawangan baru PPBM.

“Kenapa tidak dipujuk ketua Pas, PKR dan PAN (AMANAH)?” tanya Puad dalam facebook beliau itu.

Menurut Puad, masa orang Bersatu jadi menteri besar, mereka gunakan jawatan ketua kampung sebagai tawar menawar tubuh cawangan baru.

“Sekarang guna PM (Perdana Menteri) desak MB Umno beri kuota 60-40 untuk lantik ketua kampung dan ahli majlis.

“Pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar yang tikam Umno dari belakang di PRU 14 adalah PPBM.

“Yang rancang bubarkan Umno setelah PH berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP,” kata Puad lagi.

Menurut beliau, walaupun PH sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam Bersatu 2.0. Bersatu melihat Umno sebagai rival bukan kawan, katanya.

“Sekarang mereka tidak boleh haramkan Umno melalui perundangan. Tetapi melayan Umno dengan cara melemahkan Umno dan akhirnya kuburkan Umno,” kata beliau lagi.

Menurut Puad, Annuar mendakwa membatalkan keputusan “No Anwar No DAP” akan menjadikan kubu Umno menjadi kubur.

“Itu hanya sentimen,” kata Puad yang menyokong usaha kerjasama antara Umno dengan Anwar Ibrahim dan juga DAP.

Menurut Puad, sekarang ini, Bersatu cuba merampas kerusi yang selama ini menjadi kubu Umno.

“Hakikatnya lihatlah apa yang berlaku di Larut, di Mersing, di Tanah Merah dan di tempat tempat MP lompat. Mana mungkin Annuar Musa tidak nampak itu semua,” katanya.

Beliau bertanya, di manakah menteri menteri lompat Bersatu yang asalnya Umno akan bertanding dalam PRU ke 15 nanti.

“Sudah tentu di kubu Umno,” kata beliau lagi.

Bagi beliau, Bersatu lebih terdesak dan perlu melemahkan Umno jika mahu tambah kerusi Parlimen dan DUN di PRU ke 15 akan datang.

“Sebab itu tidak timbul PKR dan DAP mahu bubarkan Umno. Tendensinya, Umno-PPBM akan bertembung. PPBM akan guna muslihat seperti yang berlaku di PRN Sabah,” kata beliau mengulas apa yang berlaku dalam PRN Sabah apabila banyak kerusi Umno dirampas oleh Bersatu dan akhirnya Bersatu yang menjadi Ketua Menteri walaupun Umno menang lebih banyak kerusi.

Puad berkata, Annuar Musa mendakwa Umno boleh tergolek kali kedua dalam PRU 15 nanti.

“Itulah rasional kenapa 143 Ketua Bahagian menolak kerjasama dengan PPBM kerana tindak tanduk PPBM mahu menggolekkan Umno kali kedua.

“Percayalah, kalau PPBM masih menghalalkan kaedah lompat parti untuk tambah MP PPBM, sudah tentu MP UMNO menjadi target untuk dipujuk bukan MP Pas.

“Itu yang patut dikhuatiri oleh Annuar. Kalau Ketereh adalah kubu Umno, maka parti mana yang akan menjadikannya kubur. DAP, PKR atau PPBM?” katanya.

Katanya, kalau Annuar kata pemimpin akar umbi Umno resah, mereka sebenarnya lebih mengetahui apa yang berlaku di bawah.

“Mereka terdedah dengan pujukan dan tawaran.

“Semoga Umno bukan umpama, terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau,” kata beliau lagi.

sumber...MDLine