Followers

Friday, December 25, 2020

‘Umno Sokong Anwar Kerana Sangat Bencikan Muhyiddin’

 


Sokongan Umno kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk mencapai jumlah majoriti di Parlimen, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, Umno menyokong Anwar bukan kerana menerima Pakatan Harapan (PH) sebaliknya didorong bencikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Umno bersama menyokong Anwar, kononnya. Saya tidak tahu lebih dari itu, tapi saya yakin usaha Anwar (membentuk kerajaan) sudah mencapai tahap perkembangan yang besar.

“Umno menyokong Anwar bukan kerana sokong PH. Mereka sokong Anwar untuk memastikan ada majoriti di Parlimen.

“Umno bukan sokong agenda PH tetapi mereka melakukan sedemikian kerana sangat membenci Muhyiddin, Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih besar daripada dia (Umno) tidak suka kepada kita (PH),” katanya dalam bicara secara langsung menerusi Facebook beliau malam tadi.

Mujahid mengingatkan penyokong PH terutamanya, bahawa hal itulah sebenarnya motif sokongan Umno kepada Anwar.

“Biar kita jelas. Umno lagi tidak suka Muhyiddin dan Bersatu. Bagi Umno, lebih baik berkawan dengan Datuk Seri Anwar di Parlimen untuk mendapat majoriti daripada dia (Umno) terus menyokong Muhyiddin dan Bersatu,” katanya.

Dalam slot bicara selama 1 jam 20 minit itu, Mujahid berkata, Bersatu hendak memastikan Umno mati secara keseluruhannya meliputi seluruh akar umbi dan segala organisasi berkaitan parti keris itu.

“Hanya dengan itu, barulah Bersatu boleh ganti Umno. Inilah yang orang Umno tidak boleh terima. Bagi Umno, Bersatu adalah musuh nombor satu.

“Pada masa ini, Umno melihat sokongan kepada Anwar adalah lebih baik dalam mengekalkan kewujudan Umno berbanding kekal dengan PN.

“Jadi, jangan kata Umno sokong Anwar kerana mereka setuju dengan perjuangan PH,” kata Mujahid.

Sehubungan itu, jelasnya, sokongan Umno hanya berlaku dalam kalangan 222 Ahli Parlimen parti untuk membolehkan PH mempunyai majoriti.

“Sokongan MP-MP Umno supaya kita (PH) mencapai majoriti yang membolehkan kita menjadi kerajaan adalah berlaku di dalam Parlimen di kalangan 222 Ahli Parlimen. Itu sahaja.

“Ia tidak melibatkan perjanjian pilihan raya, pembahagian kerusi, manifesto, atau apa-apa persetujuan politik di luar Dewan Rakyat.

Hal inilah penyokong PH dan Umno mesti faham betul-betul,” kata Mujahid yang juga Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia AMANAH itu lagi.

sumber...MDline