Followers

Sunday, June 23, 2013

Nisfu Syaaban dan Imam Mahdi





Dua peristiwa penting seperti mana tercatat dalam buku-buku sejarah Islam. 
 Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban) salah satu malam yang mustajab doa. Umat Islam digalakkan memperbanyakkan berdoa dan memohon keampunan Allah SWT pada malam ini.
umat Islam akan berkunjung ke masjid dan surau untuk membaca Surah Yaasin selepas waktu Maghrib dan seusai membaca Surah Yaasin, mereka akan menunaikan solat Isya’ berjemaah.
Umat Islam menyambut 15 Syaaban pada setiap tahun, walaupun pada skala yang lebih kecil, sebagai mengingati tarikh berlakunya pertukaran buku catatan amalan seseorang. Tarikh 15 Syaaban 1434 jatuh pada Isnin, 24 Jun ini.
Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
“Rasulullah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda dan bergerak.
“Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.
Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Aisyah : “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambaNya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”
Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Catatan pertama yang akan dicatatkan dalam buku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib).
Nabi Muhammad SAW menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.
Diriwayatkan daripada Ata’ ibn Yasar berkata: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya.
“Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban.”
Munculnya Imam
seperkara lagi yang berlaku pada 15 haribulan Syaaban ialah kelahiran Imam Mahdi, seorang Imam dari keturunan Rasulullah SAW. Beliau lahir pada 15 Syaaban tahun 255 Hijrah di kota Samara (Iraq).
Banyak buku yang ditulis berkenaan dengan Imam akhir zaman ini untuk kita baca dan jadikannya sebagai bahan rujukan dan di antaranya:
Buku bertajuk Imam Mahdi: Dari Proses Gerakan hingga Era Kebangkitan, karya Prof Ali al-Kurani; Imam Mahdi: Penerus Kepimpinan Ilahi, karya Ibrahim Amini; Imam Mahdi: Menurut Ahlussunnah Wal Jamaah, karya Hasan Abu Ammar dan Imam Mahdi: Tokoh-Tokoh Terkemuka Ahlul Bait Nabi, terjemahan Ahsin Muhammad dan Afif Muhamad.
Pembuktian dan dalil kewujudan Imam Mahdi yang disebut dalam Al-Quran dan hadith memang banyak sekali.  Antaranya ayat 5 Surah Qashah di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi.”
Imam Malik bin Anas mengatakan bahawa pembuktian ayat ini belum terjadi (pada ketika itu) dan umat Islam masih menunggu munculnya manusia yang akan menjadi sarana bagi terwujudnya ayat ini.
Dalam Surah Al-Anbiyaa’ ayat 105 di mana firman Allah SWT bermaksud: “Dan sungguh telah Kami tulis dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuz bahawa bumi ini akan dipusakai oleh hamba-hambaKu yang saleh.”
Ayat ini menunjukkan akan munculnya seorang penyelamat, Imam Mahdi atau disebut juga Al-Qaim, yang akan menyelamatkan dunia ini dari peperangan, kehancuran, kerosakan dan kebatilan dan memenuhinya dengan keadilan, kebenaran dan keamanan.
Umat Islam sehingga hari ini masih ada yang keliru. Sudah lahir ke belum Imam Mahdi ini. Tetapi seluruh umat Islam boleh dikatakan setakat mempercayai bahawa Imam Mahdi ialah adalah dari kalangan Ahlul Bait Rasulullah SAW dan dari keturunan anaknya Fatimah Az-Zahra’.
Dalam Surah Al-Israa’ ayat 71, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Ingatlah hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya.  Kemudian sesiapa diberikan kitabnya ditangan kanannya maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan pahala amal-amal yang baik sedikit pun.”
Secara jelas Allah menyatakan tiap-tiap kumpulan manusia itu akan diseru dan dikumpulkan bersama dengan Imam mereka. Peristiwa ini akan berlaku di Padang Mahsyar kelak dan bukan di dunia ini.
Tetapi semasa hidup di dunia ini, kita mesti kenal siapakah Imam kita di akhirat nanti.  Kalau kita tidak kenal siapa Imam kita, kita khuatir kita dimasukkan ke  dalam kumpulan yang diketuai oleh para pemimpin yang fasiq dan kafir seperti Barack Obama, Benjamin Netanyahu, Simon Peres, Hosni Mubarak, Saddam Husein dan ramai lagi.
Dalam hadith Rasullah SAW juga terdapat peringatan semacam ini di mana salah satu hadithnya Baginda menyebut: Barangsiapa siapa yang tidak mengenal Imam yang hidup pada zamannya maka apabila mati dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” Hadith riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dalam Musnad Imam Ahmad.
Mengenal Imam yang dapat membimbing kita ke jalan yang benar juga tidak kurang pentingnya selain kita melakukan ibadah khusus terutama dalam bulan Syaaban ini dan akan menjelangnya bulan Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi.


sumber...FMT
Nisfu Syaaban dan Imam Mahdi
Nisfu Syaaban dan Imam Mahdi
Dua peristiwa penting seperti mana tercatat dalam buku-buku sejarah Islam. - See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2013/06/23/nisfu-syaaban-dan-imam-mahdi/#sthash.hR0NbM01.dpuf
Dua peristiwa penting seperti mana tercatat dalam buku-buku sejarah Islam. - See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2013/06/23/nisfu-syaaban-dan-imam-mahdi/#sthash.hR0NbM01.dpuf
Dua peristiwa penting seperti mana tercatat dalam buku-buku sejarah Islam. - See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2013/06/23/nisfu-syaaban-dan-imam-mahdi/#sthash.hR0NbM01.dpuf