Followers

Tuesday, June 30, 2015

TUMOR 4cm di Buah Pinggang Anwar dan Otot Bahu Terkoyak



Tumor 4cm: PM arah rawatan wajar untuk Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan rawatan wajar diberikan terhadap bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merengkok di Penjara Sungai Buloh.

“Saya ambil maklum kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya mahu pihak berkenaan memastikan beliau menerima rawatan sewajarnya,” kata Najib di Twintter hari ini.

Peguam Anwar hari ini menggesa pihak berkuasa untuk mengeluarkan bekas ketua umum PKR itu bawah tahanan rumah bagi membolehkannya mendapat rawatan kesihatan.

Sivarasa Rasiah dan Jared Genser berkata kesihatan Anwar semakin teruk dan amat membimbangkan setelah susut berat badan 6 kilogram.


 Mereka juga berkata terdapat ketumbuhan 4cm di buah pinggang Anwar, otot bahunya terkoyak serta masalah artritis kronik.

Perkara itu disimpulkan mereka selepas Anwar dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dua hari pada 2 Jun lalu.

Peguam Anwar berkata keadaan panas dan lembab dengan pengudaraan minimum memburukkan lagi masalah kesihatannya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan oleh mahkamah. 


sumber...mKini 

Laporan penuh dari peguam Anwar
 
Pasukan peguam antarabangsa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaporkan bahawa tahap kesihatan Datuk Seri Anwar semakin teruk dan amat membimbangkan kerana beliau dinafikan akses kepada rawatan-rawatan yang amat beliau perlukan.

Amatlah penting beliau dipindahkan segera ke tahanan kediaman (house arrest) di mana beliau boleh dibenarkan menemui doktor-doktor beliau sendiri untuk mendapatkan rawatan perubatan.

 Pada 2 Jun 2015, selepas kelewatan lebih empat minggu dari waktu penjara meminta Datuk Seri Anwar dipindahkan ke hospital, tahap kesihatan beliau akhirnya telah dinilai Hospital Kuala Lumpur dalam masa dua hari.

Para doktor melaporkan secara lisan bahawa beliau memerlukan penilaian dan rawatan lebih lanjut berkaitan beberapa isu kesihatan termasuk tekanan darah yang tidak menentu, ketumbuhan 4 cm di buah pinggang yang memerlukan CT scan, gastritis yang memerlukan diet tanpa gluten, dan otot bahu yang koyak serta artritis kronik yang memerlukan fisioterapi intensif. Datuk Seri Anwar juga telah kehilangan 6 kg sejak beliau dipenjarakan.

Pihak penjara berkata ia masih belum menerima sebarang laporan kesihatan (medical report) dari pihak hospital yang meminta ujian lanjut – dan penjara tiada kemudahan untuk ujian atau rawatan bagi keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar sekarang.

Datuk Seri Anwar ditempatkan dalam kurungan bersendirian dalam satu sel kosong, dengan baldi untuk mandi, tandas cangkung, dan dalam keadaan panas dan lembap dengan pengudaraan minimum yang memburukkan lagi masalah-masalah kesihatan beliau.

Tambahan pula, beliau jarang dibenarkan bertemu keluarga di penjara, walaupun doktor telah mengsyorkan agar beliau dibenarkan bertemu keluarga setiap minggu. Pertemuan dengan para peguam juga seringkali dinafikan.

“Kezaliman yang dikenakan terhadap saudara Anwar berterusan,” jelas Sivarasa Rasiah, peguam
Datuk Seri Anwar.

“Masyarakat antarabangsa patut risau dengan tahap kesihatan Anwar yang semakin teruk, yang diburukkan lagi dengan penafian akses kepada rawatan dan kemudahan pada kala beliau ditahan dengan salah.”

Penahanan Datuk Seri Anwar adalah dibawah arahan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 selepas mahkamah tersebut mengesahkan hukuman lima tahun di atas dakwaan liwat palsu.

Amnesty International telah menetapkan Datuk Seri Anwar sebagai seorang tahanan politik (prisoner of conscience) pada 17 Februari 2015 dan berkata bahawa keputusan mahkamah tersebut adalah “penghakiman yang amat buruk, dan hanya merupakan lembaran terbaru dalam usaha pihak kerajaan Malaysian untuk mendiamkan pengkritik kerajaan.”

Datuk Seri Anwar sebenarnya telah dipenjara kerana beliau merupakan ancaman demokratik dan ancaman tanpa kekerasan (non-violent threat) terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini kali kedua Datuk Seri Anwar telah dihukum sebegini oleh rejim yang sama. Dan penahanan ini berlaku di dalam konteks tangkapan, pendakwaan, malah penahanan begitu ramai pimpinan Pembangkang, wartawan, dan aktivis termasuklah anak Datuk Seri Anwar sendiri iaitu Nurul Izzah Anwar, di bawah Akta Hasutan dan undang-undang kuku besi yang lain.

Sivarasa Rasiah
Peguam Anwar